Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impak berpanjangan Covid-19 terhadap sosiobudaya dan agama

Jul 31, 2022 | 5:57 AM
76b184cc-7b70-4d02-ac16-91a6ff06b0a8
-

APABILA Covid-19 mula melanda Singapura pada 2020, kita mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

Ramai yang panik.

Ramai yang beratur di banyak pasar raya utama untuk membeli bekalan keperluan.

Bagi segelintir, negara menghadapi situasi 'perang' walaupun musuhnya tidak dapat dilihat.

Sempadan negara kemudian mula ditutup, mengakibatkan perjalanan ke luar negara tersekat.

Ramai warga Singapura yang menetap di Seberang Tambak bergegas pulang ke tanah air.

Rumah ibadat, termasuk masjid, ditutup untuk mengekang penularan virus.

Malah Hari Raya Aidilfitri 2020 dan 2021 disambut muram kerana amalan kunjung-mengunjung dihadkan.

Disebabkan ramai yang duduk di rumah atau bekerja dari rumah, ramai juga yang berasa tertekan dan ini ada natijah pada kesihatan mental dan hubungan kekeluargaan.

Itu semua antara kesan secara makro Covid-19.

Di samping itu, ada juga kesan mikro. Sebagai contoh, budaya bersalaman dalam masyarakat kita digantikan dengan 'salam mufti' - tidak berjabat tangan, dan hanya meletakkan tangan di dada sendiri tanpa bersentuhan dengan orang lain.

Satu lagi salam alternatif adalah dengan saling menyentuh penumbuk.

Mungkin sebahagian daripada perkara ini sudah tidak diingat lagi setelah ramai kian menjalankan kegiatan rutin harian seperti sebelum pandemik.

Walau ada yang masih berjaga-jaga dengan memakai pelitup walaupun sudah ada kelonggaran di tempat-tempat terbuka, ramai yang sudah mula bercuti ke luar negara dan pulang.

Keadaan di Koswe yang menghubungkan Singapura dengan Johor sudah sesak kembali.

Bagaimanapun, perjuangan menentang Covid-19 belum berakhir dan kita masih belum berada di garisan penamat.

Kita sedar bahawa Covid-19 ini ialah jenis gejala panjang, dan sesiapa yang pernah dijangkitinya masih mengalami simptom seperti batuk.

Kita perlu menilai kesan Covid-19 sebagai gejala berpanjangan sosiobudaya dan agama.

Walaupun masyarakat sudah beransur ke masa prapandemik, cabaran yang menanti pasti ada.

Misalnya, Covid-19 sudah merubah pandangan kita tentang pekerjaan.

Walaupun ada yang sudah mula kembali ke pejabat, ramai yang masih pilih untuk bekerja dari rumah. Ini menunjukkan bahawa konsep ruang atau 'space' sudah berubah.

Pekerjaan boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan tidak terlalu terkait dengan tempat.

Covid-19 menjadi mangkin bagi proses pendigitalan, yang hakikatnya sudah wujud sebelum wabak terjadi.

Di masa hadapan, kerja anda mungkin boleh dilakukan di luar Singapura.

Di masa mendatang, pembelajaran dari rumah akan dilakukan lewat wadah dalam talian.

Ini sudah berlaku sebelum pandemik lagi, dan diperkenalkan di universiti-universiti seantero dunia.

Pembelajaran dalam talian ini ada baik dan buruknya.

Di satu segi, ia memudahkan pembelajaran dan membuka peluang seseorang untuk belajar daripada sumber-sumber yang berbeza.

Di segi lain, ini juga bermakna interaksi bersua muka akan berkurang, dan lebih banyak masa terluang di depan komputer riba atau telefon bijak.

Jika kita tidak berwaspada, jurang digital yang ketara akan menyisihkan lagi golongan kurang berkemampuan - misalnya di kalangan mereka yang tidak mampu membeli komputer riba yang canggih.

Sejauh mana kita dapat kurangkan jurang ini perlu difikirkan bersama.

Penggunaan wadah digital juga memberi kesan terhadap kelas-kelas agama kita.

Di satu sudut, kita boleh berbangga dengan masjid-masjid di Singapura yang tersergam indah. Namun, perubahan iklim pembelajaran akan mencabar peranan ruang seperti masjid.

Kita faham bahawa tujuan utama masjid-masjid adalah tempat ibadah, terutama untuk solat Jumaat dan solat yang sering dilakukan secara berjemaah seperti solat tarawih di bulan Ramadan.

Tetapi, kegiatan lain seperti bacaan tahlil dan doa selamat, dan kelas-kelas agama sudah boleh diikuti dalam talian.

Justeru, bagaimanakah konsep ruang masjid boleh dimanfaatkan lagi?

Mungkin sebagai pusat yang mengurangkan jurang digital?

Peranannya juga boleh diperluas bukan sahaja membekalkan ilmu-ilmu bersifat kerohanian sahaja malah ilmu-ilmu lain juga.

Pendigitalan juga memberikan kesan terhadap wacana agama.

Kerana terpaksa ke wadah digital, ramai asatizah kita yang harus bersaing dengan pendakwah-pendakwah luar, sebahagiannya lebih berkarisma.

Asatizah tempatan boleh saja menandingi karisma pesaing-pesaingnya, tetapi sejauh mana ini tidak mengkompromi kualiti ilmu?

Saya lihat tidak kurang asatizah kita yang cenderung dalam hal kerohanian, kerana mungkin ini adalah tuntutan masyarakat, dan hal-hal sebegini mudah menembusi ruang dakwah yang semakin sarat.

Isu-isu intelektual kelihatan dianggap berat, kontroversial, dan boleh mengundang cemuhan, dan ini dipinggirkan.

Walhal, isu-isu intelektual perlu dititikberatkan demi kemajuan masyarakat.

Apakah langkah seterusnya buat masyarakat Melayu kita?

Yang utama ialah sentiasa menyediakan payung sebelum hujan.

Pandemik Covid-19 ini membuktikan bahawa dunia sudah berubah dan akan sentiasa mengubah cara hidup bermasyarakat.

Lantas, kita perlu terus membuat persediaan awal - membekalkan dan memenuhi diri kita dan keluarga dengan kemahiran dan ilmu yang relevan.

Sekarang bukan lagi zaman rote learning atau pembelajaran secara hafalan, tetapi pembentukan pemikiran kritikal dan pencarian huraian bagi permasalahan.

Di sekolah, misalnya, pelajar digalak untuk bertanya dan berdebat.

Di beberapa negara Eropah, peperiksaan sudah tidak penting lagi.

Syarikat-syarikat ulung dan besar tidak lagi mengambil pekerja berdasarkan keputusan peperiksaan atau sijil.

Malah, sejak di peringkat prasekolah anak-anak diajak bermain dan berinteraksi sesama sendiri, dan bukan dikhususkan ilmu matematik atau hukum-hakam bahasa secara terperinci.

Perubahan strategi pembelajaran ini dipercayai menjana kreativiti dan empati buat masyarakat.

Kita harap pendekatan-pendekatan baru ini bukan hambatan.

Semoga Covid-19 ini dijadikan iktibar dan peluang untuk kita memikir kembali perkara-perkara yang kita anggap sebati dalam masyarakat, agar kita kekal relevan memenuhi tuntutan semasa.

• Penulis Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute, sebuah badan pemikir tentang Asia Tenggara. Beliau lulusan doktor falsafah Universiti Kebangsaan Australia (ANU).

"Jika kita tidak berwaspada, jurang digital yang ketara akan menyisihkan lagi golongan kurang berkemampuan - misalnya di kalangan mereka yang tidak mampu membeli komputer riba yang canggih. Sejauh mana kita dapat kurangkan jurang ini perlu difikirkan bersama. Penggunaan wadah digital juga memberi kesan terhadap kelas-kelas agama kita. Di satu sudut, kita boleh berbangga dengan masjid-masjid di Singapura yang tersergam indah. Namun, perubahan iklim pembelajaran akan mencabar peranan ruang seperti masjid. - Penulis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg