Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Peringatan laporan keselamatan tentang pentingnya perpisahan politik dan agama, tapis pengaruh luar

Jul 05, 2021 | 05:30 AM



LAPORAN penilaian ancaman keselamatan yang dikeluarkan baru-baru ini memberi gambaran sejauh mana fahaman radikal membelenggu masyarakat kita.



Hakikatnya, masalah pengganasan tidak hanya wujud dalam masyarakat Melayu-Islam.



Walaubagaimanapun, memandangkan hampir kesemua kes-kes melibatkan masyarakat kita, maka sewajarnya kita lakukan sesuatu untuk perbaiki situasi ini.



Menurut laporan tersebut, sejak tahun 2015, 54 individu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 44 daripadanya menjadi radikal dengan sendiri: 32 adalah rakyat Singapura, tiga rakyat Indonesia, dan sembilan rakyat Bangladesh.



Sejak 2019, antara 16 individu yang ditahan atas kesalahan pengganasan, 14 di antaranya menjadi radikal dengan sendiri.



Sepuluh daripadanya adalah warganegara Singapura, sementara tiga warganegara Indonesia dan seorang rakyat Bangladesh.



Seorang lagi pernah terlibat dalam peperangan saudara di Yaman, manakala seorang lagi pernah berhubungan dengan kuasa-kuasa luar yang terlibat dengan keganasan.



Laporan itu juga menyatakan bahawa kebanyakan kes-kes radikalisme bersangkutan dengan pengaruh ISIS (Negara Islam Iraq dan Syria) dan juga konflik di Syria.



Laporan itu juga menunjukkan tren-tren baru.



Di luar masyarakat Melayu-Islam, ada yang ditahan kerana terpengaruh dengan fahaman tegar kanan yang berbaur anti-Islam.



Seorang remaja berusia 16 tahun terpengaruh dengan serangan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, dan mahu melakukan serangan serupa di masjid-masjid di Singapura.



Ada pula peningkatan kes-kes yang melibatkan pekerja asing yang bekerja di sini.



Walaupun golongan ini berhasrat untuk melakukan serangan-serangan di negara asal masing-masing dan bukan di Singapura, perkembangan ini turut membimbangkan, mentelah ia boleh mempengaruhi masyarakat kita di sini.



Sejak 2015, 39 daripada 40 pekerja Bangladesh yang disahkan terpengaruh dengan fahaman radikal telah dihantar pulang.



21 warga asing yang bekerja sebagai pembantu rumah juga didapati terpengaruh dengan ideologi ganas. Antara 2018 dan 2020 pula, enam warga Malaysia dihantar pulang kerana berhasrat untuk menyertai peperangan di Syria.



PENGARUH KONFLIK LUAR NEGARA



Sepanjang dua dekad lalu, yang menjadi keprihatinan utama pengawal keselamatan kita adalah keberadaan Jemaah Islamiah (JI) dan juga konflik-konflik di rantau ini, termasuk yang berlaku di Selatan Filipina, Indonesia, dan juga Selatan Thailand.



Kita tidak seharusnya turunkan kewaspadaan kita terhadap isu-isu di rantau ini. Dalam situasi sekarang ini, konflik-konflik di peringkat global, terutama sekali di Timur Tengah, juga berpotensi mempengaruhi masyarakat kita di Asia Tenggara ini, lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial, dan pendedahan pada berita palsu lewat jaringan komunikasi seperti Whatsapp dan sebagainya.



Justeru, kita perlu jelaskan kepada masyarakat bahawa kebanyakan, malah hampir kesemua, krisis yang berlaku di luar sana berpunca daripada politik.



Ia bermula daripada perebutan kuasa antara pihak-pihak yang bertelagah, cuma slogan-slogan yang digunakan berbaur agama.



Tanpa memahami latar-belakang politik sesuatu konflik, kita mungkin terbawa-bawa dengan idea bahawa ini semua berpunca daripada Barat, atau "musuh-musuh" Islam. Sebagai contoh, baru-baru ini, ramai yang mengikuti perkembangan konflik Israel dan Palestin.



Ada di kalangan masyarakat kita yang meluahkan kemarahan mereka di media-media sosial, sementara ada pula yang bersifat lebih tenang, dengan berdoa untuk kedamaian, dan menghulurkan derma dan bantuan-bantuan kemanusiaan menerusi saluran-saluran rasmi.



Tetapi, sejauh mana kita faham dengan polemik dalaman Palestin dan juga hubungannya dengan negara-negara Islam yang lain?



Pembelajaran sejarah konflik Israel dan Palestin, dan situasi politik dalaman kedua-dua negara tersebut mungkin mengelakkan kita daripada mengaitkan isu ini sebagai isu agama antara Yahudi dengan Islam.



Dan jika kita kaji hubungan masyarakat Islam dengan masyarakat beragama Yahudi di Singapura, kedua-duanya hidup saling hormat-menghormati di negara ini sudah sekian lama.



Begitu juga halnya dengan cara kita menilai warga asing yang menjadi radikal ketika bekerja di Singapura.



Kita perlu sentiasa berwaspada tentang sebarang tindak-tanduk yang mungkin mengarah kepada keganasan.



Kita perlu bertindak awal jika kita dapati kewujudan fahaman-fahaman tegar tersebut.



Punca fahaman ganas itu mungkin berasal daripada situasi politik di negara asal, seperti di Bangladesh, Indonesia, dan Timur Tengah, yang tidak selari dengan fahaman sekular dan berbilang kaum kita.



Lantas, kita juga perlu bertegas dengan menyatakan kepada golongan ini bahawa walaupun masyarakat Melayu dan Islam adalah minoriti di Singapura kita boleh amalkan agama kita dengan baik.



Malah politik dan agama satu perkara yang berasingan.



SARINGAN IDEOLOGI LUAR PERLU DIPERKETAT



Laporan keselamatan ini juga mengingatkan kita supaya terus berwaspada dalam menyaring anasir-anasir luar yang tidak cocok dalam budaya kita, sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, dan juga masyarakat Islam yang sederhana.



Tidak semua idea-idea daripada luar itu buruk: sebagai contoh, ada tokoh-tokoh ulama Islam yang progresif termasuk dari Timur Tengah.



Salah seorang daripadanya adalah mantan ulama besar Universiti Al-Azhar Almarhum Shaikh Muhammad Sayyid Tantawi. Pendakwah-pendakwah dari rantau Asia Tenggara juga tidak kurang kualitinya, seperti pakar tafsir Indonesia Dr Quraish Shihab yang dianggap sebagai ilmuan progresif dan sederhana.



Justeru, semuanya tertakluk pada masyarakat kita untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk demi kesejahteraan dan penakatan masyarakat kita.



Usahlah kita terpedaya dengan anasir-anasir luar hanya kerana cara penyampaiannya menarik, atau penggunaan media sosial canggih, tetapi idea-idea yang menghancurkan keharmonian yang sedia ada.



  • Penulis Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau Penyelaras Program Sosial dan Budaya di institusi tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >