Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Tahan desakan pembelian dalam talian

Dec 19, 2021 | 05:30 AM



WAKTU malam semasa berehat di atas katil sebelum terlena merupakan masa paling seram bagi saya.



Bukan seram kerana takutkan makhluk alam ghaib yang sering dikaitkan dengan waktu malam.



Tetapi seram kerana waktu itulah mata dan jari jemari saya 'berhantu' main telefon bimbit untuk melihat barang dan trend fesyen terkini, daripada pakaian dan kasut hingga ke barang rumah, yang dijual dalam talian.



Sekali tengok, memang produk itu tidak penting mahupun diperlukan tetapi mata ini tidak boleh lepas pandang.



'Eh, cantiknya sudu garpu warna merah ini', 'Wah! Cadar bunga-bunga ada diskaunlah masa 11.11!', 'Kasut sports ni bagus kalau beli masa Black Friday, boleh pergi jogging' - sudah beribu kali agaknya ungkapan seperti ini terdetik di dalam hati saya sehingga tidak terkira.



Ini sehinggalah saya pun 'terbeli' barang-barang yang sebenarnya saya tidak perlukan langsung.



Padahal, di rumah sudah ada banyak sudu garpu, ada juga cadar yang sudah lama dibeli tetapi belum digunakan, dan saya bersenam pun mungkin hanya dua atau tiga kali sebulan.



Situasi sebegini bukan hanya saya seorang yang alami, malah juga ramai keluarga dan rakan-rakan saya.



Malah, menurut tinjauan Visa yang dijalankan September tahun lalu, lebih ramai warga Singapura kerap membeli-belah dalam talian semasa pandemik ini.



Dapatan tinjauan itu menunjukkan 74 peratus pengguna di Singapura membeli-belah dalam talian dengan lebih kerap dek Covid-19, dan 31 peratus rakyat Singapura juga telah membuat pembelian dalam talian buat kali pertama semasa pandemik ini.



Memang menyesal apabila tengok angka besar di penghujung surat bil kad kredit yang datang setiap bulan, tetapi apakan daya, sudah terlambat untuk putarkan masa.



Sebenarnya, tiada masalah jika kita mahu memanjakan diri dan menikmati 'terapi beli-belah' sekali sekala, tetapi jika ini dilakukan setiap minggu atau setiap bulan, parahlah kocek kita dibuatnya.



Sebab itulah sejak awal tahun ini, saya telah amalkan pelbagai strategi sebagai langkah mengelakkan dan mengawal diri saya daripada terus terperangkap dalam kegilaan beli-belah dan jualan murah musiman dalam talian yang kelihatan seperti tidak ada kesudahannya.



Salah satu cara yang saya lakukan ialah masukkan barang yang saya suka ke dalam 'shopping cart' dan kemudian membiarkannya begitu sahaja sebelum tidur.



Kalau saya terlupa akan barang itu keesokannya, maknanya memang ia tidak penting.



Kalau saya masih teringat-ingat lagi, saya akan soal diri saya sama ada ia benar-benar diperlukan, apakah tujuan saya mahu memiliki barang itu dan berapa lamakah akan saya simpan atau gunakan barang itu sebelum ia dibuang atau digantikan dengan yang baru.



Biasanya, soalan seperti itu akan membuat saya pening kepala dan akhirnya, saya sendiri akan rasa 'malas' mahu teruskan niat membeli barang itu.



Cara kedua ialah saya akan melihat kalendar dan mencari tarikh penting - hari lahir suami, ibu, ayah, adik-adik dan rakan-rakan, Hari Raya Puasa, hari ulang tahun perkahwinan saya, Hari Ibu, Hari Bapa dan sebagainya.



Jika saya gunakan wang yang ada sekarang untuk membeli barang dalam talian, saya mungkin tidak dapat memberikan hadiah terbaik atau belanja orang tersayang di restoran mewah atau bercuti di luar negara bersama keluarga seperti yang diinginkan.



Ini akan membuat saya fikir dua, tiga, empat kali sebelum beli.



Lagipun, rasa gembira memberi keceriaan kepada orang tersayang jauh lebih memuaskan dan bermanfaat daripada membeli sudu garpu baru untuk diri sendiri.



Lebihan wang yang ada di tangan kita itu juga sebenarnya boleh digunakan untuk banyak perkara lain yang lebih berfaedah.



Bak pepatah sediakan payung sebelum hujan, kita boleh berjimat untuk hari-hari kecemasan yang berlaku di luar dugaan.



Wang itu juga boleh digunakan untuk pelaburan - bukan hanya dari segi memperluaskan aset kewangan tetapi juga pelaburan untuk mempertingkat diri sendiri dalam pelbagai aspek seperti kemahiran, pengetahuan dan kesihatan tubuh, mental dan emosi juga.



Kita juga boleh 'melabur' dalam saham akhirat dengan melakukan amal jariah, seperti menyumbang derma kepada golongan yang memerlukan.



Itulah cara-cara yang saya telah amalkan sejak setahun lalu untuk tahan diri daripada membazir wang membeli barang-barang, yang memang tidak dapat dinafikan sedap dan cantik mata memandang, tetapi hakikatnya amat tidak diperlukan.



Memang kadangkala terasa berat dan pedih di hati tidak dapat memiliki barang cantik yang teringin sangat dibeli.



Namun, strategi itu juga telah mengajar saya untuk lebih menghargai setiap tenaga badan dan minda yang saya gunakan setiap hari untuk bekerja keras dan membawa pulang gaji di akhir bulan dan mengumpulkan wang simpanan.



Ia juga membuat saya lebih bijak merancang keperluan kewangan saya, dan sejujurnya, sayang betul lihat duit simpanan mengalir keluar begitu saja tanpa sebab yang baik.



Alhamdulillah, gembira saya katakan bahawa strategi saya berhasil dan berjaya sejauh ini - kocek semakin berat dan berisi, dan kepala pun sudah tidak pening lagi apabila lihat bil kad kredit yang datang setiap hujung bulan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >