Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Prihatin, lindungi harga diri golongan menerima

May 22, 2022 | 09:34 AM



SEPANJANG Ramadan lalu, kita telah melihat bagaimana semangat memberi dan membantu golongan kurang bernasib baik begitu mekar dalam kalangan penduduk setempat.



Bantuan bagi menyemarakkan sinar Ramadan dan membawa keceriaan menjelang Syawal dihulurkan bukan sahaja oleh individu, kumpulan tidak formal mahupun pertubuhan Melayu/Islam.



Bahkan, banyak inisiatif sedemikian yang diusahakan badan-badan bukan Melayu, mencerminkan semangat keharmonian kaum yang menjadi tunjang keutuhan negara ini.



Semangat memberi dan kesungguhan membantu sepanjang Ramadan yang baru berlalu mencerminkan keadaan yang berlaku sepanjang tahun.



Di peringkat korporat juga, semangat memberi itu turut mekar, meskipun sepanjang pandemik di mana keadaan ekonomi tidak menentu memaksa banyak syarikat mengambil pendekatan berhati-hati untuk memastikan kos perniagaan kekal rendah.



Namun, Covid-19 tidak menjejas semangat untuk memenuhi tanggungjawab korporat dan sosial mereka.



Dalam tinjauan yang dilakukan tahun lalu, 67 peratus perniagaan di sini 'memberi semula kepada masyarakat', satu peningkatan 15 peratusan mata berbanding tinjauan yang sama pada 2017.



Justeru, golongan memerlukan di Singapura tidak kurang tempat untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.



Dalam perbualan saya dengan keluarga yang tinggal di flat sewa baru-baru ini, mereka mendedahkan hampir setiap hujung minggu, ada sahaja orang yang mengetuk pintu mereka, untuk memberikan habuan, sampaikan mereka tidak tahu siapa gerangan orang-orang ini (lebih-lebih lagi dalam keadaan Covid-19, di mana semua orang memakai pelitup).



"Kami main ambil sahaja," kata beliau yang mempunyai tiga anak yang semua masih kecil lagi.



Keadaan ini menunjukkan usaha kita membangunkan masyarakat lebih inklusif dan ihsan berada pada landasan yang betul.



Bagaimanapun, saya kerap memikirkan keadaan psikologi keluarga tersebut, khususnya anak-anak mereka.



Sedang niat ramai individu, kumpulan dan pertubuhan itu adalah baik dan amat dialu-alu, bagaimana penerimaan habuan - hampir setiap minggu - menjejas pemikiran golongan muda ini.



Adakah mereka akan melihat menopang sebagai satu kelaziman?



Mungkinkah ini akan mencorak bagaimana mereka menilai diri mereka iaitu sebagai seseorang yang selalu perlu dibantu?



Adakah ini boleh menimbulkan perasaan rendah diri atau inferiority complex?



Mungkin keprihatinan saya tidak berasas.



Kemungkinan juga, timbul perasaan bersyukur dalam jiwa anak-anak itu, yang memberi mereka semangat untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan bagi menyumbang semula kepada masyarakat.



Namun, bak kata pepatah Melayu, tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.



Sedikit sebanyak, akan ada kesan yang tidak diingini daripada keadaan yang sememangnya positif ini.



Lantas, kita perlu menyemak cara bantuan dan sokongan dihulurkan kepada golongan memerlukan.



Beberapa usaha sedemikian sudah pun dirintis.



Contohnya, di sebuah kawasan undi, golongan memerlukan diberikan 'baucar' untuk menebus baju Hari Raya yang didermakan awam.



Malah, pusat pengambilan baju-baju Hari Raya itu juga dihias sebagai pusat beli-belah, memberikan suasana berbeza daripada inisiatif-inisiatif pemberian baju Hari Raya yang biasa kita lihat.



Di satu lagi kejiranan, para penerimanya diberi pilihan jumlah barangan keperluan harian yang boleh diambil daripada 'kedai-kedai' berbeza, yang disediakan di kelab masyarakat.



Ini memberikan 'kuasa' kepada penerima, yang boleh memilih untuk mengambil hanya barangan yang mereka perlukan, sekali gus membolehkan barangan yang tidak dipilih itu dimanfaatkan penerima lain.



Apabila membincangkan soal ini, seorang aktivis masyarakat yang saya temui mengeluh bahawa hakikatnya bukan senang untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, contohnya kepada para penduduk di flat sewa.



Ada sebahagian penduduk itu yang kurang bermotivasi untuk keluar rumah bagi mendapatkan barangan atau habuan yang disediakan sekiranya mereka perlu hadir di pusat pengambilan, meskipun ia diadakan di kolong blok, katanya.



Justeru, caranya paling berkesan memberikan bantuan itu ialah untuk melawat rumah ke rumah atau sekadar meninggalkan barangannya di pintu rumah.



Beliau berseloroh, mungkin golongan susah di Singapura, tidak begitu susah.



Jika betul, maka alhamdulillah.



Ia bermakna golongan ini tidak terdesak untuk menerima habuan atau bantuan yang diberikan; dan mereka lebih rela ia dimanfaatkan orang lain yang lebih memerlukan.



Namun, bagaimana jika keadaan sedemikian didorong perasaan malu dan segan, yang mereka ini "asyik perlu dibantu".



Lantaran itulah, pendekatan kreatif dalam memberi seperti contoh-contoh yang saya sebutkan tadi perlu diluaskan.



Ia harus menjadi keutamaan dalam individu, kumpulan dan pertubuhan, malah juga badan masyarakat dan pemerintah, semasa memikirkan projek amal - iaitu bagaimana sokongan dan bantuan itu boleh dihulurkan dengan cara yang paling melindungi harga diri si penerima.




Bagaimanapun, saya kerap memikirkan keadaan psikologi keluarga tersebut, khususnya anak-anak mereka. Sedang niat ramai individu, kumpulan dan pertubuhan itu adalah baik dan amat dialu-alu, bagaimana penerimaan habuan - hampir setiap minggu - menjejas pemikiran golongan muda ini.

Adakah mereka akan melihat menopang sebagai satu kelaziman?

Mungkinkah ini akan mencorak bagaimana mereka menilai diri mereka iaitu sebagai seseorang yang selalu perlu dibantu?

Adakah ini boleh menimbulkan perasaan rendah diri atau inferiority complex?

Mungkin keprihatinan saya tidak berasas."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >