Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Rangsang pekerja pertingkat kemahiran

Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Mana satu jadi pilihan?

Terus bekerja sepanjang hari, hingga menggalas dua tugas untuk memperoleh pendapatan yang cukup bagi kelangsungan hidup dan berterusan begitu.

Atau mengetepikan masa, termasuk memendekkan waktu kerja dan mendapat kurang pendapatan yang menjejas kelangsungan hidup, bagi menghadiri kursus bagi memperoleh kemahiran.

Pilihan pertama bermakna kehidupan berjalan tanpa banyak perubahan.

Pilihan kedua menjanjikan harapan yang mungkin mempertingkat kehidupan pada masa depan, tetapi memerlukan pengorbanan... sementara.

Inilah antara dilema yang mungkin dialami sebahagian masyarakat Melayu, termasuk pekerja platform.

Semasa mengulas dapatan tinjauan yang dikeluarkan Mendaki berdasarkan Kajian Pekerjaan dan Pengambilan Kerja, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata lebih 75 peratus pekerja Melayu/Islam berminat meningkatkan kemahiran tetapi menghadapi cabaran untuk menghadiri kursus kerana tidak dapat meluangkan masa dek tugasan operasi mereka.

Tinjauan itu dilakukan untuk memahami faktor yang mempengaruhi keputusan kerjaya masyarakat Melayu/Islam dan sikap mereka terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Komitmen kerja memang boleh menimbulkan cabaran bagi para pekerja yang ingin menghadiri kursus peningkatan kemahiran, kata Ketua Pegawai Eksekutif SSA Academy, Encik Suhaimi Salleh.

“Mengimbangi tanggungjawab kerja dengan menghadiri kursus-kursus peningkatan kemahiran di luar waktu pejabat agak mencabar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja sepenuh masa atau yang mempunyai kewajiban keluarga,” kata beliau.

Tinjauan itu juga menunjukkan 34.7 peratus atau satu daripada tiga orang Melayu/Islam yang tidak bekerja berminat memasuki semula tenaga kerja, namun mempunyai tanggungjawab menjaga anggota keluarga yang sakit dan memerlukan masa sebelum boleh kembali bekerja.

ANTARA CABARAN IKUTI KURSUS

Ramai pekerja Melayu mungkin bertugas dalam pekerjaan sepenuh masa dengan jadual kerja yang mencabar, menyebabkan masa mereka terhad untuk menyertai kursus peningkatan kemahiran, kata Encik Suhaimi.

Beliau turut menyebut beberapa cabaran lain:

* Masalah Kewangan: ada yang mungkin sukar membayar yuran kursus yang diambil tanpa sokongan majikan. Walaupun ada subsidi WSQ (Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja) dan Kredit SkillsFuture, masih terdapat perbelanjaan tambahan berkaitan dengan yuran bersih yang perlu dibayar, kehilangan pendapatan, kos pengangkutan dan perbelanjaan lain. Bagi pekerja platform, kehilangan pendapatan merupakan punca utama mereka tidak menghadiri kursus.

* Kurang Kesedaran: Ada yang tidak menyedari tentang program peningkatan kemahiran atau manfaat yang boleh diraih selepas kursus.

* Mungkin ada yang rasa tercabar atau takut ke bilik darjah kerana sudah puluhan tahun meninggalkan sekolah.

BAGAIMANA TANGANI?

Encik Suhaimi berkata ia memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersasar.

Institusi Latihan misalnya boleh menawarkan jadual latihan fleksibel, seperti kelas petang atau hujung minggu, bagi mengimbangi komitmen kerja dan tanggungjawab keluarga.

Bagi pekerja syif, Institusi Latihan juga boleh mengatur latihan yang disesuaikan dengan syif di tempat kerja.

Beliau menyarankan beberapa langkah lain termasuk memberi subsidi latihan dan Kredit SkillsFuture yang lebih tinggi; menawarkan elaun latihan kepada pekerja platform setiap kali mereka tidak bekerja untuk menyertai kursus; mengadakan pembelajaran secara dalam talian supaya dapat mengimbangi tanggungjawab penjagaan anggota keluarga; menjalankan kempen ‘outreach’ dan kesedaran mengenai peluang peningkatan kemahiran; serta menyediakan program mentoring dan sokongan bagi meningkatkan keyakinan dan motivasi.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy berkata Mendaki akan meningkatkan usaha menyokong pekerja dalam golongan itu dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan SkillsFuture Singapura di samping memperkemas beberapa langkah sokongan.

Mendaki, ujarnya, akan bekerjasama dengan agensi pemerintah untuk menyasarkan bantuan dan menyesuaikan bantuan pekerjaan serta campur tangan untuk membantu mereka yang telah lama tidak bekerja.

PERANAN MAJIKAN

Majikan memainkan peranan penting menyemarakkan program peningkatan kemahiran.

Ia memerlukan anjakan minda dengan majikan mengiktiraf nilai melabur dalam pertumbuhan dan pembangunan pekerja mereka, juga demi produktiviti dan daya saing keseluruhan syarikat, kata Encik Suhaimi.

Antara lain, beliau berkata majikan boleh memainkan peranan lebih aktif dengan mengadakan pelan latihan untuk pekerja, mengenal pasti kursus yang sesuai, ada fleksibiliti dalam pengaturan kerja, menyediakan cuti belajar berbayar, membenarkan waktu kerja yang fleksibel, menawarkan pilihan latihan dalam talian dan beberapa daya usaha lain.

“Dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif ini, majikan boleh memupuk budaya pembelajaran dalam organisasi mereka dan menyokong pertumbuhan profesional pekerja mereka.

“Para pekerja akan lebih cenderung menerima peningkatan kemahiran dan menyumbang kepada kejayaan dan daya saing syarikat,” kata Encik Suhaimi.

PERI PERLU TINGKAT KEMAHIRAN

Apabila industri berkembang dan teknologi meningkat, permintaan untuk kemahiran tertentu berubah.

Encik Suhaimi menyenaraikan kelebihan peningkatan kemahiran – melengkapkan pekerja dengan keupayaan dan tangkas menyesuaikan diri mengikut perubahan, meningkatkan kecekapan dan produktiviti; membuka peluang untuk kemajuan kerjaya dan tanggungjawab di peringkat lebih tinggi, termasuk kenaikan pangkat, menangani jurang kemahiran dalam pasaran buruh, dan sebagainya.

“Peningkatan kemahiran yang dilakukan secara tetap dan kerap memastikan pekerja kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja, meningkatkan kebolehpasaran dan prospek kerjaya mereka,” kata Encik Suhaimi.

Hakikatnya, Singapura telah banyak berubah, dan perubahan berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan – ekonomi, perhubungan, gaya hidup, cara bekerja dan sebagainya – menuntut rakyat menyesuaikan diri.

Untuk kekal relevan dan menambah nilai ekonomi, para pekerja perlu kerap mempertingkat diri dengan pengetahuan dan kemahiran dengan mengikuti kursus sesuai. Ia memerlukan sedikit pengorbanan.

Kesukaran daripada pengorbanan itu hanya sementara. Seperti dijelaskan maksud sepotong ayat Al-Quran: selepas kesukaran akan datang kesenangan, sesungguhnya selepas kesukaran akan datang kesenangan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >