Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nikah 'online' sah...

Bila semua syarat dipenuhi, kata Ustaz Pasuni
May 6, 2020 | 5:30 AM
KALAU ADA PILIHAN: Ustaz Pasuni Maulan secara peribadi merasakan tidak ramai pasangan yang akan memilih bernikah secara 'online' jika ia boleh dilakukan secara fizikal. - Foto fail
KALAU ADA PILIHAN: Ustaz Pasuni Maulan secara peribadi merasakan tidak ramai pasangan yang akan memilih bernikah secara 'online' jika ia boleh dilakukan secara fizikal. - Foto fail -

DARI segi agama, akad nikah secara dalam talian tidak salah, malah sah jika semua syarat sah nikah dipenuhi.

Bahkan, menurut kadi di Pejabat Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Pasuni Maulan, beliau pernah menerima permintaan pasangan yang ingin bernikah secara 'online' sebelum ini.

Permintaan tersebut terpaksa ditolak kerana undang-undang di negara ini tidak membolehkannya.

Namun, hal demikian bakal berubah setelah rang undang-undang yang dibentangkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Parlimen kelmarin diluluskan.

Rang undang-undang tersebut membolehkan ROMM dan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) merasmikan pernikahan secara dalam talian.

Pernikahan sedemikian akan disediakan hanya bagi pasangan yang sekurang-kurangnya seorang daripada mereka merupakan warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR).

Pasangan harus mengemukakan dokumen-dokumen yang disahkan di Singapura untuk pengesahan.

Dokumen yang disahkan di luar negara tidak akan diterima.

Bagi majlis pernikahan sedemikian dirasmikan, pasangan, wali serta saksi harus berada di Singapura.

Pada 24 April lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengeluarkan irsyad membolehkan pernikahan secara dalam talian setelah ROMM menanyakan sama ada akad nikah boleh dijalankan secara virtual melalui persidangan video.

Ini lebih-lebih lagi ketika keadaan tidak mengizinkan perlaksanaan majlis akad nikah secara fizikal seperti pada waktu penularan wabak Covid-19 di Singapura pada masa ini.

Diminta pendapatnya, Ustaz Pasuni, yang telah berkhidmat sebagai kadi selama lebih 50 tahun, berkata:

"Dari segi agama (pernikahan secara dalam talian) memang boleh. Malah, kalau pengantin lelaki tak dapat hadir, dia boleh mewakilkan orang yang dipercayai, tetapi undang-undang negara kita tidak mengizinkan perkara begitu."

Namun, secara peribadi, beliau merasakan tidak ramai pasangan yang akan memilih bernikah secara online jika ia boleh dilakukan secara fizikal.

"Ini (pernikahan) adalah sejarah dalam kehidupan seseorang.

"Kalau kita nikah secara dalam talian, dapat tak kita menghayatinya sebagaimana jika kita berada di depan wali, saksi?

"Pernikahan ini suatu perkara yang emosional, tak sama 'feeling'-nya kalau buat secara online," kata beliau.

Pun begitu, langkah membolehkan pasangan bernikah secara dalam talian disambut baik oleh Encik Mohamad Iswandy Mohamad Ya'acob, 29 tahun; dan tunangnya, Cik Nur Syarfeena Mohd Fauzi, 27 tahun.

Pasangan yang merancang bernikah dan bersanding pada 19 Julai nanti berkata mereka telah pun memikirkan perancangan alternatif seandainya majlis mereka terjejas.

Dihubungi Berita Harian, Encik Iswandy berkata mereka bersedia membatalkan majlis persandingan atas keprihatinan kesihatan dan keselamatan tetamu, namun mahu meneruskan pernikahan.

Ini termasuk bernikah secara dalam talian - jika perlu. Pun begitu, jika pernikahan boleh dilaksanakan secara biasa, sudah tentu pernikahan 'normal' akan dipilihnya.

"Memang tak dinafikan ini (pernikahan dalam talian) masih sangat baru bagi kita semua, tapi saya dan tunang bersetuju untuk teruskan asalkan dapat nikah.

"Dari apa yang saya baca dan lihat dalam berita, situasi Covid-19 ini tidak akan berkurangan dalam masa terdekat.

"Jadi, perkara baik mengapa tidak dipercepat, kami pun dapat halalkan hubungan," ujarnya.

"Dari segi agama (pernikahan secara dalam talian) memang boleh. Malah, kalau pengantin lelaki tak dapat hadir, dia boleh mewakilkan orang yang dipercayai, tetapi undang-undang negara kita tidak mengizinkan perkara begitu... Ini (pernikahan) adalah sejarah dalam kehidupan seseorang. Kalau kita nikah secara dalam talian, dapat tak kita menghayatinya sebagaimana jika kita berada di depan wali, saksi? Pernikahan ini suatu perkara yang emosional, tak sama 'feeling'-nya kalau buat secara 'online'." - Ustaz Pasuni Maulan (gambar), kadi di Pejabat Pernikahan Orang Islam (ROMM).

"Memang tak dinafikan ini (pernikahan dalam talian) masih sangat baru bagi kita semua, tapi saya dan tunang bersetuju untuk teruskan asalkan dapat nikah. Dari apa yang saya baca dan lihat dalam berita, situasi Covid-19 ini tidak akan berkurangan dalam masa terdekat. Jadi, perkara baik mengapa tidak dipercepat, kami pun dapat halalkan hubungan." - Encik Mohamad Iswandy Mohamad Ya'acob yang merancang bernikah dan bersanding pada 19 Julai.

IRSYAD BERKENAAN NIKAH 'ONLINE'

* Pendapat agama berdasarkan hukum Islam adalah akad nikah secara dalam talian dibolehkan selagi segala syarat sah pernikahan dapat dipastikan.

* Mengambil kira situasi sekarang ini, dengan langkah-langkah jarak selamat yang perlu diperhatikan bagi mengawal penularan Covid-19, Pejabat Mufti berpandangan bahawa ROMM boleh mengendalikan upacara pernikahan melalui persidangan video apabila ada keperluan kepadanya, selagi dapat dipastikan bahawa segala pensyaratan yang ditetapkan dalam hukum Islam berkaitan kesahihan akad pernikahan itu dipenuhi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg