Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Puasa sekejap-sekejap berkesan kawal berat badan, kadar gula, lemak, kolesterol

Terdapat pelbagai jenis puasa yang dapat memberikan kita semangat agar terus berpuasa secara tetap dan tertib, bukan hanya demi mentaati perintah agama, bahkan juga mahu mempertingkat tahap kesihatan. Berpuasa jelas dapat menganugerahkan kesejahteraan rohani dan jasmani.
May 09, 2022 | 05:30 AM



PUASA RAMADAN



DARI sudut kesihatan, berpuasa selama sebulan menghasilkan tahap kesihatan yang lebih baik.



Kajian membuktikan secara konsisten puasa Ramadan boleh mengurangkan berat badan dan kandungan lemak dalam tubuh dengan berkesan, terutama sekali bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti atau berat badan berlebihan.



Namun, kajian turut menunjukkan kesan ini hanya sementara.



Saya percaya kita semua sudah sedia maklum mengapakah kesan penurunan berat badan setelah berpuasa selama sebulan hanya dapat bertahan buat sementara sahaja.



Berat badan boleh kembali kepada asal atau melebihi daripada asal dengan agak mudah dan cepat.



Rasanya, agak sia-sia apabila ini berlaku.



Malangnya, masalah kegemukan dan cara pemakanan yang kurang sihat adalah antara punca utama penyakit kronik yang meruncing dan melanda kaum Melayu.



Penyakit ini termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari dan angin ahmar.



Alangkah baiknya jika kita dapat beristiqamah dalam usaha mengekalkan berat badan yang sihat, sekali gus mengurangkan risiko penyakit kronik ini.



Berat badan wajar dikekalkan sihat dan terkawal. Apa kata kita teruskan berpuasa selepas Ramadan. Terdapat banyak peluang berpuasa di luar bulan Ramadan.



Kita boleh berpuasa sunat atau berpuasa sekejap-sekejap.



PUASA ENAM



Selaras dengan ibadah puasa Ramadan, kita turut boleh berpuasa pada bulan Syawal iaitu Puasa Enam.



Mengikut hadis daripada Imam Muslim, jika kita berpuasa pada bulan Ramadan dan mengikutnya dengan enam hari pada bulan Syawal, ganjarannya seperti puasa yang berterusan.



Puasa Enam lebih baik jika dilakukan secara berturut-turut. Namun, jika tidak dapat dilaksanakan sedemikian, puasa selama enam hari yang tidak berturut-turut dalam pada bulan Syawal masih sah diterima.



Mungkin kita boleh buat perancangan yang terperinci untuk berpuasa sunat Syawal. Ada baiknya jika ia dilakukan pada hari-hari berikutan kunjung-mengunjung, yang pastinya melibatkan santapan juadah Hari Raya. Jadual seperti ini boleh memberikan sedikit keseimbangan.



Contohnya, hujung minggu pertama bulan Syawal kita isikan dengan rancangan kunjung-mengunjung yang padat.



Dan kemudian sepanjang enam hari berikutnya, kita berpuasa.



Atau jika kita tidak berhajat berpuasa Syawal secara berturut-turut, kita boleh berpuasa selama dua atau tiga hari selepas setiap hunjung minggu pada bulan Syawal.



Cara sebegini memberi peluang kepada tubuh membakar kalori berlebihan setelah kegiatan beraya pada hujung minggu.



PUASA SUNAT



Berpuasa sunat mingguan iaitu puasa pada setiap Isnin dan Khamis, turut dianjurkan Islam. Ia sunah Rasullulah dan jika diamalkan pasti dapat ganjaran yang besar.



Setelah berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan, dan kemudian puasa sunat Syawal, stamina atau semangat mahu berpuasa sudah sebati dalam diri.



Makanya, usah lepaskan peluang mudah ini dengan mengamalkan puasa sunat.



Puasa sunat mingguan adalah peluang terbaik untuk kita beristiqamah dalam menunaikan ibadah puasa, sekali gus dapat mengekalkan berat badan yang sihat serta memupuk sikap dan cara pemakanan yang lebih sihat.



Ini kerana puasa sunat mingguan dapat dilakukan sepanjang tahun.



Selain puasa sunat Isnin dan Khamis, terdapat beberapa tarikh di kalendar Hijrah yang menggalakkan kita berpuasa. Ini termasuk Puasa Arafah, Puasa Muharam dan Puasa Syaaban.



PUASA SEKEJAP-SEKEJAP



Puasa secara sekejap-sekejap, yang lebih dikenali sebagai 'intermittent fasting', berkesan untuk membantu mengawal berat badan dan mengawal kadar gula, lemak dan kolesterol dalam darah.



Cara berpuasa sebegini amat fleksibel. Ia boleh diamalkan setiap hari atau setiap selang hari atau setiap beberapa hari mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing.



Jangka waktu berpuasa juga fleksibel. Anda boleh berpuasa selama lapan jam atau lebih, mengikut azam dan keupayaan masing-masing.



Jadual waktu berpuasa juga fleksibel. Anda boleh tidak bersarapan dan hanya makan lewat tengah hari dan malam.



Atau anda boleh bersarapan tanpa makan tengah hari dan malam. Anda sendiri yang menentukan jadual puasa.



Apa yang penting, matlamat kita semasa berpuasa sekejap-kejap haruslah dalam jangkauan. Usah menetapkan matlamat terlalu tinggi sehingga berkesudahan dengan kekecewaan sehingga mencetuskan kecurigaan atas keberkesanan cara berpuasa sedemikian.



Semasa berpuasa secara sekejap-sekejap, anda boleh teruskan dengan minum air kosong atau air mineral kerana air jenis ini tidak mengandungi sebarang kalori.



Ini bermakna anda boleh teruskan bersenam atau bersukan, tanpa risiko kekeringan atau dehidrasi.



Menarik ya? Insya-Allah, saya sendiri akan turut amalkan puasa sekejap-sekejap secara tetap dan konsisten.



Kajian jelas menunjukkan bahawa puasa sekejap-sekejap berkesan untuk mengurangkan berat badan dan meningkatkan kesihatan metabolik.



Ia menjanjikan satu cara rawatan lain tanpa menggunakan ubat-ubatan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan menangani penyakit kronik.



Namun, kajian jangka panjang dan hasilnya masih diperlukan.



Apabila kita berpuasa sekejap-sekejap, badan kita berubah menggunakan lemak sebagai sumber kalori.



Dengan membakar lemak, berat badan akan turun dan kadar kolesterol dalam darah bertambah baik.



Dengan mengurangkan makanan, berat badan yang berkurangan turut boleh mempertingkat metabolisme gula dalam darah dan menyebabkan hormon insulin menjadi lebih sensitif untuk bertindak dengan lebih berkesan.



Makanya, kesan daripada puasa sekejap-sekejap dengan penurunan berat badan dan kadar gula, lemak dan kolesteral dalam darah, mampu mengurangkan risiko dan mengawal penyakit kencing manis, jantung dan tekanan darah tinggi.




► Penulis Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital Raffles.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >