Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

SUSULAN PILIHAN RAYA MALAYSIA KE-15 - REFLEKSI PRU-15 - CATATAN WARTAWAN

Semarak semangat politik pengundi muda

Nov 27, 2022 | 07:48 AM



DARIPADA perbualan dengan pemandu kereta sewa privet dan usahawan muda yang menjual minuman di pasar malam kepada remaja belasan tahun yang berdiri beberapa jam dalam hujan lebat untuk mendengar hujah tokoh politik, saya hanya dapat membuat satu kesimpulan - kesedaran politik dalam kalangan belia telah disemarak di Malaysia.



Ia mungkin bermula lebih awal tetapi kesedaran ini lebih ketara sejak 2008, apabila pilihan raya umum pada tahun itu berkesudahan dengan parti pembangkang memenangi 82 kerusi parlimen, sekali gus memastikan Barisan Nasional gagal meraih majoriti super - atau dua pertiga undi buat julung-julung kali sejak 1969.



Sejak pilihan raya umum itu, suara muda telah memainkan peranan penting dalam landskap politik Malaysia sehinggalah PRU14 pada 2018 apabila BN tumpas buat julung-julung kali dan kerajaan Malaysia yang dipimpinnya selama enam dekad kini digantikan oleh kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).



Namun, perubahan yang diharap - pentadbiran stabil dan inklusif yang mengundang pembangunan ekonomi - tidak muncul.



Sebaliknya, 2018 memulakan tempoh peralihan dan pergolakan politik yang berlarutan sehingga masa ini dan memain peranan mencetus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan lebih awal daripada dijangka.



Pemandu teksi di Shah Alam, yang ingin dikenali sebagai Encik Mohd Nazeer sahaja, berkata beliau selalunya tidak minat pada politik, tapi berasa terpanggil untuk mengikuti perkembangannya sejak tempoh berkempen bermula.



"Mungkin, kita semua perlu ambil tahu, kerana perkara ini boleh mengubah hidup kita," kata Encik Nazeer, 24 tahun.



Penduduk Ipoh, Cik Farah Azmi, 27 tahun, berkata beliau mengundi di PRU15 kerana inginkan perubahan dan kerajaan yang stabil.



"Kami dapat merasakan keperitan, dengan kos harga barangan harian meningkat sejak beberapa tahun lalu. Saya harap walaupun sesiapa sahaja memerintah, mereka akan membawakan kestabilan."



PRU15, sebagaimana perkembangan beberapa hari lalu telah menunjukkan, berpotensi menjadi PRU mercu tanda yang mencarta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara.



Ia juga akan diingati sebagai pilihan raya umum pertama di mana pengundi lebih muda yang berusia 18-20 tahun dibenar mengundi.



Ini selepas undang-undang baru yang diperkenalkan pada 2019 dan dikenali sebagai Undi18 membolehkan kumpulan usia ini mengundi.



Hampir 1.4 juta rakyat Malaysia berusia 18-20 layak mengundi pada PRU15.



Bercakap dengan Berita Harian (BH) sebelum PRU15, beberapa pemerhati berkata adalah terlalu awal untuk mengetahui kesan atau impak pengundi muda ini.



Juga, pemerhati politik, Dr Oh Ei Sun, berkata andaian pengundi lebih muda akan memilih parti yang dilihat lebih insklusif seperti Pakatan Harapan, tidak semestinya betul.



Keputusan PRU15 mencadangkan perkara ini adalah benar.



Kejayaan Perikatan Nasional (PN) untuk meraih jumlah kerusi parlimen kedua paling banyak - 73 kerusi - telah disifatkan oleh beberapa pemerhati sebahagiannya kerana undi yang diberikan oleh pengundi muda kepada PN dan parti komponennya, Parti Islam SeMalaysia (PAS).



Keadaan ini membuat beberapa tokoh, termasuk calon yang bertanding di PRU15, berkata pengundi muda tidak tahu apa yang mereka mahukan dan pandangan mereka dipengaruhi pihak luar.



Mengapa begitu pula naratifnya, tanya saya dalam hati.



Jika sebelum ini, pengundi muda diusul sebagai sudah cukup matang untuk mengundi, kini apabila keputusan mengundi tidak menyebelahi pihak tertentu, pengundi muda dikatakan mengundi dalam keadaan terpedaya pula.



Sebaliknya, kita harus lihat keadaan ini dari sudut berikut: Betul atau tidak, suara pengundi muda mungkin telah didengar dengan lebih lantang di PRU15 ini.



Dan parti-parti yang bertanding di PRU15 ini atau calon yang berminat bersaing di PRU16 haru mengambil iktibar, belajar apa yang termampu daripada pengalaman ini dan membuat persediaan awal.



Belia pada hari ini akan mendewasa dan menjadi pengundi lebih matang di masa depan.



Pada ketika itu tempat mereka akan diganti oleh belia lain.



Mengenepikan suara dan impak belia muda bukan langkah yang bijak, terutama selepas jiwa politik muda telah disemarak sebegini rupa.




Pemimpin politik muda, berkaliber hilang kerusi: Apakah kesannya?



BARU 25 minit selepas tengah malam Ahad lalu, seorang anggota pasukan kempen Encik Khairy Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada media kerana telah membuat liputan kempen beliau sepanjang 14 hari lalu dalam satu kumpulan WhatsApp.



"Terima kasih banyak dan maaf atas semua kekurangan," ujar pengirim mesej tersebut.



Kumpulan WhatsApp tersebut dibentuk supaya mudah media mendapatkan maklumat tentang rancangan calon yang lebih dikenali sebagai KJ itu sepanjang tempoh berkempen hingga hari mengundi pada 19 November lalu.



Wartawan yang sedang berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur - tempat penyokong Barisan Nasional (BN) berkumpul untuk menantikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) - yang menerima mesej tersebut ketika itu memandang wajah satu sama lain, keliru.



Kekeliruan itu disuarakan beberapa wartawan yang membalas mesej itu dengan berkata "masih ada lagi masa", "belum habis (kira undi) lagi" dan "keputusan belum tahu lagi".



Namun, ia hanya dijawab dengan mesej yang berbunyi:



"Media banyak menyokong KJ. Kami amat menghargainya."



Ketika itu, hanya sekitar separuh daripada kotak undi bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh di Selangor - kawasan Encik Khairy bertanding - telah dikira.



Namun, mesej yang dikirim anggota pasukan kempen beliau itu memberi bayangan Encik Khairy di belakang pesaingnya dan mungkin kalah.



Ketika itulah, terdetik bahawa pemimpin politik berusia 46 tahun itu mungkin tidak akan menjadi Ahli Parlimen apatah lagi menjadi Ahli Jemaah Menteri dalam kerajaan Malaysia yang baru.



Sangkaan itu disahkan benar beberapa jam kemudian.



Dan sah, Malaysia kini telah kehilangan antara pemimpin politik muda yang berbakat dan progresif.



Dalam Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi Encik R Sivarasa yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), dengan meraih majoriti 26,634 undi.



Kali ini, kerusi parlimen itu dimenangi Encik R Ramanan yang bertanding atas tiket PH, dengan meraih majoriti jauh lebih rendah, iaitu 2,693 undi. Beliau mendapat 50,943 undi manakala Encik Khairy mendapat 48,250 undi.



Namun seperti yang dinyatakan Encik Khairy sehari selepas hari mengundi, kekalahan tetap kekalahan, tipis mana sekalipun.



Tapi di mana silapnya?



Memang, mantan Ahli Parlimen Rembau itu menyifatkan dirinya sebagai calon 'underdog' dan menganggap usaha menawan hati pengundi di Sungai Buloh sebagai satu tugas yang mencabar.



Namun sebagai Menteri Kesihatan Malaysia, beliau telah memainkan peranan besar dan penting menerajui respons negara itu terhadap Covdi-19 dan program vaksinasi terbesar negara hingga kadar vaksinasi Malaysia menjadi antara yang terpantas di dunia.



Beliau juga tampak cukup popular dalam kalangan penduduk semasa menjelajah sekitar kawasan itu semasa berkempen, malah dijangka mungkin akan buat kejutan untuk memenangi kerusi Parlimen itu.



Bahkan, kunjungannya ke Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Kota Damansara untuk meninjau proses undi di sana pada hari mengundi minggu lalu turut disambut meriah pengundi yang tidak putus-putus bergambar dengannya.



Ketika ditemui media ketika itu, beliau berkata pengundi di Sungai Buloh sangat ramah dan mesra menyambutnya di kawasan tersebut.



"Namun, kita hanya dapat melihat hasilnya apabila melihat keputusan undi mereka," ujar beliau.



Benar katanya, populariti tidak semestinya diterjemah sebagai undi kerana terdapat pelbagai faktor lain yang terlibat.



Selain Encik Khairy, terdapat beberapa ahli politik muda lain yang berprofil tinggi, berbakat dan mempunyai idea bernas yang kecundang dalam PRU15 seperti calon PH, Cik Nurul Izzah Anwar, juga.



Di manakah silapnya?



Ini mungkin menunjukkan bahawa legasi politik bukan lagi jaminan bagi penakatan seseorang ahli politik itu dalam kerjaya politiknya.



Dan ini yang perlu dikaji bukan sahaja oleh mereka tetapi parti dan gabungan politik mereka juga.



Walau apa pun, ini juga tidak harus dilihat sebagai penamat kerjaya politik mereka tetapi pembakar semangat untuk bangkit lebih kukuh.



Sedang kerajaan baru Malaysia dibentuk kini, mereka juga boleh terus menyumbang suara, pandangan dan pengalaman mereka untuk terus mengukuhkan dan menyepadukan negara meskipun bukan lagi sebagai Ahli Parlimen tetapi sebagai rakyat Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >