Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Sukar dengar? Ayuh buat pemeriksaan segera

Jan 19, 2020 | 05:30 AM



PENDENGARAN seseorang rata-rata merosot mulai usia 45 tahun, dengan nada tinggi, seperti suara wanita dan kanak-kanak, menjadi lebih sukar didengari berbanding nada rendah.



Beberapa faktor, seperti bekerja di tempat bising dan genetik, boleh mempercepatkan lagi kemerosotan pendengaran seseorang, begitu juga penjagaan telinga yang kurang baik, seperti menggunakan fon telinga pada kadar bunyi kuat bagi tempoh yang berpanjangan.



Konsultan di Jabatan Otolaryngologi (pembedahan telinga, hidung dan tekak) Hospital Besar Singapura (SGH), Dr Siti Radhziah Sudirman, berkata seseorang yang mempunyai masalah pendengaran antara lain akan mengadu sukar mendengar perbualan di telefon.



Mereka juga sering menguatkan bunyi televisyen atau radio, dan ahli keluarga mengadu perlu meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka.



“Apabila seseorang itu sudah mendapati tanda-tanda di atas, sebaik-baiknya mereka menjalani pemeriksaan secepat mungkin.



“Projek Pemeriksaan Warga Emas (Project Silver Screen) membolehkan warga emas menjalani pemeriksaan mata, telinga dan mulut di beberapa lokasi seperti kelab masyarakat dan Pusat Kegiatan Warga Emas.



“Beberapa soalan akan ditanyakan untuk menentukan sama ada mereka mempunyai masalah pendengaran yang ringan, pertengahan atau serius. Mereka juga akan menjalani ujian pendengaran dan berdasarkan keputusan itu, mereka akan dirujuk ke klinik yang bersesuaian untuk mendapatkan bantuan,” kata Dr Siti, 36 tahun.



Beliau juga berkata semasa pemeriksaan itu, telinga akan diperiksa menggunakan otoskop, dan ini akan dapat membantu mengesan pesakit yang mungkin memerlukan pembedahan telinga.



“Mungkin ada kekotoran telinga yang perlu dibersihkan, atau gegendang telinga berbentuk tidak normal atau berlubang dan perlu diperbaiki. Mereka akan dirujuk ke pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) yang kemudian akan menentukan sama ada pembedahan perlu dilakukan atau pengurusan konservatif mencukupi atau alat bantuan pendengaran mungkin diperlukan,” jelasnya.



Dr Siti juga berkata sedang sesetengah warga emas mungkin tidak selesa memakai alat bantuan pendengaran, alat itu sebenarnya dapat membantu meningkatkan mutu kehidupan.



“Ada pesakit yang menjauhkan diri mereka daripada orang ramai apabila mereka sedar yang mereka sukar mendengar. Ini boleh menyumbang kepada kelembapan mental dan mereka boleh mengalami demensia awal,” kata Dr Siti.



Beliau menasihatkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas menjalani pemeriksaan telinga, namun mereka yang mempunyai sejarah kehilangan pendengaran awal dalam keluarga, atau bekerja di tempat yang bising agar menjalani pemeriksaan lebih awal.



Bagi menjaga pendengaran, Dr Siti menasihatkan agar semua orang, tak kira muda atau tua, elak daripada mendengar bunyi kuat, termasuk semasa menggunakan fon telinga.



Beliau juga tidak menggalak membersihkan telinga menggunakan pengorek telinga atau ‘ear candling’ iaitu membersihkan kotoran di dalam telinga dengan menggunakan lilin khas.



“Ini adalah amalan yang kurang baik kerana boleh mencederakan lapisan telinga dan menyebabkan jangkitan. Jangkitan berulang boleh menyebabkan nanah yang boleh menjejas pendengaran.



“Jika alat menggorek dimasukkan terlalu dalam, ia boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang. Gegendang telinga yang berlubang mengambil masa untuk pulih tetapi jika kita terus mengorek telinga, ia akan menyebabkan lebih banyak trauma sehingga gegendang telinga langsung tidak dapat dipulihkan.



“Selain itu, apabila kita mengorek telinga, kita menolak tahi telinga ke dalam lagi sehingga ia menebal di gegendang telinga. Ini boleh menjejaskan pendengaran kita,” katanya.



Dr Siti mengesyorkan agar telinga dibersihkan dengan menitiskan minyak zaitun ke dalam telinga buat beberapa hari. Tahi telinga kemudian akan keluar dengan sendirinya.



“Telinga kita mempunyai mekanisme membersih sendiri. Kulit dalam liang telinga kita tumbuh ke luar dengan membawa sekali tahi telinga. Dengan mengorek telinga, kita sebenarnya menentang mekanisme semulajadi dalam telinga kita,” katanya.



Beliau bagaimanapun berkata jika tahi telinga tetap tidak dapat dikeluarkan menggunakan minyak, orang ramai dinasihatkan berjumpa doktor untuk memeriksa keadaan telinga dengan lebih teliti.



Lakukan pemeriksaan fungsi di kawasan kejiranan anda. Lungsuri laman www.projectsilverscreen.sg atau hubungi Talian AIC Hotline di 1800 650 6060, Isnin hingga Jumaat: 8.30 pagi hingga 8.30 malam atau Sabtu: 8.30 pagi hingga 4.00 petang, tidak termasuk cuti umum. E Rencana ini dihasilkan dengan sokongan Kementerian Kesihatan (MOH). 




  • Rencana ini dihasilkan dengan sokongan Kementerian Kesihatan (MOH). 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >