Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sorot peranan, realiti Gen X yang sering ‘dilupakan’

Generasi ini perlu sokongan terutama dalam hal jagaan keluarga, usaha imbangi kerjaya, keluarga dan persaraan
May 18, 2025 | 5:30 AM
Golongan Generasi X berpotensi menjadi ‘pendamai’ atau ‘orang tengah’ kerana keupayaan mereka berhubung dengan kedua-dua generasi boomer dan millenial.
Golongan Generasi X berpotensi menjadi ‘pendamai’ atau ‘orang tengah’ kerana keupayaan mereka berhubung dengan kedua-dua generasi boomer dan millenial. - Foto ilustrasi ST

Apa yang boleh kita raih daripada label yang diberikan kepada sesebuah generasi?

Meskipun bersifat umum, label generasi boleh menjadi istilah yang menarik perhatian dan memberi gambaran tentang cabaran serta pencapaian yang membentuk sikap dan tingkah laku individu yang lahir dalam era berbeza.

Generasi silent yang lahir antara 1928 dengan 1945 (tempoh sebenar berbeza mengikut definisi tertentu), menempuh kengerian Perang Dunia Kedua dengan ketabahan dan keberanian. 

Dikenali sebagai generasi berdisiplin dan mempunyai semangat tanggungjawab yang tinggi – mungkin ini sebabnya mereka cenderung untuk tidak membuat perubahan besar, berbeza daripada generasi selepas mereka.

Generasi baby boomer (1946–1964) yang datang setelah itu, membesar dalam era pemulihan dan pembangunan pasca-perang. 

Dengan akses lebih baik kepada pendidikan dan taraf hidup lebih moden, mereka menjadi ‘pemberontak’ pada zaman mereka – yang lebih berani mencabar tradisi, menyuarakan pandangan dan menonjolkan identiti diri.

Generasi millenial (1981–1996), atau Generasi Y, yang meningkat dewasa sekitar alaf baru, dibesarkan bersama Internet dan pelbagai kemajuan teknologi abad ke-21. 

Kehidupan, gaya hidup serta nilai-nilai yang dipegang mereka turut dipengaruhi teknologi, kerana sentiasa terhubung dengan dunia digital.

Generasi Z (1997–2012), yang juga digelar zoomers, turut terdedah kepada media sosial sejak kecil.

Ada yang menganggap mereka sebagai warga natif digital sebenar – seseorang yang dilahirkan atau dibesarkan semasa zaman teknologi digital dan tidak boleh dipisahkan daripada penggunaan komputer dan Internet – bahkan lebih natif daripada generasi millenial

Tidak dilupakan Generasi X, yang lahir antara 1965 hingga 1980. Mereka tiada nama khusus, tiada label tertentu, hanya ‘X’ – ia seakan-akan melambangkan misteri, tanpa identiti tetap, atau mungkin satu penolakan terhadap stereotaip yang diberikan kepada sesebuah generasi.

Generasi ‘Latchkey’

Generasi ‘latchkey’ ialah generasi yang terpaksa membesar secara berdikari kerana ibu bapa mereka keluar bekerja.

Ia kadangkala digelar generasi yang dilupakan, namun bagi saya – seorang Generasi X yang lahir tepat di tengah-tengah era ini – ia adalah sesuatu yang saya banggakan.

Pada satu sisi, ketiadaan label khusus mencerminkan ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan generasi ini – boleh diharap, berpandangan praktikal dan produktif dalam menghadapi turun naik ekonomi serta cabaran dalam politik, budaya dan masyarakat.

Malah, sikap berdikari generasi ini mungkin hasil daripada hakikat bahawa mereka memang sering ‘dilupakan’.

Ramai anak-anak generasi ini perlu menjaga diri mereka sendiri kerana ibu bapa mereka sibuk bekerja.

Ini hakikat generasi ‘latchkey’, yang kehidupannya dibentuk dengan lebih ramai para ibu keluar bekerja, kadar perceraian meningkat, dan saiz keluarga semakin mengecil.

Ketika membesar, Generasi X turut terhimpit dalam arus perubahan sosial dan politik yang lebih meluas. 

Mereka sempat hidup di zaman kampung-kampung Singapura masih wujud namun semakin lenyap, hidup dalam era Perang Dingin, serta menjadi saksi kepada kejatuhan sistem komunis zaman Soviet.

Namun, mereka juga masih cukup ‘muda’ untuk menerima teknologi moden, dan cukup ‘hip’ menyertai dunia dalam talian.

Kini dalam lingkungan usia lewat 40-an dan 50-an, generasi tanpa label ini akhirnya mula menonjol. Di serata dunia, Generasi X semakin memainkan peranan penting dalam kepimpinan politik dan korporat.

Menurut beberapa anggaran, mereka mengisi sekitar separuh daripada jawatan kepimpinan di peringkat global, meskipun hanya merangkumi satu per empat daripada populasi dunia. 

Ini termasuk pengasas Tesla, Encik Elon Musk; serta saintis komputer dan pengasas Google, Encik Sergey Brin dan Encik Larry Page.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dan ramai pemimpin dalam barisan kepimpinan generasi keempat (4G) negara, juga berasal daripada generasi ini.

Namun keadaan itu perlahan-lahan berubah, kerana Generasi X juga semakin berusia – dengan kelompok tertua mencecah umur 60 tahun pada 2025, manakala yang termuda kini sudah melepasi pertengahan usia 40-an.

Bilangan Generasi X juga semakin mengecil – bukan sahaja dari segi populasi, bahkan di tempat kerja juga.

Berbeza daripada generasi sebelumnya, ramai dalam kalangan mereka kini kurang cenderung mengorbankan keluarga dan diri demi kerjaya, lebih rela melepaskan jawatan dan kuasa, serta lebih berminat untuk bersara.

Akibatnya, ramai pekerja di kalangan Generasi X memilih untuk tidak lagi mengejar kenaikan pangkat, meninggalkan tempat kerja tradisional untuk memulakan perniagaan sendiri, atau bahkan merancang untuk bersara lebih awal.

Keadaan ini turut didorong oleh keengganan pemimpin generasi baby boomer untuk berundur, serta tekanan kerja yang meningkat dan kekurangan rehat.

Keadaan ini memaksa generasi millenial yang lebih bertenaga tetapi kurang berpengalaman mengambil alih peranan daripada baby boomer yang semakin berusia, sekali gus mencetuskan peralihan kepimpinan yang penuh dengan ketegangan dek jurang generasi besar antara para pekerja.

Di tengah-tengah jurang generasi yang begitu ketara, Generasi X dilihat berpotensi menjadi ‘orang tengah’, kerana pendekatan mereka lebih mudah diterima oleh kedua-dua generasi boomer dan millenial.

Pendamai antara Generasi

Menurut Generations Project, satu kajian mengenai jurang generasi yang dijalankan oleh penerbit Graceworks, Generasi X berpotensi memainkan peranan sebagai ‘pendamai’ kerana keupayaan mereka untuk berhubung dengan generasi boomer dan millenial.

Penceramah motivasi dan penulis, Encik Simon Sinek, percaya bahawa usaha merapatkan jurang generasi memerlukan pemahaman lebih mendalam terhadap konteks sosial, tekanan dan dorongan setiap generasi.

“Apa yang benar-benar berkesan ialah empati. Ia merupakan usaha memahami perkara yang sedang berlaku dalam kehidupan mereka,” katanya dalam satu ceramah pada 2024.

Namun, peranan ini tidak mudah kerana pegangan hidup antara generasi berlainan, jauh berbeza. 

Pekerja di kalangan boomer yang diajar untuk ‘bertahan dan bersabar’, mungkin sukar memahami perjuangan generasi millenial dalam soal identiti, harga diri, kesunyian dan keresahan.

Generasi X pula mempunyai sedikit pengalaman daripada kedua-dua sisi. Ini meletakkan mereka pada kedudukan lebih sesuai untuk memahami pandangan kedua-dua pihak.

Di tempat kerja lama saya, pemimpin Generasi X sering menjadi perantara antara dua generasi ini, dan membantu mencari jalan tengah yang boleh diterima semua.

Malangnya, bilangan Generasi X di tempat kerja semakin berkurang kerana cabaran unik yang dihadapi mereka.

Mereka sering digelar sebagai ‘generasi terhimpit’, atau sandwiched generation, kerana memikul tanggungjawab berganda – menjaga anak-anak yang masih membesar serta ibu bapa yang semakin uzur. 

Beban ini turut ditambah dengan keperluan untuk mula merancang persaraan sendiri yang semakin hampir.

Penghujung landasan

Pada usia sekitar 50 hingga 55 tahun, bukan mudah mencari pekerjaan baru atau menukar kerjaya. 

Ada yang bergelut untuk menguasai teknologi terkini dan memenuhi tuntutan dunia pemasaran media sosial.

Pada masa yang sama, banyak jawatan kepimpinan tertinggi masih dipegang oleh golongan boomer, sekali gus mengehadkan kemajuan kerjaya bagi Generasi X.

Bagi generasi yang dikenali dengan sifat berdikari dan kebergantungan pada diri sendiri, meminta bantuan mungkin sesuatu yang sukar — malah agak ironik — tetapi itulah yang mungkin diperlukan ketika ini.

Pelancaran Pakej Majulah oleh pemerintah, iaitu satu rangka langkah yang disasarkan kepada golongan berusia 50-an dan awal 60-an, merupakan satu pengiktirafan terhadap keperluan generasi ini. 

Namun, jumlah bantuan yang lebih kecil berbanding jumlah yang diberikan kepada Generasi Perintis dan Generasi Merdeka mencerminkan satu hakikat – iaitu Generasi X memerlukan bantuan bukan sekadar dalam bentuk kewangan.

Memandangkan mereka secara umum mempunyai tahap pendidikan yang lebih baik dan lebih banyak peluang pekerjaan berbanding ibu bapa mereka, Generasi X mungkin tidak terlalu terdesak dari segi kewangan. Namun, mereka kekurangan masa dan tenaga.

Sekiranya Generasi X ingin terus kekal sebagai tenaga aktif di tempat kerja dan berperanan sebagai penghubung bagi melancarkan peralihan kepimpinan dalam syarikat dan organisasi, mereka memerlukan lebih banyak sokongan – terutama dalam hal penjagaan keluarga serta usaha imbangi kerjaya, keluarga dan persaraan mereka sendiri.

Ini bermakna prasarana dan program yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan – agar ibu bapa lanjut usia mereka tetap terjaga semasa mereka keluar bekerja; lebih fleksibiliti dan sokongan diberikan dalam fasa akhir pembinaan kerjaya; lebih banyak pengiktirafan terhadap potensi serta sumbangan mereka; dan lebih banyak bantuan disediakan bagi merancang persaraan.

Dan mungkin, sudah tiba masanya generasi yang senyap, boleh diharap, rajin bekerja tetapi sering dilupakan ini diberi penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya. 

Tetapi tidak perlu berikan kami gelaran istimewa – kami tetap selesa dikenali sebagai Generasi X.

Penulis ialah seorang penulis dan editor bebas, serta bekas wartawan The Straits Times (ST). Artikel ini pertama kali diterbitkan di ST.

“Sekiranya Generasi X ingin terus kekal sebagai tenaga aktif di tempat kerja dan berperanan sebagai penghubung bagi melancarkan peralihan kepimpinan dalam syarikat dan organisasi, mereka memerlukan lebih banyak sokongan – terutama dalam hal penjagaan keluarga serta usaha imbangi kerjaya, keluarga dan persaraan mereka sendiri. Ini bermakna prasarana dan program yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan – agar ibu bapa lanjut usia mereka tetap terjaga semasa mereka keluar bekerja; lebih fleksibiliti dan sokongan diberikan dalam fasa akhir pembinaan kerjaya; lebih banyak pengiktirafan terhadap potensi serta sumbangan mereka; dan lebih banyak bantuan disediakan bagi merancang persaraan.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg