Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:10
Asar
4:26
Maghrib
7:13
Isyak
8:24

Kesihatan landasan kejayaan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana
37
0

Kesihatan landasan kejayaan

May 29, 2022 | 05:30 AM

BERAPA ramai agaknya dalam kalangan kita yang rasa seperti 24 jam sehari terlalu suntuk?

Terutama sekali kaum wanita, apatah lagi insan yang bergelar ibu mahupun mereka yang menghabiskan sebilangan besar setiap hari sebagai penjaga atau "caregiver" untuk ibu bapa dan anak-anak kecil serta anggota keluarga yang kurang sihat.

Bagaimana pula dengan mereka yang sedang berlumba-lumba dan bersaing dengan sengit untuk tiba ke puncak jaya - mendaki menara gading dan juga tangga korporat.

Apakah yang terpaksa dikorbankan dan diambil kira sebagai pembayaran atau kos.

Seperti istilah Inggeris, "What is the cost of your success?"

Mungkin ketika ini ramai yang terdetik untuk menjawab kesihatan dan kesejahteraan.

Ataupun, mungkin hubungan kekeluargaan mahupun persahabatan?

Jadi, sejauh manakah kita bersedia dan berkebolehan untuk mengatasi dan mengawal kos kejayaan?

Bolehkah kita mempertahankan kesejahteraan dan kesihatan dan adakah kita sedar dan akur peri pentingnya nilai kesejahteraan dah kesihatan yang harus kita lindungi?

VERSI TERBAIK DIRI SENDIRI

Cuba kita singkap semula pengalaman menaiki pesawat, ketika pramugara dan pramugari menunjukkan apa yang harus kita lakukan seandainya berdepan dengan kecemasan.

Selain menerangkan langkah demi langkah cara-cara untuk menggunakan pelitup oksigen, ia diselitkan juga dengan peringatan untuk memastikan pelitup oksigen kita telah dipakai dengan sempurna sebelum membantu yang lain, termasuk kanak-kanak atau orang tua.

Meskipun naluri kita mungkin ialah untuk mengutamakan orang lain sebelum diri kita sendiri, logika arahan di dalam kapal terbang itu jelas.

Mengapakah kita harus memastikan diri kita sendiri terurus terlebih dahulu - supaya tidak terjadi sama sekali istilah yang dikhuatiri ramai: 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

Nah, di sini, mengutamakan diri sendiri kelihatan seperti langkah yang bijak.

Dengan menjadi versi terbaik diri kita, kita juga dapat memberi yang terbaik dan menjadi lebih baik buat orang tersayang dan juga masyarakat kita.

KERUMITAN KEHIDUPAN MASA KINI

Sukar untuk kita menafikan kini, kerumitan dan kesan apabila berdepan dengan dunia Vuca (volatile, uncertain, complex, and ambiguous) tidak stabil, tidak pasti, rumit, dan kabur; yakni keadaan sejagat yang penuh dengan ketidak-tentuan, di mana tiada yang pasti, justeru sukar untuk membuat ramalan atau jangkaan.

Krisis-krisis dewasa ini, seperti penularan wabak Covid-19 dan konflik Russia-Ukraine sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang mungkin menjejas kesejahteraan mahupun kesihatan kita. Skala impak atau kesan ini pasti berbeza dan tertakluk kepada setiap individu.

Ada yang mengalaminya dari segi mental, ada pula dari segi fizikal, begitu juga dari segi emosi. Namun pokoknya, kerumitan kehidupan seharian adalah satu realiti kini.

Mujur ada kemudahan yang boleh kita manfaatkan seperti National Care Hotline yang telah menerima lebih 50,000 panggilan sejak dilancarkan pada April 2020.

Buat ramai yang memerlukan bantuan mengatasi cabaran Covid-19, talian nasional ini merupakan langkah pertama buat mereka.

Yang menakjubkan, talian ini dikendalikan oleh pakar-pakar sukarelawan dari pelbagai agensi, termasuk tenaga kerja Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Dalam pada itu, satu tinjauan salah satu penyedia khidmat insurans gergasi di Singapura juga menunjukkan usaha dan kesedaran yang semakin meningkat untuk menjaga kesihatan jasmani, terutama sekali dalam tempoh pemutus litar di Singapura.

Trend yang menunjukkan masyarakat lebih terbuka untuk mencari bantuan dan lebih sedar akan pentingnya menjaga kesihatan adalah sesuatu yang boleh kita dorong bersama.

MAMPU UNTUK SIHAT

Baru-baru ini Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah menyifatkan trend kesihatan masyarakat kita sebagai satu krisis.

Statistik terkini menunjukkan, antara lain, peningkatan seganda masyarakat Melayu/Islam yang menghidap kencing manis.

Menurut pakar, ini juga bermakna, risiko terhadap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang dan darah tinggi akan turut meningkat.

Ekoran itu, sebuah Program Saham Kesihatan yang akan diterajui Setiausaha Parlimen, Cik Rahayu Mahzam dilancarkan baru-baru ini dengan harapan ia dapat dikendalikan dengan pendekatan yang sesuai buat masyarakat kita.

Usaha ini amat tepat pada waktu dan dialu-alukan oleh PPIS, apatah lagi, kajian aspirasi wanita Islam kami yang baru-baru ini menunjukkan gaya hidup sihat merupakan di antara aspirasi yang berkedudukan di tangga teratas buat wanita Islam Singapura, tidak jauh di belakang aspirasi untuk berdikari dari segi kewangan dan juga menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.

Salah satu faktor yang harus mendapat perhatian dalam usaha membantu wanita merealisasikan aspirasi gaya hidup sihat dan menggalakkan trend masyarakat lebih prihatin terhadap menjaga kesihatan, tak lain dan tak bukan adalah kos.

Adakah kos atau kebijaksanaan mengawal perbelanjaan satu halangan untuk masyarakat kita menitikberatkan kesihatan?

Mungkinkah istilah "health is wealth" atau kesihatan adalah kekayaan kini mungkin lebih sesuai jika disebut sebagai "wealth for health" atau kekayaan untuk kesihatan, di mana kemewahan diperlukan demi menjadi lebih sihat?

Mungkin situasi ini tidak begitu ketara di Singapura, dengan adanya bantuan dari pelbagai pihak - pemerintah dan agensi-agensi.

Namun, adalah penting bukan untuk sahaja memantau tindakan sektor swasta dan komersil malah untuk menggalak mereka menyertai usaha memastikan kesihatan tidak menjadi komoditi yang dijual beli.

KESEJAHTERAAN LANDASAN KEJAYAAN

Rezeki sering dikaitkan dengan wang dan harta.

Namun kesihatan juga adalah rezeki yang merupakan dasar penting yang boleh menjadi penggerak atau pemangkin untuk mencapai kesejahteraan.

Dan kesejahteraan pula adalah salah satu landasan utama kejayaan di antara gambaran, dan sasaran yang amat berlainan tatkala seseorang itu melakarkan erti peribadi kejayaan.

Ekosistem perkhidmatan kesihatan kian diperkukuh untuk menawarkan peluang dan akses yang saksama turut didampingi usaha mengubah tabiat terhadap mempertahankan kesihatan.

Yang penting, kita tidak berputus asa dan terus konsisten (istiqamah) dalam usaha mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Masanya sudah lama tiba, tapi masih belum lagi terlewat untuk kita sama-sama lebih komited kepada kesihatan dan kesejahteraan demi menggapai kejayaan buat kebaikan.


  • Penulis Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

KESIHATAN JUGA REZEKI 

"Rezeki sering dikaitkan dengan wang dan harta.Namun kesihatan juga adalah rezeki yang merupakan dasar penting yang boleh menjadi penggerak atau pemangkin untuk mencapai kesejahteraan.
Dan kesejahteraan pula adalah salah satu landasan utama kejayaan di kalangan gambaran, dan sasaran yang amat berlainan tatkala seseorang itu melakarkan erti peribadi kejayaan.''

- Penulis

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3