Usaha Mendaki persiap masyarakat Melayu harungi masa depan
Usaha Mendaki persiap masyarakat Melayu harungi masa depan
Pengumuman pelan kerja lima tahun Yayasan Mendaki yang bertemakan ‘Mendaki 2030: Sentiasa Bersamamu’ baru-baru ini merupakan titik peralihan penting dalam usaha memperkasakan masyarakat Melayu di Singapura.
Di sebalik kejayaan profil pendidikan dan kerjaya yang kian meningkat, cabaran realiti ekonomi global yang tidak menentu menuntut pendekatan yang lebih holistik dan proaktif.
Seperti kata Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, semasa membentangkan pelan bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu, Mendaki sudah berkembang daripada hanya sekadar menjadi pusat program tuisyen.
Sebaliknya, ia berperanan sebagai wadah yang menyediakan pendedahan lebih luas kepada masyarakat tentang persiapan menghadapi masa depan, khususnya bagi golongan muda dan sekali gus membantu merapatkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat.
Selama berdekad-dekad, fokus masyarakat Melayu tertumpu kepada usaha “mengejar” prestasi akademik berbanding kaum lain.
Namun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak lagi menjamin mobiliti sosial dalam ekonomi yang dipacu oleh algoritma dan kecerdasan buatan (AI).
Justeru, anjakan paradigma daripada Program Tuisyen Mendaki (MTP) kepada Program Pencapaian Mendaki (MAP) yang menyuntik elemen robotik dan AI merupakan langkah progresif.
Jika dibandingkan dengan pelan kerja lima tahun Mendaki sebelumnya, yang lebih tertumpu kepada usaha menyediakan sokongan akademik, pelan kali ini turut memperkasakan keupayaan ibu bapa dan juga pelajar.
Ia bakal mendampingi perjalanan pendidikan pelajar Melayu secara menyeluruh – bermula daripada peringkat asas persekolahan hingga melangkah ke alam kerjaya dan seterusnya.
Empat teras utama pelan lima tahun Mendaki memberi tumpuan kepada usaha membentuk pelajar yakin, memperkukuh institusi keluarga, menyediakan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan serta membangunkan masyarakat yang berdaya maju.
Secara keseluruhannya, empat teras ini tepat kerana ia bersifat saling melengkapi.
Pelajar yang yakin memerlukan keluarga yang kukuh; tenaga kerja yang mahir akan menyumbang kepada masyarakat yang maju; dan masyarakat yang maju akan terus melahirkan pelajar yang cemerlang.
Seiring tema ‘Sentiasa Bersamamu’ di bawah pelan kerja terbaru ini, usaha memastikan pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan tidak tercicir daripada peluang pengayaan, pendedahan industri dan latihan awal yang semakin menjadi penentu mobiliti sosial, sangat dialu-alukan.
Komitmen meningkatkan biasiswa dan dermasiswa sebanyak 25 peratus setiap tahun juga merupakan usaha baik bagi memastikan pelajar tidak akan ketinggalan melanjutkan pelajaran hanya kerana mereka kurang berkemampuan.
Langkah Mendaki meluaskan program pementoran belia dengan melibatkan pelajar seawal Menengah 1 berbanding Menengah 3 sebelumnya, merupakan pelaburan jangka panjang yang bijak yang boleh membantu membentuk identiti dan hala tuju kerjaya pelajar.
Program ‘Bersedia di Tempat Kerja (R@W)’ yang baru diperkenalkan Mendaki bagi membantu pekerja Melayu/Islam meningkatkan kemahiran dan bersedia menghadapi ekonomi pesat pula, mempamerkan tekad sokongan Mendaki bukan hanya di alam persekolahan, malah dilanjutkan hingga ke alam kerjaya.
Pada akhirnya, kejayaan masyarakat Melayu adalah nadi kejayaan Singapura.
Namun, keberkesanan pelan ini bergantung kepada sokongan masyarakat secara kolektif.
Teras “masyarakat berdaya maju” hanya akan tercapai jika golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) Melayu yang kian bertambah – kini merangkumi 40 peratus tenaga kerja kita – turut tampil menyumbang kembali.
Dengan sokongan menyeluruh yang dilakar oleh Mendaki ini, diharapkan masyarakat Melayu bukan sekadar mengejar arus kemajuan, malah bersedia mencoraknya dengan penuh keyakinan.


