Dialog Shangri-La, sidang yang menghimpunkan pemimpin keselamatan dan pertahanan Asia Pasifik bagi membincangkan isu-isu geopolitik dan keselamatan, baru sahaja selesai.
Namun dialog antara negara yang mengambil bahagian itu tidak semestinya selesai sejurus selepas tirai dialog dilabuhkan.
Sebaliknya anggota dialog harus sentiasa membuka saluran komunikasi antara mereka sebagai wadah mengelakkan tercetusnya konflik atau perbezaan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Diadakan pertama kali pada 2002 selang sembilan bulan selepas terjadinya serangan pengganas 11 September di Amerika Syarikat dan di sebalik perselisihan antara India dengan Pakistan, Dialog Shangri-La dianjurkan di Singapura oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS).
Sejak itu, ia berkembang menjadi acara tahunan penting dalam kalendar diplomatik Asia Pasifik.
Sepanjang kewujudannya, para menteri pertahanan telah membincangkan dan membahaskan pelbagai isu, termasuk ancaman senjata nuklear Korea Utara, rampasan kuasa di Myanmar, keselamatan maritim dan baru-baru ini serangan Russia ke atas Ukraine.
Edisi ke-20 dialog kali ini, yang selesai pada 4 Jun 2023, pula telah mengumpulkan tidak kurang 571 perwakilan dari 54 negara, termasuk sekitar tiga dozen menteri.
Ia membantu memudahkan sekitar 120 mesyuarat dua hala yang diadakan sebagai acara sampingan, sekali gus menjadi wadah perbincangan strategi serantau melibatkan rundingan-rundingan secara tertutup.
Dialog kali ini tertumpu kepada sengketa yang berlarutan antara Amerika dengan China.
Keengganan China untuk mengambil peluang berada di sini bagi mengadakan mesyuarat rasmi pemimpin pertahanan dengan Amerika boleh dianggap sebagai satu langkah ke belakang, lebih-lebih lagi dialog tersebut bertujuan mencari jalan penyelesaian.
Namun bertepuk tidak boleh sebelah tangan - keengganan China itu mungkin disebabkan perbuatan Amerika sendiri yang melakukan sekatan terhadap China.
Apapun alasannya, peluang untuk menteri pertahanan kededua negara mengetengahkan perspektif masing-masing tentang isu keselamatan dan mencari jalan tengah meredakan ketegangan terlepas begitu sahaja.
Sebaiknya kededua negara harus mengambil sikap bertolak ansur supaya pertemuan terbuka dapat dimulakan dengan niat untuk menghuraikan sengketa dan menjalin hubungan lebih sihat dan bermakna.
Semasa berucap di dialog tersebut, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Heng, menekankan negara-negara mesti berusaha untuk mengekalkan keamanan dan mengelakkan konflik di rantau ini.
Beliau menegaskan pentingnya negara membina dan mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka - baik secara formal mahupun tidak formal - yang boleh membantu mereda dan mengelakkan konflik.
Dr Ng memberi contoh bagaimana negara ASEAN berusaha meneruskan kerjasama ketenteraan secara terbuka dan inklusif bagi mengelakkan silap langkah dan membina keyakinan di kalangan tentera serantau.
Oleh itu, saluran sedemikian sebenarnya boleh diasaskan dari semasa ke semasa, bukan sahaja di kalangan rakan tetapi juga bersama seteru.
Mungkin ia akan mengambil masa untuk dibina tetapi ketulusan pihak-pihak bertelagah mahu mencari huraian seharusnya menjadi asas memulakan saluran tersebut demi kepentingan bersama.
Ketiadaan rangka kerja komunikasi dan keterlibatan yang terbuka serta kurang kerjasama antara pihak bertelagah, memungkinkan sengketa tidak mudah diurus dan konflik membara.
Maka penting diadakan saluran komunikasi terbuka itu yang bersifat terus terang demi keamanan dunia.
“
Dr Ng memberi contoh bagaimana negara ASEAN berusaha meneruskan kerjasama ketenteraan secara terbuka dan inklusif bagi mengelakkan silap langkah dan membina keyakinan di kalangan tentera serantau. Oleh itu, saluran sedemikian sebenarnya boleh diasaskan dari semasa ke semasa, bukan sahaja di kalangan rakan tetapi juga bersama seteru. Mungkin ia akan mengambil masa untuk dibina tetapi ketulusan pihak-pihak bertelagah mahu mencari huraian seharusnya menjadi asas memulakan saluran tersebut demi kepentingan bersama.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg