Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Pesanan Puan Halimah agar golongan memerlukan terus dibantu demi kemajuan bersama

Oct 22, 2023 | 05:30 AM



Puan Halimah Yacob adalah Presiden kelapan Singapura dan wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi negara. Beliau bersara pada 13 September 2023. Ini sedutan ucapan beliau di satu majlis di Ritz Carlton anjuran 36 pertubuhan Melayu/Islam bagi menghargai jasa beliau pada 14 Oktober 2023.


Sebahagian besar daripada sejarah dan kemajuan masyarakat kita ada kaitan dengan hasil kerja badan dan pertubuhan Melayu/Islam.

Menyokong ekosistem usaha-usaha asas ini supaya kita dapat memberi khidmat yang memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih baik telah menjadi bahagian penting tugas dalam sepanjang kerjaya awam saya.

Kerja anda akan menjadi lebih penting hari ini kerana kita menghadapi pelbagai cabaran dan perlu terus membuat persediaan untuk menghadapi perubahan teknologi luar biasa yang menjejas masyarakat kita.

Kesemua ini tidak dipermudahkan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan meningkatnya ketegangan geopolitik.

Kita kini hidup dalam tempoh ketidakpastian yang sangat mencabar dan mesti bersedia untuk berubah, menyesuaikan diri dan berpandangan ke hadapan dalam setiap aspek kehidupan kita.

Dalam hal ini, kita tidak bersendirian. Banyak inisiatif pemerintah disediakan untuk menyokong peralihan ekonomi kita dan perubahan dalam tempat kerja. Banyak inisiatif yang telah anda lakukan akan menambah dan mengukuhkan usaha pemerintah ini.

Tetapi ini bermakna tugas anda akan menjadi lebih mendesak dan anda mesti bekerja lebih keras meskipun lebih sukar untuk memastikan bahawa perkhidmatan anda relevan dan boleh membantu masyarakat dalam persekitaran yang pesat berubah ini.

Izinkan saya menyentuh tiga perkara:

Pastikan tiada sesiapa ketinggalan

Pertama, memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam masyarakat kita.

Sebagai umat Islam, kita diingatkan sejak kecil lagi bahawa kita ada kewajipan terhadap satu sama lain.

Ini adalah nilai yang jelas tertanam dalam agama dan budaya kita.

Hormat, kerja keras, disiplin, belas kasihan, hubungan kekeluargaan yang kukuh dan rasa kekitaan telah disebarkan zaman berzaman dan terus dipegang kukuh.

Hari ini, kita menjaga orang tua kita dengan baik dan hanya sedikit bilangan warga emas Melayu di rumah jagaan orang tua kerana rasa hormat dan kasih sayang kita terhadap orang tua kita.

Sahut cabaran, tanpa mengira keadaan

Kedua, kes prestasi individu yang cemerlang di sebalik cabaran menjadikan kita turut berasa bangga.

Begitu juga halnya dengan bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dalam pelajaran.

Sebagai Canselor Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), saya menghadiri majlis konvokesyen mereka baru-baru ini dan salah seorang pelajar yang dianugerahkan ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak ialah Cik Nour Friday.

Ketika tempoh pemutus litar Covid-19, Cik Nour yang tinggal bersama keluarganya di flat sewa, terpaksa belajar di koridor flatnya sekitar 10 jam sehari.

Saya bertemu Cik Nour di majlis makan malam konvokesyen dan kagum dengan sifat positif dan keyakinannya.

Beliau adalah contoh yang saya sebutkan sebentar tadi bagaimana anggota masyarakat kita menunjukkan bahawa mereka boleh menyahut cabaran tanpa mengira keadaan.

Kesempitan wang, kekangan ruang hidup, kekurangan sumber tidak pernah menjadi isu bagi Cik Nour, atau kes-kes kejayaan lain yang kerap dilaporkan oleh media.

Saya bertanya kepada Cik Nour apa yang mendorongnya belajar dalam keadaan yang mencabar. Beliau berkata bahawa ibunya adalah pendorong dan penyokong kuat.

Ini adalah contoh terpuji bagi nilai-nilai ketahanan dan semangat berdikari yang kukuh tetapi kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kes penyalahgunaan dadah, penderaan kanak-kanak dan kesalahan lain yang membimbangkan dalam masyarakat kita, mencerminkan penghakisan beberapa nilai ini yang kita sangat dukungi dan perlu untuk memajukan masyarakat kita.

Saya tidak fikir kita kekurangan program atau usaha yang berpusatkan keluarga bagi menyokong atau memulihkan individu atau keluarga.

Banyak program yang sudah dijalankan. Namun, apa yang kita perlukan adalah perilaku mencari bantuan yang lebih kuat dengan keluarga memainkan peranan penting dalam mengambil langkah pertama, sama ada dalam menangani masalah ponteng sekolah atau belia berisiko atau penderaan ahli keluarga.

Terdapat khidmat sokongan yang disediakan tetapi langkah pertama mesti dibuat oleh pihak keluarga – menerima hakikat apa yang berlaku dan mendapatkan bantuan.

Untuk melindungi keluarga kita, ia juga memerlukan kita memastikan individu yang terlibat mengaku bertanggungjawab atas kelakuan yang tidak boleh diterima.

Saya tahu bahawa ramai keluarga yang bertungkus lumus setiap hari untuk memenuhi keperluan asas mereka.

Saya datang daripada latar belakang yang sama.

Tiada wang, tiada tempat yang sesuai untuk belajar dan hilang banyak peluang yang boleh meningkatkan kualiti hidup anda.

Ia memerlukan usaha gigih untuk menarik keluar diri anda daripada cengkaman keadaan yang membuat anda sering berasa keseorangan.

Tetapi hakikatnya ialah keluarga kitalah yang memberikan nilai dan panduan serta mentakrifkan kita sebagai individu dan anggota masyarakat.

Masyarakat boleh membantu.

Jangan menutup mata apabila anda melihat penderaan yang berlaku. Libatkan diri dan ambil berat terhadap orang lain.

Banyak organisasi yang ditubuhkan untuk tujuan ini bagi memenuhi kewajipan membantu mereka yang memerlukan dalam masyarakat kita.

Pada awalnya, usaha yang dijalankan tertumpu kepada memberi bantuan kewangan dan pendidikan. Bidang-bidang ini akan kekal penting.

Bagaimanapun, semasa bekerja dengan anda, saya juga digalakkan supaya melihat pembangunan sistem sokongan yang lebih komprehensif bagi memenuhi keperluan yang lebih luas, seperti penjagaan kesihatan, sokongan keluarga dan peluang pekerjaan.

Apabila organisasi masyarakat semakin kerap turun padang, anda adalah yang terbaik untuk mengenal pasti jurang yang wujud dan melakar penyelesaian berkesan yang disesuaikan dengan konteks masyarakat kita. Saya yakin anda akan terus berbuat demikian.

Tanam azam belajar sepanjang hayat

Dunia pekerjaan berubah dengan sangat pantas dan mungkin menyebabkan pemberhentian pekerjaan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Mogok pekerja baru-baru ini di Amerika Syarikat cukup memberi kesedaran.

Penulis drama Hollywood melancarkan mogok kerana bimbang Kepintaran Buatan (AI) akan menggantikan mereka. Pelakon suara misalnya, terperanjat apabila mendapati suara mereka yang dirakamkan beberapa tahun lalu untuk beberapa syarikat teknologi, kini digunakan dalam pelbagai platform AI untuk tujuan lain.

Mereka tidak menyedari apabila mereka menandatangani hak mereka beberapa tahun lalu.

Pekerja kereta Amerika mogok kerana pertikaian gaji dan faedah lain tetapi terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kereta elektrik, yang menggunakan sedikit bilangan pekerja, akan menyebabkan berlaku lebihan pekerja dalam kalangan syarikat kereta konvensional dan menjejas kuasa tawar-menawar pekerja.

Contoh ini mungkin kelihatan jauh kerana kita tidak mempunyai industri kereta atau syarikat pengeluaran filem besar tetapi teknologi yang digunakan, iaitu Kepintaran Buatan, begitu berleluasa di setiap tempat kerja hari ini dan potensi serta skala gangguan besar yang bakal ditimbulkan kelak.

Jadi, sebagai masyarakat, kita perlu tanam minda pembelajaran sepanjang hayat, sentiasa melihat bagaimana untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran kita tanpa mengira pekerjaan yang kita lakukan sekarang.

Malah, jika gelombang pertama teknologi menjejas banyak pekerjaan kolar biru, Kepintaran Buatan akan mengganggu lebih banyak pekerjaan di semua peringkat kolar putih. Dalam konteks hari ini, ia tidak lagi mencukupi untuk mempunyai ijazah atau sijil yang boleh bertahan seumur hidup.

Kemajuan teknologi bergerak pantas, keusangan kemahiran adalah ancaman sebenar. Kita perlu meningkatkan kemahiran yang ditetapkan dalam setiap pekerjaan dan perlu bersedia untuk merebut peluang baru.

Di SUSS misalnya, tiga perempat daripada pelajarnya adalah golongan dewasa yang mengikuti kursus ijazah sambil bekerja sepenuh masa. Inilah gelombang masa hadapan – pembelajaran berterusan untuk bersedia menghadapi perubahan atau banyak pekerjaan yang baik akan berada di luar jangkauan kita.

Saya berharap badan-badan Melayu-Islam boleh berganding bahu dengan rakan kesatuan sekerja untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka kerana mereka adalah orang-orang yang telah melihat perubahan tersebut secara langsung apabila syarikat mereka menjalani penyusunan semula dan akan dapat memberikan penilaian dan idea yang realistik tentang persediaan untuk menghadapi perubahan ini.

Kukuhkan perpaduan

Kita tidak mampu melihat ke dalam.

Memupuk hubungan lebih mendalam merentas masyarakat yang berbeza ialah bahagian penting dalam kerja saya juga.

Kita tidak boleh mengambil mudah perpaduan sosial, walaupun kita tahu bahawa ini akan diuji apabila ketidaksamaan pendapatan semakin meningkat dan berlaku peningkatan konflik kaum dan agama di peringkat global.

Meskipun kita tidak boleh melindungi diri kita sepenuhnya daripada tarikan politik identiti, kita boleh dan mesti terus membina jambatan yang kukuh antara masyarakat yang berbeza seperti yang kita kongsi kepentingan bersama dalam menikmati keamanan, kestabilan dan masa depan Singapura demi kepentingan anak dan cucu kita.

Tanggungjawab kita akan berkurang jika kita tidak terus memupuk takdir bersama ini.

Pada 2014, Pusat Penyelidikan Pew meletakkan Singapura sebagai negara paling pelbagai agama di dunia.

Walaupun begitu, dapatannya baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Singapura dari semua agama hidup bertolak ansur dan lebih mudah menerima penganut agama yang berbeza, berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Ini adalah satu perkembangan yang menggalakkan kerana ia menunjukkan bahawa walaupun kita mempunyai identiti agama dan budaya tersendiri, kita juga telah menerima hakikat bahawa kita adalah sebahagian daripada identiti nasional yang lebih besar dan mempunyai masa depan yang dikongsi bersama.

Kita akan lebih kuat dan lebih produktif apabila kita mengetepikan perbezaan kita, berusaha mencari titik persamaan, dan tumpukan tenaga kita untuk membantu mereka yang memerlukan dalam kalangan kita, supaya kita semua boleh maju bersama-sama.

Saya sungguh terharu melihat begitu banyak dan pelbagai kumpulan yang berkumpul untuk acara ini. Saya harap ia bukan yang terakhir.

Saya menggesa anda supaya terus menjalin perkongsian antara satu sama lain untuk tujuan penambahbaikan masyarakat kita.

Sebagai penutup, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur bersama hari ini atas usaha gigih mereka menjayakan majlis ini untuk suami saya Mohamed dan saya.

Ia merupakan satu rahmat dan penglibatan besar sebagai ketua negara Melayu/Islam pertama selepas 47 tahun dan Presiden Wanita Pertama.

Saya amat berterima kasih atas sokongan anda dan mendoakan kejayaan anda semua pada tahun-tahun mendatang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >