Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Raikan wanita, bukan rendahkan martabatnya

May 29, 2021 | 05:30 AM



KELMARIN tular berita mengenai bagaimana sekumpulan ustazah setempat dijadikan bahan lucah dalam satu tinjauan dalam talian.



Tinjauan tersebut yang dilakukan oleh pengguna yang dikenali sebagai M.A telah dimuatnaik di aplikasi MeWe, sebuah aplikasi serupa Facebook.



Ia dibuat menerusi satu kumpulan tertutup dalam aplikasi itu, yang bergelar "Awek Tudung", yang mempunyai lebih 79,000 anggota dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan beberapa negara lain.



Seramai 12 ustazah setempat telah disenaraikan untuk menilai tarikan 'seksual' mereka, dan memilih siapa antara mereka yang paling digemari untuk dirogolsama.



Ramai yang menyuarakan rasa terkesan dengan tinjauan itu termasuk Presiden Halimah Yacob dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli.



Badan seperti Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) juga telah cepat mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan tersebut dan menyuarakan sokongan terhadap asatizah yang terjejas.



Perkara sedemikian seakan mengimbas situasi sama yang berlaku sekitar setahun lalu yang melibatkan kumpulan pengacara podcast setempat, OkLetsGo (OLG).



Topik perbincangan podcast itu, yang ada kalanya menjadikan wanita objek seksual dan merendahkan martabat kaum Hawa, turut dikecam teruk masyarakat.



Dua tahun lalu pula, kumpulan 'chatgroup' SG Nasi Lemak di Telegram turut dikecam, malah ada di antara anggotanya diheret ke mahkamah kerana mengedarkan bahan lucah melibatkan wanita setempat.



Tinjauan lucah melibatkan ustazah setempat itu, yang dipercayai dilakukan penuntut dan lulusan ukhrawi; OLG dan SG Nasi Lemak - meskipun perbuatan mereka amat mengecewakan, hanyalah sebahagian daripada masalah yang lebih besar.



Wadah-wadah seperti ini mencerminkan sikap masyarakat yang meluas, khususnya sesetengah kaum lelaki, yang tidak menghormati wanita, melihat mereka hanya sebagai objek seksual dan merasakan martabat kaum Hawa sebagai lebih rendah daripada kaum Adam.



Sikap merendahkan martabat wanita menular bukan hanya menerusi media sosial, tapi menerusi interaksi, perbualan dan perbincangan kita setiap hari.



Ia berlaku dalam ceramah-ceramah keagamaan, di kedai-kedai kopi dan di tempat kerja.



Saya pasti, ramai daripada kita yang pernah mendengar ceramah (lebih mudah lagi sekarang kerana begitu banyak ceramah tersedia dalam talian) di mana jenaka melibatkan kaum wanita sering diperkatakan? Contohnya, "kalau isteri tak bagi, ambil saja nombor dua" atau "bila suami nak, isteri kenalah bagi."



Sering kali, mereka yang hadir tertawa bersama.



Perbualan sedemikian juga sering diperkatakan sama ada dalam keadaan berborak-borak di kedai kopi ataupun dalam perbincangan serius di tempat kerja.



Semua ini dianggap sebagai "bual-bual kosong", tidak berniat menghina wanita.



Memburukkan keadaan, setiap kali, ada suara-suara bantahan daripada wanita, mereka dikatakan "terlalu sensitif", "alah, gurau pun tak boleh", "chill-lah sis".



Bahayanya sikap sedemikian, yang bertopengkan gurauan, mudah menjadi sesuatu yang normal dalam kehidupan.



Lihat saja buktinya:



Berbekalkan kandungannya yang ada kalanya berbaur seksual, dan merendahkan maruah serta martabat wanita, OLG tetap antara podcast paling diikuti di Singapura.



SG Nasi Lemak - sebelum diarah ditutup pihak berkuasa - mempunyai lebih 44,000 anggota.



Tinjauan lucah kelmarin pula mengundang lebih 1,000 undi.



Hakikatnya, perbuatan sedemikian mempunyai kesan mendalam ke atas diri mangsa.



Dalam wawancara penulis dengan salah seorang mangsa tinjauan lucah itu, Ustazah Liyana Musfirah, hampir menangis kerana trauma yang dilaluinya.



"Badan saya menggigil semalaman apabila mendapat tahu tentang berita itu," ujarnya.



Memandangkan ramai mangsa masih lagi muda, Ustazah Liyana telah mendapatkan bantuan kaunselor dan juru terapi untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan emosi.



Jelas sekali, dari kontroversi OLG hingga ke skandal SG Nasi Lemak dan terkini tinjauan lucah, keadaan harus berubah.



Dan perubahan boleh dicetus oleh setiap daripada kita.



Tolak sepenuhnya personaliti, individu, atau kandungan yang mempromosi sikap benci dan memperkecilkan wanita.



Galak anggota keluarga dan rakan-rakan melakukan perkara yang sama.



Jika anda berkeluarga - pupuk sikap hormat menghormati dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Hormat sesama manusia tidak kira latar belakang, jantina, bangsa dan agama.



Laporkan perbuatan yang merendahkan martabat wanita kepada pihak berkuasa. Dedahkan perbuatan mereka menerusi wadah-wadah sedia ada.



Perbuatan kumpulan tertutup dan fantasi mereka terhadap ustazah-ustazah setempat kita hanya terdedah kerana salah seorang anggota kumpulan itu mendedahkan perincian tinjauan tersebut.



Kemudian beberapa individu termasuk asatizah setempat Ustaz Zahid Zin, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy dan Ustaz Ahmad Mumdzir kemudian mendedahkannya secara lebih meluas menerusi platform media sosial mereka.



Sejak itu, tokoh agama lain dan juga pemimpin masyarakat serta politik, termasuk Presiden Halimah Yacob telah keluar mengecam perbuatan tersebut sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap mereka yang bertanggungjawab.



Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah mengarahkan wadah media sosial MeWe untuk menurunkan tinjauan lucah yang dijalankan ke atas asatizah setempat Singapura itu, dan pada masa yang sama meminta wadah media sosial besar seperti Facebook, Google dan Twitter agar tidak menularkan pos itu di wadah mereka.



IMDA berkata kejadian itu melanggar Kod Amalan Internet (ICOP) di bawah Akta Penyiaran.



Reaksi episod tinjauan lucah ini begitu hebat kerana ia menjejas asatizah wanita kita, sambil didalangi sekumpulan anggota masyarakat asatizah sendiri.



Namun, reaksi sedemikian seharusnya tercetus terhadap semua tindakan dan perbuatan yang menjatuhkan martabat wanita.



Dalam dunia yang pesat berubah, di mana wanita diperlukan memikul pelbagai peranan, masanya sudah tiba bagi kaum Hawa kita diraikan, dan bukan sebaliknya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >