Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PILIHAN RAYA INDONESIA 2019

Tumpuan pada Jokowi untuk kekal jawatan

Apr 16, 2019 | 05:30 AM



SEKITAR 192 juta rakyat Indonesia akan memilih presiden dan wakil-wakil rakyat dalam pilihan raya serentak esok. Ini adalah kali pertama pilihanraya eksekutif dan legislatif (Dewan Perwakilan Rakyat, DPR) diadakan sekali gus. Namun, rakyat lebih tertumpu sama ada Encik Joko Widodo (atau Jokowi) boleh mempertahankan kedudukannya sebagai presiden. Pemilihan kali ini bagaikan sejarah berulang, di mana Jokowi ditentang oleh mantan general Prabowo Subianto, pertarungan yang sama diadakan pada 2014. Siapakah yang bakal unggul dalam pertarungan antara dua tokoh Indonesia kali ini?



Jokowi sehebat Sukarno dan Suharto?



Berdasarkan tinjauan yang dilaporkan baru-baru ini, Encik Jokowi dijangka dapat menewaskan Encik Prabowo dengan selesa. Hampir kesemua hasil tinjauan menyatakan pasangan Encik Jokowi dan Dr Ma'ruf Amin sudah melepasi anggaran 50 peratus. Namun, usahlah kita terlalu bergantung kepada hasil tinjauan rambang ini kerana sejarah pilihan raya di serata dunia membuktikan ia tidak semestinya tepat. Pilihanraya Amerika Syarikat, di UK bagi undian Brexit (pungutan suara sama ada Britain kekal di Kesatuan Eropah), dan pilihan raya Malaysia yang membawa kemenangan buat Pakatan Harapan menjadi bukti bagaimana tinjauan boleh tersasar. Mungkinkah tinjauan salah dalam pilihanraya Indonesia kali ini? Ini bergantung pada bagaimana rakyat menilai prestasi Encik Jokowi sepanjang lima tahun sebelum ini. Tambahan lagi, sejauh mana rakyat Indonesia akan keluar mengundi juga boleh mengubah keputusan pilihanraya ini.



Di Indonesia, ada fenomena yang disebut sebagai Golput (golongan putih). Golongan pengundi ini kecewa dengan calon-calon sehingga cenderung untuk merosakkan undian mereka atau tidak keluar mengundi langsung.



Jika Encik Jokowi menang lagi, beliau boleh menjadi pemimpin sebaris presiden-presiden hebat seperti Sukarno dan Suharto.



Walaupun Encik Jokowi bukanlah orang pertama yang berpotensi mempertahankan kedudukan presiden buat dua penggal, beliau adalah orang pertama diluar kelompok elita zaman Orde Baru era Suharto. Sebelum ini, Dr Susilo Bambang Yudhoyono berjaya menjadi presiden Indonesia selama dua penggal (2004-2014), namun zaman pemerintanan beliau dicemar dengan beberapa skandal korupsi dan rusuhan kaum.



Presiden-presiden sebelum ini semuanya elita di zaman Suharto (1966-1998), seperti Encik BJ Habibie, Encik Abdurrahman Wahid (Gus Dur), Cik Megawati Sukarno Putri dan Dr Yudhoyono. Sebaliknya, jika Encik Prabowo yang terpilih, maka sejarah akan berulang kembali di mana elita dan seorang mantan tentera kembali berkuasa.



Faktor ekonomi, pembangunan luar bandar dan identiti



Sepanjang berkempen, banyak sekali isu-isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak. Ada isu yang disentuh secara terperinci, dan ada pula yang sepintas lalu sahaja. Misalnya, semasa perdebatan antara kedua-dua calon, isu hak asasi manusia dibangkitkan, namun ia sebenarnya berupa serangan peribadi, terutama sekali terhadap Encik Prabowo.



Isu dasar luar juga jarang dibangkitkan kerana ia bukan keprihatinan pengundi. Malah kedua-dua calon cuba menggambarkan pasukan mereka sebagai nasionalis yang akan mempertahankan kedaulatan negara daripada kuasa-kuasa luar.



Isu utama yang bakal mempengaruhi para pengundi adalah ekonomi. Satu janji yang tidak dicapai sepanjang pemerintahan Jokowi adalah pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus seperti yang dijanjikan pada 2014.



Isu ini hangat diperkatakan sepanjang kempen, termasuk sejauh mana pemerintah Encik Jokowi boleh menjamin pekerjaan kepada rakyat Indonesia. Sebaliknya kem Encik Prabowo menyatakan bahawa Indonesia sudah menjadi sebuah negara yang mengimport dan kurang mengeksport. Malah Encik Sandiaga mempersoalkan mengapa Indonesia mengalami defisit perdangangan sebanyak AS$8.57 bilion tahun lalu, dan yang terburuk dalam sejarah Indonesia. Semasa perdebatan terakhir, Encik Prabowo mengkritik cara Encik Jokowi mengendalikan ekonomi negara, dan berjanji jika menang, akan menurunkan harga elektrik dan barangan asas.



Encik Jokowi dan Encik Prabowo juga memancing undi golongan bandar dan luar bandar. Penyokong kuat Encik Prabowo di kawasan bandar seperti Jawa Barat, Sumatera Selatan dan Jakarta. Jokowi pula dijangka unggul di kawasan pendalaman seperti di Sumatera Utara, Jawa Tengah dan Jawa Timur.



Sepanjang pemerintahan Encik Jokowi, banyak sekali bantuan telah disasarkan terhadap golongan luar bandar terutama sekali petani.



Antara langkah yang dijanjikan jika beliau menang sekali lagi adalah adalah program buat warga kampung, pembangunan infrastuktur seperti jalan raya dan empangan air, dan mengawal kadar elektrik dan minyak. Encik Jokowi dijangkakan akan menuruskan budaya blusukan berbentuk lawatan ke akar umbi dengan cara mendadak tanpa pengetahuan pemimpin-pemimpin lokal. Tujuan lawatan cara hendap ini adalah untuk memastikan program-program yang dilakar di pihak kementerian dijalankan.



Rekod pencapaian Jokowi diwarnai dalam pembangunan infrastruktur di kawasan bandar, seperti pembinaan kereta api laju (MRT) di Jakarta. Namun, ini tidak bermakna beliau meraih sokongan yang lebih berbanding Encik Prabowo di sana kerana jurang sosio-ekonomi antara yang kaya dan miskin masih ketara di kawasan bandar. Pemilihan ini adalah satu pungutan suara keberkesanan Encik Jokowi menaik taraf kehidupan warga kota.



Tentu sekali dalam setiap pilihan raya, profil pengundi harus diambil kira. Misalnya, faktor usia seperti kecenderungan golongan berusia dan millenial memainkan peranan sama seperti faktor gender. Malah ada yang menyatakan bahawa Encik Sandiaga Uno bakal berjaya menarik pengundi wanita dan milenial berbanding pencabarnya Dr Ma'ruf Amin. Namun, faktor agama dan ras juga boleh memainkan peranan di beberapa kawasan undi. Misalnya, Dr Ma'ruf Amin berpotensi menarik kepercayaan warga Nahdlatul Ulama (NU), organisasi Islam terbesar di Indonesia. Malah, anak perempuan Gus Dur, Yenni Wahid, juga membantu kempen Jokowi.



Bagaimanapun, Dr Ma'ruf juga berpotensi menyisihkan sokongan golongan progresif dan bukan Islam, yang ingat akan peranan beliau semasa kes Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) semasa protes besar-besaran padan tahun 2016. Ahok tewas dalam pilihan raya Jakarta pada tahun 2017 dan dimasukkan penjara. Pilihanraya ini juga akan menguji ketahanan Indonesia sebagai negara yang terbuka, dan progresif terhadap pengamalan Islam. Jika Jokowi-Ma'ruf menang, isu identiti Islam yang bagaimana yang akan dipegang masih menjadi tanda tanya.



  • Dr Norshahril Saat ialah Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak. Beliau penulis The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press, 2018)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >