SIRI LAPORAN ANTIDADAH Kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB)

Tekad mula hidup baru, mahu tebus 'masa yang hilang' bersama anak

Pengalaman silam seseorang tidak semestinya menentukan masa kini dan dan masa depannya. Kehidupan lama yang dicemar dadah dan kesalahan lain boleh digunakan sebagai iktibar jika seseorang itu sendiri memilih mahu berubah. Puas terjebak dalam dunia gelap yang tidak mendatangkan sebarang hasil itu, beberapa bekas banduan bertekad membuka lembaran baru dalam kehidupan. Ikuti perkongsian mereka dengan wartawan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg).


PEMERGIAN ibu tercinta akibat penyakit hati ketika beliau berusia 12 tahun merupakan titik permulaan keporak-perandaan kehidupan Cik Norli Ismail.

Sebagai anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan, beliau sangat dimanjakan ibunya itu.

Ibulah yang merupakan temannya dan ibu juga merupakan dunianya. Justeru, kehilangan ibunya itu membuatkan Cik Norli rasa hilang arah tuju dan seakan ketandusan kasih sayang yang sebelum itu dicurahkan terhadapnya.

Beliau yang tidak mempunyai ramai kawan ketika itu mula mendekatkan diri dengan abangnya serta teman-teman beliau.

Bermula dengan merokok, Cik Norli, 40 tahun, kemudian diperkenalkan kepada dadah, dan daripada hanya setakat ingin mencuba, beliau akhirnya menjadi penagih.

Berjinak-jinak dengan dadah seawal 14 tahun, beliau yang dahulunya pendiam dan introvert bertukar menjadi seorang yang berani bercakap balik, memberontak dan tidak segan-silu mencuri hanya mahu memenuhi keperluan ketagihannya.

Pada usia 15 tahun hingga 18 tahun, beliau dimasukkan ke Girls' Home.

Sejak berusia 19 tahun, beliau telah keluar masuk penjara dan Pusat Pemulihan Dadah (DRC) beberapa kali. Kali terakhir beliau ditangkap pada 2011 dan dibebaskan pada 2014.

"Apabila saya kali terakhir masuk pada 2011, saya diletakkan dalam penjara seorang diri selama empat bulan.

"Pada ketika itu saya 'buat perangai', nangis, marah, senang cakap saya dah macam ada gangguan bipolar sebab saya tak dapat terima kenyataan yang saya masuk balik selepas baru sekejap di luar," kata Cik Norli ketika ditemui.

Namun, pada dua tahun terakhir beliau meringkuk di penjara, Cik Norli berkata beliau banyak melakukan muhasabah diri dan mengikuti pelbagai program yang dijalankan di penjara.

JANTUNG SEORANG IBU TERSENTAP

Pada tahun terakhirnya di penjara, degupan jantung Cik Norli bak terhenti seketika tatkala mendengar berita mengenai anak bongsunya yang terlantar di hospital dalam keadaan koma dek demam panas.

"Saya sedang melakukan kerja ketika itu apabila maam panggil nombor saya dan suruh saya mandi dan siap.

"Setelah itu, dia suruh saya ke pejabat rekod dan tiba-tiba memeluk saya. Saya pun hairan, apa yang terjadi, tak pernah benda sebegini berlaku. Saya pun pelik dan dapat rasa ada yang tak kena," ceritanya.

Setelah ditanya nama dan umur anak bongsunya itu yang ketika itu berusia lima tahun, Cik Norli diberitahu dia berada dalam keadaan kritikal di hospital.

"Saya tak boleh bergerak. Kaki saya macam agar-agar.

"Apabila saya tiba di hospital dan melihat anak saya, ia betul-betul merobek hati, dengan wayar di sekeliling dan sebagainya," kata ibu tujuh anak yang berusia antara 11 tahun dengan 21 tahun itu.

"Yang paling sedih apabila saya berbual, bisik dengannya, dia seolah-olah nak memberi jawapan. Saya pun nampak air matanya mengalir, hati saya remuk," tambahnya.

Sekembalinya ke penjara setelah lawatan ke hospital itu merupakan antara pengalaman paling sukar bagi Cik Norli yang akur perasaannya bercampur-baur ketika itu.

Mentelah lagi beliau telah berpisah dengan anaknya itu ketika dia berusia dua tahun lagi untuk menjalani hukuman. Katanya:

"Saya teramat sedih, saya tak dapat berada bersama anak saya untuk menjaganya.

"Khabar berita mengenai anak saya pun saya hanya dapat tahu apabila ada dokumen daripada hospital untuk ditandatangani."

Mujur, keadaan anaknya itu bertambah baik dan kini kanak-kanak itu sudah pun berusia 11 tahun.

Bertekad mahu membuka lembaran baru dalam kehidupannya, Cik Norli membuat keputusan meninggalkan dunia lamanya itu, demi kebaikan diri dan anak-anaknya.

Beliau juga diperkenal kepada Beautiful People, sebuah pergerakan sukarela yang membina hubungan pembimbing (mentor) yang mengubah hidup serta memperkasakan anggota masyarakat yang terpinggir untuk mencari dan mencapai impian mereka.

Di situ beliau banyak berkongsi dan mendapatkan bimbingan serta nasihat.

Malah, kisah penuh inspirasinya itu dikongsi dalam sebuah buku, From Stereotypes to Archetypes yang dihasilkan Architects of Life, sebuah perusahaan sosial yang bekerja rapat dengan golongan belia, bekas banduan dan keluarga mereka.

"Nak buang kawan-kawan lama memang agak sukar, terutama apabila kita baru keluar, kerana nak atau tak nak, kita akan terserampak ketika melakukan ujian air kencing.

"Tapi bagi saya, sama ada kita nak campur ataupun nak angkat kaki dan terus balik - itu pilihan yang boleh kita lakukan untuk diri sendiri," ujar Cik Norli terus terang.

Hari ini, beliau yang berniaga di kantin sekolah mahu 'membayar balik' masa dan peluang yang terlepas dihabiskan bersama anak-anaknya ketika mereka membesar dahulu.

"Tak dapat melihat anak-anak saya membesar - itu penyesalan terbesar saya. Apabila saya masuk mereka semua masih kecil, bila saya keluar, semua dah besar. Itu yang saya kesali," ujarnya.


"Saya teramat sedih, saya tak dapat berada bersama anak saya untuk menjaganya. Khabar berita mengenai anak saya pun saya hanya dapat tahu apabila ada dokumen daripada hospital untuk ditandatangani." "Tak dapat melihat anak-anak saya membesar - itu penyesalan terbesar saya. Apabila saya masuk mereka semua masih kecil, apabila saya keluar, semua dah besar. Itu yang saya kesali."
- Cik Norli Ismail.

Waktu Solat

Subuh
5:51
Syuruk
7:08
Zuhur
1:12
Asar
4:12
Maghrib
7:15
Isyak
8:24
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.