Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persefahaman dan kerjasama bolehkan masyarakat layari pelbagai cabaran

Apr 9, 2023 | 5:30 AM
Encik Saktiandi Supaat.
Encik Saktiandi Supaat. -

PERIBAHASA bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat mungkin sesuai menggambarkan bagaimana pelbagai isu, keadaan dan cabaran yang berlaku dalam masyarakat telah dapat ditangani dan menghasilkan jalan keluar yang baik.

Sejajar dengan maksud kata sepakat dapat dicapai dengan mesyuarat dan perbincangan, peribahasa ini menggambarkan peri pentingnya masyarakat bergerak bertunjangkan tolak ansur, kesefahaman dan kemuafakatan dengan mengambil kira kepentingan bersama, sikap ambil berat, hormat-menghormati, menghargai keinginan, menerima pandangan, toleransi dan bersedia membuat penyesuaian.

Pendekatan ini, yang memerlukan kerjasama rapat antara pemimpin dengan masyarakat, kelihatan telah diamalkan di sini. Banyak contoh boleh diketengahkan.

Contoh terbaru berhubung solat tarawih berjemaah di kolong blok.

Pada awalnya diputuskan bahawa solat tarawih bagi Ramadan 2023 di kolong blok dan dewan serba guna ditiadakan kerana terdapat ruang yang mencukupi di masjid-masjid setempat.

Namun, ekoran maklum balas dan hasil perbincangan, solat tarawih di 14 lokasi kariah dibenarkan, malah usaha dan kerjasama kumpulan kariah bagi membantu masyarakat Islam, terutamanya warga emas, ibu bapa yang ada anak kecil dan orang kurang upaya, mendiri solat tarawih dihargai.

Aktivis kariah, Encik Mohd Yassin Samad, 80 tahun, dilaporkan berkata solat tarawih di kolong blok tidak mengurangkan jemaah di masjid, sebaliknya membantu menampung jemaah berlebihan dan golongan seperti warga emas dan kurang upaya yang sukar ke masjid.

Seorang lagi, Encik Md Nasir Md Amin, 66 tahun, menyatakan sebahagian besar jemaah di kariahnya merupakan golongan warga senja - mereka mudah menjalankan ibadah dengan selesa.

Usaha yang dilakukan anggota kumpulan kariah dalam membantu penduduk Islam memenuhi keperluan sosioagama mereka, termasuk solat tarawih, dihargai Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Malah, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, juga melahirkan rasa gembira melihat kerjasama dan adanya perbincangan antara pihak terlibat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), membolehkan rancangan mengadakan solat tarawih di kolong blok diteruskan.

"Saya memahami hasrat kumpulan-kumpulan kariah menganjurkan solat tarawih di kolong-kolong flat.

"Saya gembira satu persefahaman telah dicapai dalam perkara ini setelah ia dibincangkan dengan Muis dan mereka telah mengizinkan banyak kumpulan kariah meneruskan rancangan asal mereka.

"Terima kasih kepada kumpulan-kumpulan kariah serta seluruh masyarakat Islam Singapura kerana bekerjasama dengan pihak berkuasa demi menyambut Ramadan kali ini dengan penuh bermakna," kata beliau.

TANGANI BERSAMA

Kerjasama antara masyarakat dengan pemimpin bukan baru, malah sering menjadi pendekatan dalam menangani pelbagai cabaran sebelum ini dan telah menghasilkan jalan keluar yang baik.

Semasa Singapura dibelenggu wabak Covid-19, pemimpin dan masyarakat Islam menunjukkan sikap memahami dan kerjasama sepadu.

Langkah seperti menutup masjid; kemudian membataskan kunjungan di masjid dengan sistem tempahan slot bagi solat berjemaah; mengadakan dua malah tiga solat Jumaat bergilir di masjid; solat dengan menjaga jarak, memakai pelitup dan membawa sejadah sendiri; tiada solat tarawih di masjid di peringkat awal, dan kemudian diadakan membataskan bilangan berdasarkan tempahan solat; begitu juga dengan solat Hari Raya; tiada sesi berbuka puasa bersama dan sebagainya.

Tahun lalu, Muslim Singapura dan Malaysia menyambut 1 Syawal berlainan hari, walaupun rapat dari segi geografi dengan hanya dipisahkan Koswe.

Semua keadaan ini dilalui dan diterima tanpa tentangan. Tunjang penerimaannya berteraskan persefahaman dan kerjasama dalam masyarakat.

Jika ditinjau lebih lanjut, pelbagai isu lain dalam masyarakat sebelum ini - seperti isu pemakaian tudung dalam kalangan jururawat dan sistem pendidikan madrasah berhubung pendidikan wajib (CE) - ditangani dengan baik dan menghasilkan jalan keluar yang bermakna kerana adanya perbincangan, kerjasama dan persefahaman dalam kalangan pemimpin, masyarakat dan pihak berkepentingan.

BERGERAK KE DEPAN

Berkongsi pandangannya, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, berkata kerjasama antara masyarakat dengan pemimpin, termasuk masyarakat, akar umbi, politik dan pelbagai institusi seperti agensi dan kementerian, akan menjadi lebih penting bagi Singapura dan masyarakat pada masa hadapan.

"Isu yang timbul mungkin baru atau sedia ada tetapi mungkin lebih kompleks kerana perubahan demografi dan masyarakat, dengan perubahan dalam lensa atau perspektif baru," kata beliau.

Menurutnya, adakala dasar juga perlu diubah kerana perubahan masa atau perubahan prasarana.

"Dalam memastikan perundingan yang berkesan, unsur bimbingan ke depan (forward guidance) dan maklum balas pihak yang terjejas akan diperlukan dan penting.

"Ini dapat memastikan bahawa titik buta (blind spots) ditangani dan jangkaan di peringkat akar umbi atau masyarakat diketahui sebelum sebarang isu, masalah dan cabaran diteliti dan diatasi...

"Memandangkan masyarakat kita menghadapi cabaran demografi, ekonomi dan sosial yang serupa dari pelbagai sudut, adalah penting memastikan kita dapat bekerjasama untuk mencari cara terbaik memastikan kompak sosial Singapura kekal utuh dan bertambah kukuh dari masa ke masa.

"Banyak perkara tidak boleh dilakukan secara bersendiri oleh mana-mana agensi atau kumpulan memandangkan kita tinggal di negara dengan kepadatan tinggi di dunia, masyarakat berpengetahuan dan berpendidikan tinggi, jadi kita juga perlu mengimbangi perkara dan mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan untuk melihat dan menjelaskan keadaan dan mencari penyelesaian yang boleh dipertahankan untuk semua," kata Encik Saktiandi.

Beliau memberi contoh kerjasama masyarakat dan akar umbi di kawasannya di Toa Payoh East melibatkan pelbagai pihak dalam mengurus pelbagai program dan menangani pelbagai isu seperti kos kehidupan.

"Tanpa kerjasama semua, semua ini tidak boleh bertahan dan pertolongan tidak akan berlaku," kata beliau.

SEPAKAT

Sama ada menangani isu dalam masyarakat mahupun di peringkat nasional, huraian yang bermakna akan terhasil jika ada perbincangan secara rasional, penjelasan, kerjasama, persefahaman dan memahami konteks dalam kehidupan bersama.

Pendekatan itu akan berupaya membuahkan hasil yang baik lagi bermakna. Apa jua isu dan cabaran akan dapat ditangani bersama.

Kalau bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat, kerana muafakat membawa berkat.

"Dalam memastikan perundingan yang berkesan, unsur bimbingan ke depan dan maklum balas pihak yang terjejas akan diperlukan dan penting. Ini dapat memastikan bahawa titik buta ditangani dan jangkaan di peringkat akar umbi atau masyarakat diketahui sebelum sebarang isu, masalah dan cabaran diteliti dan diatasi... Memandangkan masyarakat kita menghadapi cabaran demografi, ekonomi dan sosial yang serupa dari pelbagai sudut, adalah penting memastikan kita dapat bekerjasama untuk mencari cara terbaik memastikan kompak sosial Singapura kekal utuh dan bertambah kukuh dari masa ke masa." - Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg