Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Wad’ di rumah bawa lega atau sebaliknya?

Meski khidmat bolehkan pesakit inap dalam kediaman sendiri yang selesa, ia tetap tuntut pantauan lebih terperinci
Jun 15, 2025 | 5:30 AM
jagaan hospital di rumah, wad, Covid-19, salah beri ubat
Khidmat jagaan hospital dalam keselesaan rumah boleh mengatasi masalah kekurangan katil atau jika wabak melanda, namun, persiapan teliti perlu dibuat oleh semua pihak yang terlibat. - Foto ISTOCKPHOTO

Ungkapan ‘masuk hospital’ kini kian berubah dengan penggunaan istilah baru iaitu ‘masuk hospital di rumah’.

Pendekatan itu yang mula diperkenal setelah Covid-19 melanda dunia, membawa sinar harapan.

Bukan sahaja ia membolehkan pesakit menerima rawatan dari hospital dalam keselesaan rumah sendiri, malah, ia turut membolehkan kakitangan perubatan menangani isu kekurangan katil hospital yang mendesak terutama jika tercetusnya pandemik.

Sebagai pesakit yang pernah bermalam di koridor jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E), dapat difahami penantian yang melelahkan untuk mendapatkan katil di wad hospital.

Tempoh penantian pula bukan singkat dan boleh memakan masa berjam-jam lamanya, malah sepanjang malam.

Memang sukar melelapkan mata meskipun lampu di koridor dimalapkan.

Deretan katil diatur di tepi tembok di sepanjang laluan koridor dan meskipun persekitarannya tidak begitu menyelesakan berbanding di wad, namun, pesakit masih perlu membayar mengikut harga penginapan di wad.

Terdetik juga di dalam hati alangkah nikmatnya jika dapat beristirahat sahaja di katil sendiri.

Bagaimanapun kini, Singapura menawarkan khidmat, ‘The Mobile Inpatient Care @ Home (MIC@Home) iaitu program yang membolehkan pasukan doktor, jururawat dan karyawan kesihatan berkaitan menjaga pesakit yang disifatkan sesuai, dari rumah mereka berbanding di hospital.

Program itu melibatkan gabungan teleperundingan dan kunjungan ke rumah bagi pemeriksaan fizikal, pengambilan darah, pemberian ubat atau sebagainya.

Secara umum, perkhidmatan itu ditawarkan kepada pesakit yang dinilai oleh pasukan klinikal hospital sebagai berupaya mendapat penjagaan selamat di rumah.

Penjagaan di rumah atau turut disebut sebagai wad maya itu khusus bagi penyakit dengan pelan rawatan agak mantap contohnya, bagi penyakit seperti denggi, radang perut dan usus serta jangkitan saluran kencing atau sebagainya.

Penyakit sebegitu biasanya memerlukan ubat, antibiotik atau ubat cecair ke vena yang boleh dibuat di luar hospital.

Semua itu dipantau dari jauh oleh pasukan jagaan kesihatan menerusi telefon bimbit dan wadah persidangan video.

Sehingga Mac 2025, terdapat sekitar 200 katil MIC@Home melibatkan semua hospital akut di sini.

Jumlah itu kira-kira seganda lebih banyak berbanding 104 katil pada Januari 2024.

Apabila perkhidmatan berkembang, hospital akut awam akan secara berperingkat meningkatkan bilangan katil MIC@Home, bergantung kepada permintaan, kata Kementerian Kesihatan (MOE), lapor The Straits Times, sebelum ini.

Meskipun berupaya mengurangkan kesesakan hospital dan khidmat jagaan dari rumah menawarkan manfaat, terdapat cabaran dan pertimbangan yang perlu diambil kira.

Baru-baru ini, pakar geriatrik menyarankan agar ibu saya dimasukkan ke hospital kerana kesan sampingan ubat darah tinggi membuat kakinya membengkak dek penahanan air.

Doktor mengesyaki disfungsi distolik – masalah dengan keupayaan jantung untuk berehat dan mengisi darah.

Saya keberatan memandangkan beliau gerun dalam persekitaran asing apatah lagi kerana tidak tahu berbahasa Inggeris.

Setelah berbincang, doktor menyarankan agar kami mencuba khidmat ‘masuk hospital di rumah’.

Lega rasanya kerana ibu saya yang berusia 81 tahun tidak akan rasa sendirian dan trauma seperti sebelumnya.

Saya bertemu dengan kakitangan pentadbir yang memberikan kit berisi alat mengukur tekanan darah, paras oksigen, suhu badan berserta fail sebagai panduan dan rujukan.

Sebagai contoh, ia mencatat kekerapan mengukur tekanan darah pesakit, cara tepat melakukannya, tahap yang disifatkan berbahaya, begitu juga dengan bacaan oksigen, demam, berat badan dan sebagainya.

Malah fail itu turut mengandungi gelang yang seharusnya saya pasangkan di pergelangan tangan ibu saya sama seperti pesakit di hospital.

Bezanya gelang itu mencatat nombor kecemasan yang perlu kami hubungi.

Ia beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Penjaga juga perlu merujuk maklumat di dalam fail yang diberikan pihak hospital dan melaporkannya.

Memang ada jururawat yang datang tapi biasanya pada sebelah pagi. Ada yang memang amat prihatin dan tampak teliti menjalankan tugas. Namun, setelah mereka pulang, penjaga perlu mengambil alih pemantauannya.

Ia termasuk mencatat pengamatan tentang makan, minum berserta jumlahnya, serta sama ada pesakit dapat tidur, tampak gelisah, sakit dada atau sukar bernafas.

Malah, maklumat seperti berapa kerap pesakit ke tandas termasuk di malam hari, warna air kencing dan bentuk najis semuanya perlu dilaporkan.

Aspek yang perlu dipantau memang tampak banyak, maka sokongan bagi penjaga pesakit amat diperlukan.

Secara peribadi, saya rasa ada baiknya jika terdapat kaedah digital yang membolehkan penjaga mengisi segala butiran secara teratur beberapa kali setiap hari bagi mempemudah kakitangan perubatan membuat perbandingan dan melihat trend.

Ini berbeza dengan kaedah apabila jururawat menghubungi saya untuk mendapatkan maklumatnya.

Pada hari kedua, saya memberitahu beliau, saya akan menghantar butiran itu melalui WhatsApp agar tidak tersilap dengar atau catat.

Walaupun isu pelaporan diselesaikan, masalah lain pula timbul.

Pada hari pertama, seorang jururawat datang bersendirian dan memberikan maklumat kepada dua doktor melalui panggilan video.

Salah seorang daripada doktor itu bertanya sama ada jururawat berkenaan membawa ubat tertentu.

Pada awalnya, dikata tidak. Namun, setelah diperiksa, ubat yang dimaksudkan ada bersamanya.

Setelah berbincang mengenai dos ubat dan berapa yang perlu diberikan, saya saksikan jururawat itu menunjukkan kepada doktor secara dekat ubat berkenaan menerusi panggilan video.

Ternyata teknologi tetap tidak dapat membantu kerana keesokan hari, jururawat itu meminta maaf kerana ubat baru yang seharusnya diberikan bagi mengawal tekanan darah tinggi rupa-rupanya ubat GATAL!

Bagi saya, memberikan ubat yang salah adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku sama sekali meskipun “nama ubat itu hampir serupa” sepertimana dinyatakan oleh jururawat.

Apatah lagi proses memberi ubat ‘disahkan’ oleh doktor yang berada di hospital.

Setahu saya, dalam persekitaran hospital sekalipun, jururawat yang memberikan ubat kepada pesakit biasanya bekerja secara berpasangan.

Mereka akan mengenakan ves berwarna terang siap tertera di belakangnya, “Jangan Ganggu... sedang membahagikan ubat”.

Ini kerana tumpuan penuh perlu diberikan agar tidak silap memberikan ubat yang sekali gus boleh memudaratkan kesihatan, atau membawa maut.

Perlukah pemberian ubat dilakukan dalam sekitaran wad maya?

Bukankah lebih baik ubat yang perlu itu dihantar sahaja ke rumah atau sekurang-kurangnya terdapat dua jururawat pada satu-satu masa untuk melakukan semak silang?

Sementara itu, seorang teman yang suaminya mengalami serangan jantung ringan dan dimasukkan ke dalam sistem jagaan dari rumah namun dari hospital berbeza pula, berkata:

“Kekurangan (sistem ini) ialah, suami saya masih perlu membayar jumlah biasa (kos rawatan) sama seperti pesakit yang dirawat di dalam wad hospital.

“Ini saya rasa rugi sebab saya masih perlu siapkan makanan, ubat-ubatan suami, kena ambil suhu badan dan sebagainya berbanding kakitangan khidmat kesihatan.”

Begitu juga bagi kegunaan alat penyaman udara.

Memang agak aneh kos pembayaran bagi khidmat jagaan dari rumah serupa dengan rawatan di hospital.

Malah, ia menuntut masa anggota keluarga yang bukan terlatih dalam bidang penjagaan kesihatan, dan mungkin mempunyai pekerjaan sepenuh masa untuk kerap memberi kemas kini.

Bagi kes ibu saya yang ‘masuk hospital di rumah’ selama 10 hari, sejujurnya saya berasa lega ‘dibebaskan’ daripada keperluan pemantauan dan pelaporan berterusan.

Sama seperti kemasukan di hospital, pesakit dari kejauhan turut diberikan hospital discharge summary yang merangkumkan ringkasan masalah kesihatan, ubat-ubat yang diberi serta pasukan doktor yang merawat.

Tidak sahaja salah memberikan ibu saya ubat, malah ketika ‘keluar hospital di rumah’ pun pihak hospital silap menghantar butiran pesakit lain.

Tidakkah ini pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)?

Ini kerana saya tahu nama penuh pesakit itu, nombor kad pengenalan serta penyakit yang dihidapi.

Sebenarnya, Singapura boleh membangun sistem jagaan kesihatan yang berkesan dan ihsan bagi memenuhi keperluan penduduk negara yang kian menua.

Bagaimanapun, masih banyak perkara yang perlu diperhalusi untuk menjayakan program ‘masuk hospital di rumah’ agar penjaga juga tidak masuk hospital dek melihat kesilapan yang berulang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg