Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakal mempelai tambah berdebar rancang majlis di era pandemik

Jun 27, 2022 | 5:30 AM
- Foto THE FLAIR PICTURES
- Foto THE FLAIR PICTURES -

SETIAP kali Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 mengadakan sidang media sepanjang dua tahun lalu, bakal mempelai merupakan antara orang yang paling setia mendengar dan membaca dengan terperinci setiap pengumuman yang dibuat.

Apakan tidak, pengumuman itu boleh menjejas perancangan bagi hari bahagia mereka.

Misalnya tahun lalu, pemerintah mengumumkan bahawa semua majlis jamuan perkahwinan tidak dibenarkan dek langkah lebih ketat yang dilaksana di bawah Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) dari 16 Mei hingga 13 Jun.

Hasilnya, terdapat pasangan yang terpaksa tiba-tiba mengubah atau menyesuaikan rancangan mereka.

Sebelum itu, pasangan mempelai dibenarkan mengadakan majlis jamuan perkahwinan dengan dihadiri hingga 250 orang.

Dan apabila pemerintah mengumumkan untuk melonggarkan sesetengah sekatan pula seperti menaikkan jumlah had orang yang dibenarkan menghadiri majlis perkahwinan, berita itu disambut gembira namun dengan sikap berhati-hati kerana situasi Covid-19 cepat berubah dan bersifat dinamik.

Saya juga antara bakal mempelai yang berdebar-debar menantikan pengumuman daripada MTF setiap kali mereka mengadakan sidang media tahun lalu.

Ketika itu, kami sekeluarga telah memutuskan untuk mengambil pakej 200 orang bagi majlis jamuan selama empat jam Disember lalu.

Namun dengan jumlah kes yang ada kalanya melonjak, saya tidak menafikan rasa khuatir juga sekiranya saya dan pasangan akan ditimpa nasib yang sama seperti pasangan mempelai yang terpaksa mengubah rancangan mereka secara tiba-tiba dek langkah sekatan yang berubah mengikut situasi Covid-19.

Bagaimanapun, saya juga rasa yakin akan sokongan yang terus dihulur kepada bakal mempelai semasa pandemik.

Ketika Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) sekitar Mei hingga Jun tahun lalu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, memberi komitmen bahawa Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) akan menyokong rancangan pasangan yang terpaksa mengubah rancangan untuk berkahwin akibat langkah keselamatan Covid-19 yang diperketat untuk bernikah dan bersedia meringankan beban mereka.

Ini pastinya memberi ramai bakal mempelai, termasuk saya, ketenangan dalam keadaan yang tidak menentu, dengan banyak persiapan dan rancangan alternatif yang perlu dibuat tahun lalu.

Selain pelbagai persiapan yang perlu dibuat untuk memastikan semua langkah pengurusan selamat dipatuhi menjelang hari bahagia kami - termasuk membuat senarai tamu, menghubungi setiap tamu yang ingin dijemput untuk bertanya sama ada mereka sudah divaksinasi serta membahagikan mereka mengikut meja dan zon - kami juga perlu membuat rancangan alternatif bagi persiapan melayari bahtera rumah tangga kami, sesuai dengan langkah pengurusan selamat ketika itu.

Ini antara lain bermakna kami perlu mengikuti kursus persiapan rumah tangga Cinta Abadi menerusi Zoom.

Malah, sesi bertemu dengan naib kadi kami di bawah program Bersamamu juga dijalankan menerusi wadah dalam talian itu.

Mujur, majlis pernikahan dan walimah kami selamat berlangsung dengan lancar tanpa banyak penyesuaian yang perlu dibuat secara tiba-tiba atau pada saat akhir.

Bukan mudah merancang untuk berkahwin di tengah-tengah pandemik dengan pelbagai sekatan yang dilaksana namun bagi saya dan suami, kami bersyukur mendapat sokongan kukuh daripada ramai pihak termasuk keluarga dan teman kami serta naib kadi dan semua vendor khidmat perkahwinan kami yang amat memahami dan fleksibel membuat penyesuaian jika perlu.

Tidak mungkin saya dan suami dapat melupakan kenangan indah ini dan jasa mereka yang terlibat buat selamanya.

"Bukan mudah merancang untuk berkahwin di tengah-tengah pandemik namun bagi saya dan suami, kami bersyukur mendapat sokongan kukuh daripada ramai pihak termasuk keluarga dan teman kami serta naib kadi dan semua vendor khidmat perkahwinan kami yang amat memahami dan fleksibel membuat penyesuaian jika perlu.

Tidak mungkin saya dan suami dapat melupakan kenangan indah ini dan jasa mereka yang terlibat buat selamanya.''

- Penulis tentang majlis perkahwinan beliau

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg