ANGKARA ayam, kecoh keluarga saya dibuatnya baru-baru ini.

Apakan tidak. Pintu rumah kami bakal dibuka untuk menyambut tetamu pada hujung minggu lalu sempena Syawal yang baru saja pergi.

Tetapi ayam segar yang biasanya dibeli di pasar basah atau pasar raya dekat rumah kami semua sudah 'ghaib'.

Kejadian ini berlaku selepas Malaysia mengumumkan minggu lalu bahawa negara itu akan menghentikan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan mulai bulan ini.

Ibu pada mulanya mengeluh kepada saya: "Alahai kakak, manalah nak cari ayam ni? Kasihan orang nak datang."

Tetapi, ayah saya tidak putus asa dalam usaha mendapatkan ayam segar. Ayah bawa ibu ke beberapa pasar lain di luar estet kejiranan kami.

Mujur, mereka akhirnya terjumpa juga bekalan ayam segar tetapi pada harga yang mahal - $15 bagi seekor ayam yang seberat sekitar 1 kilogram.

Terpaksalah juga ibu dan ayah saya beli ayam segar itu, memandangkan sudah tiada pilihan lain dan kerana ingin menghidangkan ayam masak merah kepada tetamu.

Tetapi disebabkan harganya lebih mahal daripada biasa, mereka membeli dua ekor ayam saja (sebelum itu, rancangan mereka sebenarnya mahu beli tiga ekor ayam) dan kemudian, membeli kepak ayam perap sudah dibeku untuk menambahkan lagi sajian rumah terbuka kami.

Saya pasti kejadian turut dialami ramai rakyat Singapura lain pada awalnya apabila Malaysia mengumumkan larangan eksport ayam minggu lalu. Maklumlah, rakyat Singapura memang suka makan ayam.

Malah, ayam adalah daging paling banyak dimakan di Singapura, dengan penggunaan per kapita sebanyak 36 kilogram pada 2020, menurut data Agensi Makanan Singapura (SFA).

Oleh itu, berita larangan eksport ayam itu tentu sekali menimbulkan keprihatinan, lebih-lebih lagi kerana negara ini mengimport lebih satu pertiga bekalan ayamnya - hampir 73,000 tan ayam pada 2021 - dari Malaysia.

Ekoran berita itu, beberapa peniaga yang menjual ayam segar yang diperolehi daripada pembekal Malaysia di sini dilaporkan terpaksa berhenti beroperasi selama sebulan.

Sementara itu, pelanggan yang masih menginginkan ayam segar perlu bersedia membayar harga yang lebih mahal atau membuat keputusan untuk membeli ayam beku buat masa ini.

Peristiwa ini telah membuat keluarga saya memikirkan semula selera dan pemakanan kami di rumah.

Memang saya tidak dapat bayangkan hidup tanpa makan ayam.

Bahkan, hampir setiap hari di rumah, ibu saya akan masak hidangan yang mengandungi ayam segar kerana daging ayam memang kegemaran kami.

Tetapi kini, dengan harga ayam segar yang melambung, ibu saya beralih membeli sumber protein yang lain atau masak lebih hidangan sayursayuran.

Menu harian kami di rumah sekarang lebih rencam - semalam ikan bakar, hari ini sambal udang, esok mungkin sup daging lembu dan lusa pula mungkin bayam tumis air.

Saya juga sibuk bereksperimen di dapur tetapi menu saya lebih ke arah masakan Barat, seperti aglio olio udang, stik dengan sos lada hitam dan ikan salmon panggang dengan sos mentega lemon.

Ayam tetap dinikmati di rumah, tetapi kurang kerap dan ia lebih kepada ayam beku yang sudah diperap dan siap digoreng.

Saya dan ibu rasa seronok sibuk mengkaji resipi yang berlainan dan juga banyak membaca tentang khasiat yang terkandung dalam sumber protein lain, seperti daging lembu, kambing dan makanan laut berbanding ayam.

Banyak pengetahuan baru yang kami perolehi, seperti bagaimana ikan seperti tenggiri dan tuna adalah sumber protein yang baik dan mengandungi asid lemak Omega-3 yang penting untuk mengekalkan kesihatan kardiovaskular.

Tetapi walau bagaimanapun, tidak ada yang boleh menggantikan kelazatan daging ayam segar bagi keluarga kami - rangup kulitnya apabila digoreng dan enak isinya tidak kira apa jua cara pun yang dimasak.

Ayam oh ayam...

"Menu harian kami di rumah sekarang lebih rencam... Saya juga sibuk bereksperimen di dapur. Saya dan ibu rasa seronok sibuk mengkaji resipi yang berlainan dan juga banyak membaca tentang khasiat yang terkandung dalam sumber protein lain, seperti daging lembu, kambing dan makanan laut berbanding ayam. Banyak pengetahuan baru yang kami perolehi..." - Penulis.