Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Usaha pastikan alat bantuan mobiliti peribadi selamat diguna

Mar 31, 2024 | 05:30 AM



Kita sudah banyak mendengar tentang kejadian pelanggaran melibatkan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA), dengan ada yang berakhir secara tragis.

Apabila kita meletak tepi tanggungjawab individu, satu persoalan penting timbul: Adakah Singapura yang semakin menua benar-benar bersedia menjadi mesra PMA? Bagi membolehkan ini berlaku, pengguna PMA juga perlu lebih bertanggungjawab.

Semasa perbahasan Parlimen pada 5 Mac, Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, menggariskan beberapa pelarasan kawal selia untuk PMA yang dijangka berkuat kuasa sekitar 2025.

Ini termasuk pengurangan had laju daripada 10 kilometer sejam (km/j) kepada 6 km/j, kemas kini kepada sekatan dimensi, dan ketetapan bahawa hanya individu yang mempunyai keperluan perubatan boleh menggunakan PMA.

Walaupun perubahan ini mencerminkan keprihatinan masyarakat yang lebih luas terhadap keselamatan pergerakan dalam bandar, ia sahaja tidak mencukupi.

Untuk menjadi benar-benar mesra PMA, apa yang diperlukan adalah lebih daripada sekadar pelarasan kawal selia. Ia menuntut anjakan asas dalam pertimbangan kita terhadap mobiliti peribadi dan aksesibiliti.

Mengapa PMA popular

Dalam beberapa tahun kebelakangan, PMA telah menjadi popular, dengan pembekal menyaksikan peningkatan dalam jualan. Lonjakan ini tidak menghairankan. Ia mencerminkan keperluan yang semakin meningkat untuk bantuan pergerakan di kalangan warga emas.


Alat-alat ini, daripada kerusi roda kepada skuter mobiliti, memainkan peranan penting dalam mengatasi halangan fizikal dan membolehkan individu bergerak dalam persekitaran mereka dengan lebih mudah.

Bagi warga emas, PMA, atau skuter mobiliti khususnya, memberi lebih daripada kemudahan. Ia memberi harga diri dan membolehkan mereka berdikari. Mereka dapat bergerak pada kelajuan mereka sendiri, mengurangkan pergantungan pada pengangkutan awam untuk jarak dekat.

Di Singapura, warga emas yang sukar berjalan kaki menghadapi pilihan pengangkutan terhad. Perkhidmatan kereta sewa privet dan teksi mungkin agak mahal dan tidak semua kenderaan boleh memuatkan kerusi roda.

Walaupun institusi penjagaan seperti pusat jagaan harian atau pusat pemulihan mempunyai van khas yang direka untuk memuatkan kerusi roda, peruntukan ini juga berharga agak tinggi.

Disebabkan itu, skuter mobiliti telah menjadi pilihan menarik, menawarkan kemampuan dan pergerakan yang lebih baik, terutama bagi warga emas yang hidup berdikari.

Sesetengah skuter mobiliti juga dilengkapi dengan teknologi penjejakan GPS, meningkatkan lagi daya tarikan mereka dan memberi ketenangan fikiran kepada penjaga.

Untuk membiayai kos, Agensi Penjagaan Bersepadu mempunyai Dana Pemboleh dan Mobiliti Warga Emas yang memberi subsidi kepada warga emas Singapura yang memerlukan alat mobiliti dan bantuan.

Subsidi dan langkah sokongan sedemikian, walaupun baik, menambah lagi permintaan yang sudah pun tinggi untuk PMA dan khususnya skuter mobiliti. Tanpa peraturan yang sewajarnya, peningkatan dalam PMA akan menjejaskan infrastruktur bandar Singapura yang sudah pun sesak dan mempunyai ruang terhad.

Pastikan keselamatan

Langkah tegas seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan mesti dilaksanakan untuk mengurangkan tekanan kepada infrastruktur dan mengekalkan keselamatan awam.

Langkah ini memastikan pengguna PMA adalah mereka yang paling memerlukannya dan penggunaannya tidak membahayakan keselamatan orang lain.

Pihak berkuasa mungkin mempertimbangkan langkah tambahan seperti menjalankan saringan dan pelajaran teori untuk pengguna bagi meningkatkan keselamatan dan kesedaran.

Protokol saringan akan mengurangkan risiko keselamatan yang berpunca daripada gangguan pendengaran, penglihatan atau kognitif yang berkaitan dengan usia, manakala pelajaran teori akan memastikan pengguna memahami fungsi alat mereka dan peraturan sedia ada.

Perlu diingat bahawa sudah ada ujian teori mandatori untuk pengguna skuter elektrik dan basikal menggunakan kuasa.


Adalah lebih baik juga bagi pengguna untuk mematuhi garis panduan sendiri daripada bergantung semata-mata kepada penguatkuasaan oleh polis atau warden trafik.


Justeru, pendidikan awam memainkan peranan penting dalam memupuk budaya kesedaran dan sikap bertanggungjawab di kalangan pengguna PMA. Walaupun pembekal PMA boleh menyumbang dengan memberitahu pembeli tentang penggunaan yang betul, penerapan etika yang betul memerlukan usaha yang lebih meluas dan bersepadu dalam komunikasi awam.


Usaha ini mesti dilengkapi dengan peningkatan infrastruktur. Di kawasan yang mempunyai kepadatan warga emas yang lebih tinggi, Zon Warga Emas telah dilaksanakan yang memperkenalkan ciri untuk menjadikan jalan raya lebih selamat untuk warga emas. Bagaimanapun, tetap menjadi tanggungjawab pengguna untuk mengambil langkah pencegahan, terutama di laluan awam yang sempit dan dikongsi.

Ciri-ciri seperti hon untuk memberi amaran kepada pejalan kaki dan mencegah pelanggaran adalah berguna, tetapi memupuk sikap positif dan selamat terhadap PMA adalah yang paling penting.

Tambahan pula, ruang bandar mesti direka agar menjadi lebih inklusif.


Sebagai contoh, Rangkaian Penghubung Taman kita, yang melalui banyak bahagian di Singapura, direka untuk pengguna pelbagai peralatan berkongsi laluan.

Meningkatkan bilangan laluan yang dikongsi boleh mengurangkan ketegangan dalam kalangan pejalan kaki, penunggang basikal, pengguna kerusi roda, mereka yang menolak kereta sorong dan pencinta haiwan peliharaan, membolehkan semua pengguna berkongsi ruang itu dengan berkesan.

Pada masa ini, ruang awam seperti pusat penjaja, kawasan beli-belah dan taman tidak selalu direka dengan mengambil kira PMA.


Ini mesti berubah untuk memastikan keterangkuman dan aksesibiliti untuk semua.


Apa yang dilakukan oleh masyarakat menua lain

Penggunaan PMA yang semakin meningkat untuk menangani cabaran pergerakan bukanlah hanya dialami Singapura.

Dalam masyarakat menua lain seperti Jepun, Hong Kong dan Taiwan, PMA juga semakin popular, masing-masing dengan peraturan sendiri.

Hong Kong menerima kehadiran Alat Mobiliti Elektrik untuk perjalanan jarak dekat di laluan berbasikal. PMA dilarang di laluan pejalan kaki dan jalan raya.

Di Taiwan, skuter mobiliti dan kerusi roda menggunakan kuasa tidak boleh melebihi kelajuan 6 km/j semasa berada di kaki lima, dengan denda NT$300 ($12.70) dikenakan bagi pelanggaran.

Syarikat yang menyewakan alat sedemikian dikehendaki memberi pelanggan latihan tentang cara menggunakannya dengan selamat. Kegagalan menyelesaikan isu pencemaran bunyi dalam tempoh satu tahun akan mengakibatkan penggantungan selama enam bulan.


Skuter mobiliti tidak digunakan secara meluas di Jepun. Pengguna mungkin menghadapi cabaran apabila menaiki kereta api dengan skuter mereka kerana kereta api awam selalunya sesak dan hanya stesen tertentu mempunyai ruang untuk alat sedemikian. Pengguna dinasihatkan mencari kereta api yang dilengkapi dengan bilik serbaguna untuk memastikan perjalanan lancar.

Perbezaan dalam penggunaan dan peraturan PMA ini menyerlahkan pendekatan bernuasa (halus) yang diambil oleh negara berbeza untuk memudahkan individu yang mempunyai keperluan pergerakan.


Sedang Singapura bergelut dengan pertimbangan yang sama bagi penduduknya yang menua, meneliti model antarabangsa ini menawarkan pandangan berharga dalam membentuk dasar dan infrastruktur untuk memupuk masyarakat mesra PMA yang mengutamakan aksesibiliti dan keselamatan.

Keinginan untuk dapat berdikari dan bergerak bebas merentas budaya; begitu juga dengan keinginan bagi kebebasan untuk bersosial, melibatkan diri dalam kegiatan fizikal dan menjalankan tugas harian.


Sedang PMA menawarkan sokongan berharga, pergantungan yang berlebihan kepada alat itu mesti dielakkan bagi mengekalkan kegiatan fizikal dan kekuatan otot.

Ini kerana PMA berfungsi sebagai alat bantuan, bukan pengganti pergerakan.


Sedang penduduk Singapura semakin meningkat usia, adalah penting untuk menangani pertimbangan ini bagi mewujudkan persekitaran yang inklusif dan selamat kepada semua penduduk, tanpa mengira keperluan pergerakan.

Dr Kelvin Tan ialah ketua program minor dalam pengajian penuaan gunaan (Minor in Applied Aging Studies) di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >