Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Tangani radikalisme dari mula, perkasa belia menerusi dialog

Feb 28, 2023 | 05:30 AM



RADIKALISASI diri merupakan suatu fenomena yang agak sulit difahami, apatah lagi dalam situasi seseorang itu hidup dalam masyarakat yang aman, berbanding dalam zon konflik.



Oleh sebab itu, kita sering tertanya-tanya apakah yang mendorong seseorang individu memilih fahaman radikal dan sanggup merancang melakukan keganasan.



Di sini, kita mentakrifkan radikal sebagai sesuatu yang menunjukkan ciri-ciri tegar dalam memahami sesuatu hingga dapat melegitimasikan penggunaan kekerasan mahupun keganasan.



Inilah yang terjadi pada beberapa individu yang baru-baru ini ditahan di bawah Akta Keselamat Dalam Negeri (ISA) kerana berfahaman radikal dan merancang melakukan tindakan ganas seperti mengangkat senjata di Palestine atau menyerang orang bukan Islam dan berfahaman berbeza dengan menggunakan pisau dan sebagainya.



Paling dikesali ialah umur mereka yang ditahan. Pada 21 Februari, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengeluarkan kenyataan mengenai seorang belia berusia 15 tahun ditahan kerana merancang aksi ganas dan termakan oleh dakyah kelompok pengganas Daesh melalui permainan siber.



RADIKALISASI MINDA DAN PEMIKIRAN



Persoalan yang sering kita tanya ialah bilakah seseorang yang berfahaman tegar menjadi ancaman nyata di tengah-tengah masyarakat dan memerlukan tindakan lanjut, seperti penahanan?



Kita mungkin dapat mengenal pasti perbezaan antara tindakan radikal dan pemikiran radikal. Sekiranya sudah menjadi tindakan, memang mudah untuk kita faham mengapa seseorang itu wajib ditahan.



Tetapi, bilakah seseorang yang berfahaman radikal harus diasingkan supaya kita dapat melindungi masyarakat daripada bahaya?



Menurut dua tokoh psikologi, McCauley dan Moskalenko, dalam buku mereka, Friction: How Conflict Radicalizes Them and Us, radikalisasi minda mempunyai tahap daripada sikap neutral kepada menjadi seorang yang bersimpati, membenarkan dan akhirnya berasa perlu memikul tanggungjawab melakukan kekerasan atau keganasan.



Seseorang itu wajar ditahan ketika mula menganggap dirinya mempunyai kewajiban melakukan keganasan, walaupun hanya pada tingkat pemikiran. Sebagai contoh ialah kes seorang guru sekolah yang merancang mengangkat senjata untuk berperang di Gaza bersama sayap tentera Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB).



Menurut laporan bulan lalu, dia mengaku berhasrat merealisasikan fikirannya sekiranya situasi konflik di Gaza bertambah teruk.



Inilah garis merah yang memerlukan intervensi awal. Ia merupakan radikalisasi minda. Jika tidak dikawal dari awal, ia boleh mendatangkan bencana lebih buruk sekiranya berpindah ke garisan nipis dengan melakukan aksi dan tindakan nyata ke arah keganasan.



MENANGANI RADIKALISME DARI MULA



Oleh itu, intervensi awal sememangnya diperlukan. Memandangkan Singapura berada dalam kedudukan tidak menentu dengan tahap waspada tinggi menurut Penilaian Ancaman Keganasan Tahun 2022 yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (MHA), memastikan individu yang dinilai sebagai radikal diasingkan dan diberi bantuan awal sangat penting.



Individu itu tidak hanya diputuskan aksesnya kepada kelompok ganas bahkan dibimbing melalui proses rehabilitasi yang dapat menyedarkannya akan kesilapan ideologi yang menyusup ke pemikirannya.



Dalam hal ini, pemimpin masyarakat sedar akan perlu turut serta menyumbang ke arah proses nyahradikalisasi. Ini termasuk usaha Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang digerakkan oleh asatizah tempatan dan juga Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) yang memastikan anggota keluarga tahanan ISA juga diberi bantuan kebajikan jika perlu.



Di samping itu, intervensi awal bukan hanya dalam situasi selepas terjadinya radikalisasi. Masyarakat juga perlu membina jalinan kukuh antara kelompok berbeza agama dan keyakinan. Ini kerana pemikiran radikal melihat dunia sebagai terbelah antara golongan "kita" dan "mereka" di mana "mereka" dilihat sebagai musuh atau lawan yang harus dihapuskan.



Pandangan binari seperti ini sering berlandaskan stereotaip dan prejudis terhadap kelompok yang dianggap seteru hingga berlaku kehilangan perikemanusiaan. Antara contohnya ialah sikap sebahagian umat Islam yang gagal memisahkan antara konflik politik Palestine-Israel dan agama Yahudi itu sendiri. Ini menyebabkan muncul pandangan prejudis yang antisemitik seperti menyalahkan umat dan agama Yahudi sebagai punca segala masalah dunia.



MENGGERAKKAN DIALOG



Jika fahaman radikal bersemarak dalam situasi tebalnya sikap prejudis dan rendahnya tahap pemahaman terhadap persoalan masyarakat dan dunia, mewujudkan dialog adalah penting. Ini memerlukan ruang selamat untuk masyarakat berbincang secara jujur, tenang dan rasional.



Sekiranya ruang ini tidak wujud, naratif dan perspektif bermasalah yang datang daripada ideologi-ideologi berbahaya akan kelihatan menarik. Inilah yang terjadi di alam maya di mana ramai orang muda cuba mendapatkan jawapan terhadap masalah di sekeliling mereka, seperti pergolakan politik dan konflik global yang melanda umat Islam.



Sayangnya, situasi ini didakyah oleh golongan radikal sebagai ancaman terhadap agama Islam dan serangan terhadap umat Islam.



Naratif yang memicu konflik antara umat Islam dan bukan Islam, seperti yang dibawa oleh penceramah asing Zakir Naik dan Ismail Menk, yang dilarang memasuki Singapura, harus digantikan dengan pandangan yang bersifat damai, toleran, berbaik sangka dan mendalamkan pemahaman antara agama dan keyakinan.



Mujurlah di Singapura wujud usaha dialog antara agama yang banyak dipimpin oleh golongan muda daripada masyarakat Islam sendiri. Antara contohnya ialah Pusat Pemahaman Antara Agama (CIFU), hash.peace, The Whitehatters, Interfaith Youth Circle dan Roses of Peace.



Usaha-usaha seperti ini wajar diberi galakan dan dukungan supaya wujud persefahaman antara kaum dan agama yang melawan prejudis, perseteruan dan salah faham.



PELIBATAN BELIA



Dalam hal ini, badan Islam boleh bekerjasama untuk memastikan dialog dan ruang berbincang melibatkan golongan belia. Ini memerlukan pemimpin masyarakat memberi ruang untuk belia menyuarakan pendapat dan memperkasa mereka dengan sama-sama mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian di dalam konteks majmuk Singapura.



Kita seharusnya bermula dengan pandangan bahawa belia mempunyai kesedaran tinggi terhadap ketidakadilan dan mereka mahu melakukan sesuatu. Kesedaran ini yang harus dipupuk ke arah cara pandang yang dapat mengupas mengapa masalah sosial dan konflik global terjadi. Dengan itu, mereka dapat melihat permasalahan tersebut sebagai sesuatu yang kompleks dan bernuansa.



Dari situlah mereka dapat memikirkan bersama tindakan yang selari dengan konteks masyarakat Singapura yang berbilang agama, kaum dan keyakinan. Tindakan ini mengambil kira perlunya pendekatan yang menguatkan kesepaduan dan bukannya memecahbelahkan masyarakat. Sebagai contoh, belia boleh menyumbang tenaga dalam kerja kemanusiaan yang membawa kepada perdamaian, bukan konflik terus-menerus.



Akhir sekali, kita harus memberi harapan kepada belia. Ini dapat diwujudkan dengan memberi corak berfikir alternatif yang berbeza daripada naratif permusuhan yang ditawarkan golongan radikal. Belia dapat membezakan antara baik dengan buruk sekiranya ada pemikiran alternatif.



Adalah penting kita memastikan corak berfikir radikal dan ganas tidak diberi ruang untuk menguasai minda masyarakat. Inilah tugas yang harus kita lakukan bersama dan melibatkan belia dan penggerak masyarakat berpengaruh.



  • Penulis pengarah Dialogue Centre Limited dan anggota lembaga pengasas di Pusat Pemahaman Antara Agama (Cifu)

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >