Singapura bakal merai ulang tahunnya yang ke-60 pada 2025.
Pelbagai kegiatan turut diatur sepanjang tahun bagi warga dan penduduk bersama-sama menyambutnya.
Pada 2025 juga, Akaun Khas (SA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas akan menyaksikan perubahan. Ia bakal ditutup menyusuli pindaan undang-undang.
Dalam Singapura mengorak langkah ke dekad seterusnya, sejauh manakah anak muda kita tahu tentang keupayaan CPF dan bagaimana ia boleh menjadi ‘peneman sepanjang hidup’?
Terkesan rasanya setelah mendengar dialog sekumpulan tiga anak muda – mungkin dalam sekitar 20-an tahun – yang rancak berbual di dalam lif tentang wang gaji dan potongan CPF.
“Kalau tak potong CPF best eh?”
Yang seorang lagi mencelah: “Dahlah tu, nanti kalau dah tua pun, bukannya boleh keluar semua...”
Anak muda kedua ternyata sedar tentang perlunya mengumpulkan sejumlah wang yang disebut sebagai jumlah minimum atau minimum sum.
Jumlah ini mengambil kira inflasi jangka panjang, jangka hayat lebih lama serta taraf hidup yang meningkat. Maka itu, kadarnya berbeza setiap tahun
Bagi mereka yang mencecah 55 tahun pada 2024, Jumlah Persaraan Asas (BRS) yang perlu diketepikan ialah $109,200; Jumlah Persaraan Penuh (FRS) ialah $205,800; Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan (ERS) buat masa ini ialah $308,700.
Mulai 2025, ERS akan dinaikkan ke empat kali BRS bagi membolehkan pencarum menerima bayaran atau wang bulanan lebih tinggi setelah mencapai usia 65 tahun.
Semua angka ini mungkin kurang bermakna bagi sebahagian golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan.
Dapat difahami apabila ada yang lebih cenderung mahukan wang gaji bulanan mereka sepenuhnya.
Untuk menyampaikan semua ini – jumlah minimum, CPF LIFE dan sebagainya – kepada anak muda, memerlukan pendekatan yang jauh lebih kreatif, menggunakan wadah yang kerap menjadi tumpuan mereka, dalam bahasa atau lingo mereka juga.
Apa yang penting, maklumat itu harus berada pada tahap yang mudah mereka cerna agar segala salah tanggapan dapat diperbetul.
Dengan itu, diharap mereka akan dapat menerima keperluan potongan CPF secara bulanan dengan berlapang dada.
Pendekatan sebegini dapat membantu apatah lagi dengan semangat keusahawanan dalam kalangan belia yang tampak kian membara. Ada juga yang lebih senang bergerak sendiri selaku pekerja bebas kerana enggan makan gaji sepanjang hayat.
Bagaimanakah generasi ini mempersiapkan diri dalam mengharungi kehidupan dengan pertambahan usia nanti?
Bagi yang bijak melabur, mereka mungkin berada di landasan yang lebih baik. Ramai juga tahu di samping CPF untuk persaraan, terdapat juga Skim Pelaburan CPF (CPFIS).
Boleh dikatakan CPF adalah antara akronim paling lazim didengar khususnya bagi mereka yang memasuki alam pekerjaan.
CPF ditubuhkan pada 1 Julai 1955, bagi membantu golongan pekerja menabung untuk persaraan dengan memperuntuk sebahagian daripada gaji bulanan.
Pada 1968, pemerintah memperkenalkan Skim Perumahan Awam, yang membolehkan warga menggunakan wang CPF untuk membayar gadai janji bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka.
Anak muda mungkin lebih mudah mengaitkan CPF dengan pembayaran untuk rumah dan juga keperluan perubatan melalui MediSave.
Berdasarkan laman web Lembaga CPF, ia mempunyai program keterlibatan belia dari peringkat sekolah menengah sebagai permulaan bagi golongan remaja memahami laluan mendewasa dengan CPF.
Pendekatannya adalah melalui gamifikasi – penerapan unsur permainan dalam kaedah pembelajaran melibatkan peraturan, pemarkahan, persaingan, cabaran dan keseronokan bagi menggalakkan penglibatan pelajar.
Mereka juga boleh meneroka halaman yang ada untuk mengetahui lebih lanjut tentang CPF.
Usaha ini memang dialu-alu tetapi kita juga perlu membantu mereka yang masih ‘terkapai-kapai’ untuk memahami terasnya.
Tertarik rasanya apabila membaca laman web, Dollars and Sense pada 2021 yang pernah melaporkan bagaimana 10 pencarum muda CPF, berusia antara 25 dengan 30 tahun, sudah mempunyai setengah juta dolar atau lebih di dalam akaun CPF mereka.
Golongan pencarum muda CPF yang kaya itu dipercayai berupaya mencapai tahap sebegitu hasil sokongan ibu bapa, atau datuk nenek yang sedar tentang faedah kompaun lalu merebutnya. Sejak awal, mereka mungkin bijak menokok akaun CPF anak mereka.
Golongan muda itu disifatkan sebagai beruntung kerana mempunyai anggota keluarga yang mempunyai lebihan sumber serta berpandangan jauh.
Mungkin sudah tiba masanya CPF yang kerap dikaitkan dengan warga emas dan isu persaraan diberi nafas baru dan dijadikan ‘hip’ agar anak muda kita berasa FOMO (singkatan bagi frasa Fear of Missing Out atau takut ketinggalan) jika tidak benar-benar mendalaminya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg