Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Suami mahu yakin diri? Ini rahsianya...

Sep 01, 2019 | 05:30 AM



BILANGAN wanita setempat yang sanggup berbelanja hingga ribuan dolar untuk mengambil 'gambar ranjang' kian meningkat, menurut laporan di The Sunday Times baru-baru ini.



Gambar-gambar yang kebanyakannya boleh tergolong dalam kategori berahi, menampilkan wanita-wanita itu - biasanya seorang diri dan tanpa paksaan - secara artistik dalam ruang yang intim, seperti di katil, kamar atau bilik mandi.



Mengambil gambar mengikut cara 'fotografi boudoir' - boudoir bermaksud kamar dalam bahasa Perancis - itu dikatakan kian kerap menjadi pilihan wanita berusia antara lewat 30-an tahun dengan 60-an tahun.



Antara lain, mereka berbuat demikian untuk memperkukuh keyakinan diri sendiri atau demi memperingati saat mercu tanda dalam hidup mereka, kata artikel itu.



Ada juga wanita yang mengambil gambar boudoir sebagai hadiah bagi pasangan suami mereka sempena hari lahir atau hari ulang-tahun perkahwinan.



Sebahagian besar mereka mengambil foto sedemikian untuk tatapan sendiri dan dengan pasangan mereka, dan bukan untuk ditunjukkan kepada ramai.



Tinjauan terhad saya di Google menunjukkan bahawa jenis fotografi ini dipengaruhi cara fotografi intim dari lewat kurun ke-19, seperti gambar yang diambil oleh jurugambar Amerika Syarikat Albert Arthur Allen.



Ia juga dipengaruhi poster wanita seksi yang dihasilkan pemerintah Amerika untuk menggalak sang pria menyertai perjuangan Perang Dunia Kedua pada lewat tahun 1930-an.



'Budaya Hollywood' yang sinonim dengan perbuatan memperagakan seks untuk menarik perhatian juga memainkan peranan.



Dari sudut ini, penularan fotografi boudoir ke Singapura kebelakangan ini mungkin kurang memeranjatkan dalam masyarakat yang dahulunya konservatif tetapi kini kian berfikiran terbuka.



Penularan penggunaan media sosial juga menjadikan bak lumrah perkongsian pengalaman privet di ruang awam.



Namun, keadaan ini mencetus tanda tanya dalam benak hati saya.



Sebagai seorang bapa dua anak yang kini mencecah usia 40 tahun - apa pula yang dilakukan oleh lelaki setempat untuk memperkukuh keyakinan diri sendiri atau untuk dijadikan hadiah buat pasangan masing-masing?



Satu perkara yang pasti - gambar saya dalam bilik tidur memakai hanya seluar 'katok' - tentunya tidak akan dianggap hadiah oleh isteri saya. (Maaf kerana menyelinap imej itu ke dalam minda anda. Saya pun bergelut untuk memadamnya dari ingatan peribadi).



Mungkin inilah sebabnya gambar boudoir masih belum menjadi popular dalam kalangan lelaki setempat.



Namun saya ada satu hipotesis mengapa kumpulan lelaki berusia 38 tahun dan ke atas yang pernah perasan tampan; yang kurang bersenam tapi terlebih nasi ambeng; yang makan dua roti perata kosong tapi masih berasa lapar; kurang mendakapi trend ini.



Kami semua amat berkeyakinan diri dan tidak memerlukan pengaruh luar untuk berasa diri kami dihargai.



Kami juga lebih rela membelanjakan wang sebanyak itu bagi tujuan lain - membeli konsol permainan video terbaru, membeli basikal gunung serba lengkap yang hanya ditunggang pada hujung minggu, membeli kasut sukan yang padat ciri canggih untuk melindungi kaki apabila berjalan di pusat beli-belah (anda pun bersalah kan? Mengaku saja) - dan sebagainya.



Mungkin perbuatan ini satu cara kami menangani krisis pertengahan usia, tapi itu adalah topik bagi artikel yang lain.



Pokoknya, kami tidak perlukan dorangan luar untuk berasa yakin.



Bersenjatakan perut dan wajah 'dwidagu', kamilah lambang keyakinan diri. Ooops. Bukan hasrat saya untuk menambah kepada imej yang ada di minda anda.



Sejujurnya, saya tidak memandang serong kepada kumpulan atau sesiapa sahaja yang memilih untuk melakukan sebarang kegiatan bagi memperkukuh keyakinan diri sendiri atau memenuhi sebarang kekosongan dalam hidup mereka.



Bagi saya, anda boleh tayangkan apa sahaja yang anda mahu di ruang anda di media sosial, luahkan apa sahaja yang tersemat di hati, ambil seberapa banyak gambar ranjang yang dimampui, asalkan perbuatan anda itu tidak menghina atau menganiaya orang lain.



Justeru, tanpa disangka-sangka, topik gambar boudoir ini telah menambah azam saya untuk mencuba sesuatu yang baru, sesuatu yang biasanya di luar zon selesa diri saya.



Hujung minggu ini, saya berazam memesan dua kosong dan satu telur di gerai perata.



Norman Sawi wartawan BH/BM. Isu sekitaran, pendigitalan dan budaya popular antara yang dekat dihatinya. Baru-baru ini, beliau juga sedang cuba-cuba memasak; dan tidak semua percubaannya itu berakhir dengan tragedi.
Ikuti Norman di Instagram dan Twitter @normansawi




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >