Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Potensi gagasan baru bakal Presiden Tharman buat pengundi rasional S’pura

Sep 5, 2023 | 5:30 AM
MENILAI SIFAT RASIONAL PENGUNDI: Warga menilai keperibadian Encik Tharman di ruang publik, yakin dengan personaliti dan keramahmesraan beliau, serta keupayaan teknikal beliau mengurus rizab negara selain reputasi beliau di peringkat antarabangsa.
MENILAI SIFAT RASIONAL PENGUNDI: Warga menilai keperibadian Encik Tharman di ruang publik, yakin dengan personaliti dan keramahmesraan beliau, serta keupayaan teknikal beliau mengurus rizab negara selain reputasi beliau di peringkat antarabangsa. - Foto fail

Dalam pilihan raya presiden Singapura yang baru berlalu, rakyat telah memberikan mandat kukuh buat Encik Tharman Shanmugaratnam.

Beliau bakal dinobatkan sebagai presiden Singapura yang kesembilan.

Walaupun beliau presiden kelima semenjak pemilihan menerusi pilihan raya diperkenalkan pada tahun 1993, beliau hanyalah individu ketiga yang melalui proses tersebut setelah Ong Teng Cheong (pada tahun 1993) dan Dr Tony Tan Keng Yam (pada tahun 2011). Sebelum ini, presiden-presiden S R Nathan dan Halimah Yaacob menang tanpa bertanding.

Berbanding dengan Encik Ong dan Dr Tan, kemenangan Encik Tharman amat meyakinkan kerana peratusan undian yang diperolehi, sebanyak 70 peratus, adalah yang terbesar dalam sejarah pilihan raya presiden.

Semasa pilihan raya 1993, Encik Ong hanya meraih 59 peratus undi manakala Dr Tan hanya mendapat 35 peratus. Menariknya, ada persamaan di antara ketiga-tiga Encik Ong, Dr Tan dan Encik Tharman: Mereka pernah menjadi anggota parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri.

Encik Tharman juga pernah menduduki jawatan menteri kanan sebelum bersara daripada politik untuk bertanding dalam pilihanraya presiden.

Memandangkan Encik Tharman meninggalkan jauh pencabar-pencabarnya – Encik Ng Kok Song dan Encik Tan Kian Lian – kemenangan beliau mengundang pelbagai tafsiran.

Jelas bahawa Encik Tharman mempunyai kelebihan kerana pengalaman beliau sebagai menteri Kabinet dapat meyakinkan pengundi tentang kebolehan beliau memenuhi tuntutan bagi tugas-tugas presiden seperti yang digariskan dalam perlembagaan: antaranya sebagai ketua negara, pengawal rizab negara, dan berkuasa menolak pelantikan perkhidmatan awam.

Rakyat juga kagum dengan sifat rendah diri beliau, dan juga gentleman semasa berkempen. Beliau tidak sedikit pun memperlekeh keperibadian lawan-lawannya. Tindakan beliau menonjolkan sifat-sifat presiden yang baik sebagai contoh buat masyarakat.

SIFAT RASIONAL PENGUNDI

“Saya lebih cenderung menilai sifat rasional para pengundi yang menilai calon seperti Encik Tharman berdasarkan merit. Walaupun parti pemerintah (dan pembangkang) menghadapi beberapa masalah kebelakangan ini, seperti skandal hubungan sulit dan pertuduhan korupsi Encik S Iswaran, perkara ini tidak menjejas pencapaian Encik Tharman. Rakyat menilai keperibadian beliau di ruang publik, yakin dengan personaliti dan keramahmesraan beliau, dan keupayaan teknikal beliau mengurus rizab negara. Malah, reputasi beliau ini bukan sekadar di peringkat nasional sahaja, tetapi di peringkat antarabangsa juga.”
Penulis.

Walaupun pilihan raya presiden ini berbeza dengan pilihan raya umum, ada yang masih menilai keputusan ini berdasarkan aspek kepartian. Jelas, sepanjang berkempen, tidak ada isu-isu dasar yang diketengahkan calon-calon yang bertanding.

Matlamat pilihan raya presiden juga bukan untuk semak dan imbang pemerintah Singapura, yang diketuai perdana menteri. Masalahnya, ada yang mengaitkan pencapaian Encik Tan Kian Lian disebabkan dukungan tokoh-tokoh pembangkang.

Beliau kalah teruk, tetapi kali ini boleh dapat kembali wang deposit kerana berjaya meraih undi lebih daripada 12.5 peratus. Ini peningkatan besar berbanding prestasinya pada tahun 2011 apabila beliau meraih 5 peratus undian sahaja.

Prestasi Encik Ng yang seringkali menggunakan naratif bebas daripada sebarang parti-parti politik juga hambar. Walaupun berpengalaman dalam pengurusan kewangan, beliau boleh dianggap muka baru.

Persoalannya sekarang adalah sama ada kemenangan besar Encik Tharman disebabkan latar-belakang beliau sebagai mantan anggota PAP, memandangkan beliau hanya berundur daripada politik sebulan sebelum bertanding.

Tidak mustahil ada yang mengambil kira rekod beliau sebagai pemimpin kanan PAP, tetapi Encik Tharman menjelaskan bahawa beliau akan bertindak bebas jika dipilih. Justeru, sama ada mandat besar Encik Tharman ini adalah manifestasi sokongan terhadap PAP telah meningkat berbanding pilihan raya 2020 masih kabur.

Pada pilihan raya tersebut, PAP hanya mendapat 61 peratus undi popular. PAP juga kalah di dua GRC (Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan) dan satu SMC (Kawasan Undi Perseorangan).

Saya lihat kemenangan Encik Tharman bukan bersebab kepada latar belakang parti sahaja, walaupun tidak dapat dinafikan pemilihan beliau membuktikan kepercayaan pada model PAP masih ada, dan jika kini parti itu dianggap paling lemah dalam sejarah, ia masih berpotensi untuk dipulihkan.

Saya lebih cenderung menilai sifat rasional para pengundi yang menilai calon seperti Encik Tharman berdasarkan merit.

Walaupun parti pemerintah (dan pembangkang) menghadapi beberapa masalah kebelakangan ini, seperti skandal hubungan sulit dan pertuduhan korupsi Encik S Iswaran, perkara ini tidak menjejas pencapaian Encik Tharman.

Rakyat menilai keperibadian beliau di ruang publik, yakin dengan personaliti dan keramahmesraan beliau, dan keupayaan teknikal beliau mengurus rizab negara.

Malah, reputasi beliau ini bukan sekadar di peringkat nasional sahaja, tetapi di peringkat antarabangsa juga.

Dengan beberapa isu besar yang belum pernah terjadi dalam sejarah politik Singapura, rakyat boleh sahaja menggunakan platform pilihan raya presiden ini sebagai referendum buat PAP, atau membuat undian protes dengan mengundi pencabar-pencabar Encik Tharman. Tetapi hal ini tidak berlaku.

Sudah terbukti bahawa pengundi-pengundi di Singapura bersifat rasional.

Ini bererti Encik Tharman dan juga atau tim pemenangnya – baik yang bertindak sebagai penyetuju (assentors) beliau atau yang mendukung kempen beliau – tidak seharusnya menganggap kemenangan pilihan raya sebagai satu objektif yang mutlak. Malah sifat rasional pengundi Singapura tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana pihak yang menang kerana mereka akan menolak pemimpin yang tidak memenuhi janji-janji sepanjang kempen pada pilihan raya-pilihan raya seterusnya.

Sepanjang berkempen, Encik Tharman pun telah berjanji mendekati rakyat dengan mewijudkan suasana harmoni dan saling menghormati. Hakikatnya, kerencaman masyarakat bukan hanya berdasarkan etnik atau kaum-kaum Cina, Melayu, India, dan lain-lain, tetapi juga aspek kelas (sosio-ekonomi), kesetaraan gender, fahaman kanan dan kiri, serta golongan mapan dan belia.

Malah dalam satu masyarakat pun, seperti masyarakat Melayu-Islam, ada perbezaan orientasi agama mewarnai dinamik perbezaan dalaman. Ini juga bermakna ada banyak titik persamaan identiti rentas kaum berlandaskan isu.

Walaupun peranan presiden sudah digariskan dengan jelas dalam perlembagaan, Encik Tharman tidak boleh elak daripada persepsi masyarakat tentang peranan seorang presiden sebagai simbol penyatuan.

Sejauh ini, Encik Tharman sudah pun berjaya meyakinkan rakyat bahawa beliau boleh memberikan buah fikiran bebasnya walaupun berlatarbelakangkan parti politik.

Namun rakyat juga harus menilai Presiden Tharman nanti dengan adil.

Ukuran kebebasan bukan bererti beliau mesti bertelagah dengan pemerintah di ruang publik setiap masa. Ini kerana perbezaan pandangan beliau boleh disuarakan dalam mesyuarat atau pertemuan tertutup bersama wakil-wakil pemerintah.

Mentelah, jika presiden dan pemerintah sehaluan dalam apa-apa isu, ini tidak menandakan presiden hanya ikut telunjuk pemerintah, tetapi keyakinan beliau dengan tindakannya demi kebaikan dan penakatan Singapura.

Sebagai simbol penyatuan, presiden Tharman harus mendengar juga suara-suara daripada pemerintah, pembangkang, masyarakat sivil, tokoh-tokoh intelektual dan rakyat biasa, memandangkan institusi presiden ini di atas jangkauan parti-parti politik sepihak sahaja.

Saya yakin Encik Tharman boleh menjalankan tugas beliau dengan baik, dan memulakan gagasan baru dalam institusi kepresidenan Singapura.

Penulis Zamil Kanan Iseas-Yusof Ishak Institute, dan pakar politik Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg