Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

DIRGAHAYU SINGAPURA

Vaksinasi diri sebagai hadiah terbaik bagi negara

Aug 09, 2021 | 05:30 AM



SETAHUN sebelum jangkitan Covid-19 pertama dikesan di Wuhan, China, pada Disember 2019, seorang penyelidik di Jerman telah mengorak langkah untuk cuba memahami psikologi yang memimpin seseorang untuk membuat keputusan mendapatkan vaksinasi.



Dr Cornelia Betsch dan rakan kerjanya dari Universiti Erfurt di Jerman telah meminta peserta tinjauan itu untuk menilai lima faktor psikologi yang dikaitkan dengan kesediaan mereka untuk mendapatkan vaksinasi.



Lima faktor yang digunakan adalah:



- keyakinan - tahap keyakinan seseorang pada keberkesanan dan keselamatan vaksin, pihak yang memberikan vaksin dan dasar yang mengusul program vaksinasi itu;



- sikap terhadap vaksin - sama ada seseorang menganggap penyakit itu benar-benar mengancam kesihatannya;



- kajian sendiri - yang dilakukan oleh individu untuk menimbangkan keputusan;



- keselesaan - bagaimana mudahkah seseorang itu untuk mendapatkan vaksin; dan



- tanggungjawab sosial - kesediaan orang itu untuk divaksinasi bagi melindungi orang lain.



Dr Betsch membandingkan respons peserta ini dengan set data kedua - sama ada mereka mendapatkan vaksinasi bagi selesema dan vaksin HPV.



Beliau dapati faktor psikologi yang digunakan itu boleh memberi keterangan mengenai keputusan orang yang pelbagai terhadap mendapatkan vaksinasi.



Baru-baru ini, Dr Betsch telah menyesuaikan tinjauan tersebut untuk meramalkan perbuatan orang mendapatkan vaksin Covid-19.



Dan hasil tinjauan yang belum diterbitkan itu mencadangkan lima faktor psikologi yang sama boleh memberi penjelasan keputusan sebahagian orang tentang vaksin, menurut artikel di BBC.



Di Singapura, sehingga 5 Ogos lalu, sekitar 4.3 juta orang atau lebih 78 peratus penduduk telah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19, dengan hampir 2/3 penduduk melengkapkan sepenuhnya vaksinasi. Seseorang dianggap telah divaksin penuh dua minggu selepas menerima dos kedua.



Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian bagi Covid-19 (MTF) minggu lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pihaknya yakin lebih 70 peratus penduduk di sini akan divaksin penuh pada Hari Kebangsaan, menjadikan Singapura antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia.



Ini selepas mengambil kira Singapura memberikan antara 60,000 dengan 70,000 dos vaksin sehari, dengan 90 peratus bilangan itu merangkumi dos kedua.



Mercu tanda selanjutnya adalah memvaksinasi 80 peratus penduduk di sini.



VAKSIN SELAMATKAN NYAWA



Namun, bagaimanakah hendak meyakinkan lebih ramai penduduk di sini, termasuk yang lebih berusia, untuk mendapatkan vaksin?



Buat masa ini, sekitar 89 peratus golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas, telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, yang bermakna ada 11 peratus golongan yang belum berbuat demikian.



Perangkaan bagi golongan yang berusia 70 tahun dan ke atas pula lebih menggalakkan, tetapi boleh diperbaiki - 82 peratus golongan ini telah mendapatkan vaksin, berbanding 74 peratus bulan lalu.



Bukti anekdotal yang dikumpulkan akhbar ini melalui puluhan laporan, video dan audio siar mengenai vaksinasi, mencadangkan hasil tinjauan Dr Betsch itu mungkin dapat menjelaskan sebahagian sikap orang yang masih enggan mendapatkan vaksinasi di sini.



Masih ada orang yang prihatin mengenai keselamatan vaksin. Masih ada juga yang kurang yakin terhadap kesannya dalam melindungi kita dan orang tersayang. Ada yang ingin mengambil sikap 'tunggu dulu', dan menantikan sehingga pilihan vaksin bertambah pada akhir tahun, dan apabila Singapura mencapai imuniti kelompok.



Setiap pembaca pasti mengenali seseorang yang enggan mendapatkan vaksinasi dan yang memberikan pelbagai sebab (atau alasan) mengenai keputusan itu.



Pada masa yang sama, kita juga pasti telah mendengar cerita tentang orang yang mengalami reaksi teruk selepas mendapatkan vaksin - walaupun bilangan ini segelintir sahaja.



Walaupun penting kita tidak menghukum orang yang masih enggan mendapatkan vaksin, terutama yang mempunyai sebab perubatan, kita harus menekankan lagi kepada golongan ini bahawa perbuatan mereka itu membahayakan diri mereka dan orang yang dikasihi.



Malah, lebih penting lagi, mereka harus diyakinkan, tujuh bulan selepas jururawat Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) Sarah Lim menerima dos pertama vaksin Covid-19 di sini, satu fakta adalah jelas: vaksin Covid-19 menyelamatkan nyawa.



ANTARA VAKSIN DENGAN PENYAKIT



Dan sejak itu, bilangan orang yang mengalami reaksi teruk selepas mendapatkannya adalah segelintir saja.



Tentu sekali, vaksinasi Covid-19 tetap diiringi risiko, namun menurut pakar, risiko ini adalah kecil dan orang yang tidak mendapatkan vaksinasi mendedahkan bukan hanya dirinya sendiri, malah orang tersayang dan masyarakat lebih luas kepada risiko lebih tinggi dijangkiti Covid-19.



Bercakap di perbincangan webinar yang dianjurkan ST awal tahun ini, pengarah unit pengasingan peringkat tinggi di NCID, Profesor Madya Lim Poh Lian, yang juga anggota Jawatankuasa Pakar Vaksin Covid-19 Kementerian Kesihatan, berkata:



"Ia bukan sekadar berkata kita semua okey jika saya tidak berbuat apa-apa. Apa yang harus dipertimbangkan bukanlah antara mendapatkan vaksin dengan tidak mendapatkan vaksin, tetapi antara vaksin dengan penyakit.



"Jika anda tidak mendapatkan vaksin kerana takut tentang risiko yang amat kecil itu... anda hanya akan membahayakan lebih ramai orang."



Berbalik kepada lima faktor psikologi tadi, faktor keselesaan mendapatkan vaksin di sini tidak boleh dipertikaikan.



Ada sekurang-kurangnya satu pusat vaksinasi di kebanyakan bandar HDB dan semua poliklinik dan sebahagian klinik keluarga privet menawarkan vaksin.



Bagi warga emas, mereka boleh pergi tanpa berdaftar ke pusat-pusat vaksin pemerintah atau menggunakan khidmat pasukan vaksinasi bergerak jika kurang berupaya.



Empat faktor psikologi yang lain pula - keyakinan, sikap terhadap vaksin, kajian sendiri dan tanggungjawab sosial - bergantung pada diri kita sendiri.



Jika kita membuat kajian sendiri secara bertanggungjawab, saya pasti keyakinan diri dan sikap terhadap vaksin boleh berubah.



Dan terakhir sekali, bukankah ia satu hadiah yang terbaik bagi negara dan penduduknya yang sedang menyambut ulang tahun ke-56 ini, jika kita bersikap lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri dan orang tersayang dengan mendapatkan vaksin?




"Setiap pembaca pasti mempunyai sekurang-kurangnya seorang kenalan yang enggan mendapatkan vaksinasi dan yang memberikan pelbagai sebab (atau alasan) mengenai keputusan itu.

Pada masa yang sama, kita juga pasti telah mendengar cerita tentang orang yang mengalami reaksi teruk selepas mendapatkan vaksin - walaupun bilangan ini segelintir sahaja.

Walaupun penting kita tidak menghukum orang yang masih enggan mendapatkan vaksin, terutama yang mempunyai sebab perubatan, kita harus menekankan lagi kepada golongan ini bahawa perbuatan mereka itu membahayakan diri mereka dan orang yang dikasihi.

Malah, lebih penting lagi, mereka harus diyakinkan, tujuh bulan selepas jururawat Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) Sarah Lim menerima dos pertama vaksin Covid-19 di sini, satu fakta adalah jelas: vaksin Covid-19 menyelamatkan nyawa."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >