Setiap empat atau lima tahun, warga Singapura yang layak bakal menerima sekeping kertas.
Kertas yang dihulur di pusat mengundi itu mungkin tampak hanya sekeping kertas kecil.
Namun, nilainya bukan calang-calang. Ia umpama penentu arah tuju negara.
Ke manakah akan kita bawa negara ini?
Begitulah hebatnya nilai sekeping kertas undi di tangan kita.
Demam pilihan raya kian memuncak dan ia dapat dirasakan di sana sini.
Dalam masa kurang seminggu – pada 3 Mei 2025 – seramai 2,758,095 (angka berdasarkan 25 Mac 2025) dijangka keluar mengundi.
Undi kali ini adalah bagi mengisi 97 kerusi Parlimen di 33 kawasan undi – melibatkan 18 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Namun, pada Hari Penamaan Calon pada 23 April, Singapura menyaksikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marine Parade-Braddell Heights menang tanpa bertanding, sekali gus menjadikan 92 daripada 97 kerusi akan dipertandingkan pada 3 Mei.
Kempen pilihan raya juga sedang hangat diadakan dengan calon yang bertanding berusaha menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Lumrah bagi calon yang bertanding berusaha menonjolkan diri mereka sebagai calon paling layak mengisi kerusi Parlimen.
Dalam berbuat demikian, banyak isu yang dibahaskan seperti kos sara hidup, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), isu geopolitik seperti perang di Gaza dan sebagainya.
Jika ditinjau di media sosial, kita dapat lihat ada pihak yang bersungguh-sungguh mempertahankan pendapat mereka.
Kadangkala, hanya daripada satu komen sahaja, perbalahan mudah tercetus di media sosial sehingga ‘pertikaman lidah’ berlaku dan perkara itu meleret-leret jadinya.
Hakikatnya, setiap daripada kita pasti mempunyai pendapat tersendiri berhubung isu yang sama dan percanggahan mungkin wujud dalam kalangan kita.
Tidak salah untuk mempunyai pendapat berbeza. Tidak salah untuk mengetengahkan pendapat yang terbuku di dada kerana pastinya kita punya sebab dan alasan tersendiri mengenainya.
Pendapat peribadi itu mungkin berdasarkan pengalaman dan pengamatan kita tentang sesuatu yang mungkin tidak dilalui dan kurang difahami oleh pihak lain.
Namun, di tengah-tengah semangat untuk membentangkannya, dalam usaha agar orang ramai berpihak kepada kita, ada baiknya jika pendapat kita dapat diketengahkan berdasarkan fakta dan penuh berhemah.
Ia sekali gus menonjolkan keperibadian kita dalam menangani isu sukar dan penuh emosi.
Hakikatnya, lumrah manusia, kita punya kekurangannya.
Kita tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak dan dalam apa jua keadaan sekalipun, kita tidak boleh mengharapkan kesempurnaan tanpa sebarang cacat cela.
Begitu juga dengan dasar negara. Tidak semua akan akur dengan pendekatan yang jadi pilihan.
Setibanya pilihan raya, pengundi kerap diingatkan supaya menggunakan hak yang ada di tangan mereka dengan sebaik-baiknya bagi memilih pemimpin yang dapat membantu membentuk masa depan negara.
Setiap undi adalah penting.
Maka wajar bagi setiap pengundi membuat keputusan secara objektif berdasarkan fakta yang diperolehi menerusi kajian sendiri.
Ini bermakna setiap individu harus membuat keputusan setelah menimbangkan buruk baiknya, kelebihan dan kekurangannya, dan bukan semata-mata mengikut arus orang sekeliling.
Lebih membimbangkan jika ia sekadar berpandukan emosi.
Apabila membuat keputusan siapakah yang wajar diundi, wajar bagi pengundi mempertimbangkan beberapa faktor.
Ia termasuk dasar dan manifesto parti, contohnya, menilai pendirian parti dalam isu melibatkan masyarakat seperti pendidikan, peluang ekonomi, dan kebajikan sosial.
Dalam masa yang sama, pengundi juga harus menilai visi kepimpinan parti tersebut serta keupayaan mereka mendengar keprihatinan rakyat dan membawa kemajuan negara.
Dengan teknologi terkini, pengundi juga berupaya membuat kaji selidik tentang calon di kawasan undi mereka bagi mengetahui rekod prestasi, kelayakan dan pengalaman mereka.
Ikuti perkembangan terkini berhubung GE2025 secara umum bagi mengetahui maklumat yang disampaikan oleh calon dan parti, berita pilihan raya seperti rapat yang diadakan serta apa yang diketengahkan parti di wadah mereka.
Ada yang malah kata, beliau tidak memilih parti tertentu secara khusus, tetapi sebaliknya apakah yang akan dibawa oleh individu atau parti itu? Adakah dasar yang diketengahkan itu demi kebaikan bersama?
Memang mudah untuk sesetengah pihak bersikap berkecuali dan enggan memilih calon yang bersaing.
Ada yang menjadikan kertas undi itu bak saluran melepaskan geram atau meluah bantahan.
Ada yang mungkin diisi tanpa tidak mengikut kaedah yang betul, sehingga disifatkan sebagai ‘undi rosak’ atau ‘tidak sah’.
Andainya itu terjadi, ia sungguh malang lagi merugikan setelah kita bersiap, meluangkan masa dan melangkah ke tempat mengundi.
Sebaiknya kita laksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya, dengan penuh tanggungjawab.
Siapa pun calon atau parti pilihan, lakukan dengan betul.
Janganlah kita sia-siakan atau melepaskan peluang keemasan membuat pilihan dengan jelas.
Setiap undi berharga. Selamat mengundi!


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg