Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Peranan keluarga dalam pemulihan Peranan keluarga dalam pemulihan

May 29, 2022 | 05:30 AM



DI BULAN Ramadan yang baru sahaja berlalu, saya telah lakukan beberapa lawatan ke penjara untuk berbuka puasa bersama pesalah-pesalah dari pelbagai latar.



Apabila ditanya apakah yang mereka sangat rindukan, ramai menyebut keluarga mereka. Mereka ingin memperbaiki diri bukan hanya untuk diri mereka sendiri bahkan untuk anak-anak dan orang-orang tersayang.



Sekumpulan pesalah muda yang saya temui berkongsi bahawa mereka rindu ibu bapa mereka dan masa-masa bersama keluarga.



Bulan Ramadan dan Syawal adalah bulan-bulan yang mulia untuk kita bermuhasabah diri, bertaubat dan bersyukur kepada yang maha Esa.



Bulan Syawal juga memberi kita peluang untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim antara satu dengan lain.



Saya berharap pesalah dan bekas pesalah dapat melakukan yang sama kerana keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam proses pemulihan mereka.



KELUARGA SEBAGAI TUNGGAK KEKUATAN



Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan rakan-rakan masyarakat akui pentingnya keluarga dalam proses pemulihan.



Tempoh penahanan seorang pesalah itu amat mencabar, bukan sahaja untuk pesalah malah keluarga mereka.



SPS bekerjasama dengan agensi-agensi yang pakar dalam perkhidmatan keluarga untuk menyampaikan program-program memperbaiki hubungan antara pesalah dengan keluarga mereka dari dalam penjara.



Salah satu rakan kongsi yang bekerja rapat dengan SPS adalah Pusat Khidmat Keluarga Ang Mo Kio Community Services Ltd yang mengadakan Program Latihan Kemahiran Sosial (SSTP) untuk para pesalah.



SSTP adalah sebuah program yang membantu para pesalah meneliti bagaimana kelakuan jenayah menjejas hubungan mereka sesama manusia dan memperbaiki cara mereka berkomunikasi, menghurai masalah dan mengawal emosi.



Para pesalah juga boleh mengikuti Program Penyepaduan Semula Keluarga (FRP) yang menyediakan peluang untuk mereka merperkukuhkan dan mempraktikkan apa yang mereka telah pelajari melalui sesi kumpulan rakan sebaya dan sesi bersama keluarga mereka.



Program seperti ini dapat bantu mengeratkan lagi hubungan antara pesalah dengan keluarga mereka.



Menerusi program ini, pesalah dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya keyakinan untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan juga mempersiapkan diri mereka untuk masa depan selepas mereka dibebaskan.



Program ini bertujuan untuk membina rangkaian keluarga yang kukuh supaya risiko berulangnya kelakuan jenayah dapat dikurangkan.



PENGALAMAN 'RAY'



Saya ingin berkongsi kisah tentang 'Ray' (bukan nama sebenar), kakak seorang pesalah yang baru-baru ini sertai program FRP.



Adiknya, 'John' (bukan nama sebenar) sudah beberapa kali keluar-masuk penjara atas kesalahan jenayah berkaitan dadah.



Sebelum menyertai program ini, 'Ray' berasa geram terhadap 'John' dan disebabkan itu beliau jarang mengunjungi adiknya di penjara.



Namun, sejak menyertai program FRP ini, kedua-dua beradik itu dapat berkomunikasi dan meluahkan perasaan dengan lebih baik dan sekali gus memperbaiki hubungan mereka.



'Ray' kini lebih kerap mengunjungi dan memberi sokongan kepada adiknya untuk berintegrasi semula ke dalam masyarakat selepas dia dibebaskan.



Sebahagian daripada program FRP ini adalah sesi perkongsian di antara keluarga yang sedang mengalami situasi yang sama.



Dengan ini, para peserta dapat memberikan sokongan antara satu dengan lain. 'Ray' berasa lebih selesa untuk berkongsi tentang adiknya, 'John'.



Dia juga berasa tenang mengetahui bahawa beliau tidak keseorangan dalam mengatasi cabaran seperti ini.



Program ini membuka hati beliau untuk memaafkan adiknya dan beliau sedang gigih berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka.



Saya berasa gembira kerana program seperti ini bermanfaat bagi para peserta.



Saya galakkan orang-orang yang berada dalam keadaan yang sama seperti 'Ray' supaya tidak putus memberi sokongan padu kepada orang yang tersayang semasa dalam penahanan dan juga selepas mereka dibebaskan.



PERANAN KOMUNITI DALAM MENSTABILKAN DAN MENGUKUHKAN KELUARGA



Sokongan masyarakat yang padu amat penting bagi pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka untuk menstabilkan dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan yang terjejas disebabkan penahanan mereka.



Dengan itu, keluarga yang stabil dapat memberi sokongan kepada ahli keluarga yang masih menjalani hukuman penjara.



Salah satu kumpulan sukarelawan adalah Bapa Sepanjang Hayat (BSH) yang telah menganjurkan program Involvement, Consistency, Awareness and Nurturance (iCAN) di dalam penjara.



Diperkenalkan pada 2016, iCAN membantu pesalah menimba ilmu dan kepakaran untuk membina hubungan yang berkekalan dengan anak-anak mereka.



Hari ini, lebih daripada 500 pesalah telah mengikuti program ini.



Pada 2019, BSH memulakan iCAN Plus, sebuah penambahan kepada iCAN untuk menangani isu yang mendalam di antara pesalah dengan anak-anak mereka.



iCAN Plus mengadakan sebuah sesi di mana bapa-bapa boleh menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang ditimba melalui program ini untuk mendekati anak-anak mereka.



Hari ini, 80 pesalah telah pun memanfaatkan program iCAN Plus.



Saya ingin berkongsi pengalaman seorang bekas peserta iCAN iaitu 'Fazli' (bukan nama sebenar).



Semasa menjalani program iCAN, 'Fazli' mempelajari pentingnya penglibatan dirinya sebagai seorang bapa dalam hidup anak-anak perempuannya dan juga bagaimana beliau boleh berbuat sedemikian semasa berada dalam penjara.



Dengan menggunakan kemahiran yang beliau pelajari, anak-anaknya mula berasa selesa dan lebih riang semasa berinteraksi dengannya.



Lebih mengagumkan, kedua-dua anak perempuannya meraih markah yang tinggi dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).



Hari ini, 'Fazli' sudah kembali ke pangkuan anak-anaknya dan mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara keluarganya.



Selain daripada program-program yang dikendalikan oleh BSH, ada juga program-program kekeluargaan yang dianjurkan oleh rakan kongsi masyarakat seperti AMP, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dan Dana Pendidikan Harun Ghani.



Saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan kongsi seperti ini atas bantuan yang dihulurkan kepada pesalah dan keluarga mereka.



KESIMPULAN



Keluarga adalah sumber motivasi dan juga salah satu faktor untuk pesalah kekal tabah dalam proses pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.



Akan tetapi, ia juga amat penting bagi pesalah untuk memainkan peranan dalam membina semula dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan walaupun mereka masih di dalam penjara.



Di bulan Syawal ini, sedang kita meraikan dengan kelonggaran sekatan, mari kita juga cari jalan yang lain untuk membantu para pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.



Bersama, kita dapat meninggalkan kesan positif dalam kehidupan mereka.




  • Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).


Keluarga adalah sumber motivasi dan juga salah satu faktor untuk pesalah kekal tabah dalam proses pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.

Akan tetapi, ia juga amat penting bagi pesalah untuk memainkan peranan dalam membina semula dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan walaupun mereka masih di dalam penjara.''

- Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >