Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Walaupun dikesan kanser kolorektal, dua pesakit tetap tabah dan terus jalani rawatan

Jul 19, 2021 | 5:30 AM
66943538-3c60-49af-b995-0f70f916fcdc
-

KES 1

MELIHAT kepada watak ceria, bertenaga dan berfikiran positif, tiada siapa menduga Cik Hani (bukan nama sebenar) menyimpan penderitaan serta kesakitan bertahun-tahun lamanya.

Sehingga kini, Cik Hani, 50 tahun, masih perlu menjalani rawatan kemoterapi selepas keseluruhan usus besarnya terpaksa dibuang akibat barah.

Namun, beliau masih tabah mengharungi kehidupan, walaupun usus besarnya terpaksa dibuang dan perlu bergantung kepada beg stoma bagi membuang air besar untuk seumur hidup.

Kehidupan Cik Hani berubah, apabila barah usus besar (kolorektal) tahap tiga yang disahkan pakar pulih lapan tahun lalu, menyerang semula.

Barah usus yang dideritai pada 2010 pulih selepas ketumbuhan lapan sentimeter atau sebesar bola ping pong, dibuang daripada usus besarnya sebelum menjalani kemoterapi hampir setahun.

Namun, tahun lalu, Cik Hani mula mengesan kelainan pada tubuhnya dengan simptom barah usus terdahulu seperti sembelit, sakit untuk membuang air dan najis berdarah berulang semula.

Bimbang dengan keadaan diri, beliau membuat pemeriksaan sebelum pakar mengesan kehadiran kanser sebesar empat sentimeter pada usus besarnya.

Pada 2010, 65 peratus daripada usus besar beliau sudah dibuang berikutan kewujudan kanser menjadikannya pendek.

"Namun November lalu, baki usus besar saya yang tinggal terpaksa dibuang kesemuanya bagi menyelamatkan nyawa, selain mengelakkan kanser berulang lagi,'' katanya.

Perut beliau ditebuk bagi membolehkan tiub beg stoma dipasang bagi proses membuang air besar seumur hidup.

Pada 2010, beliau menjalani 10 kali rawatan kemoterapi selama setahun sebelum disahkan bebas daripada kanser.

"Selepas kanser usus berulang tahun lalu, saya sudah menjalani 25 kali rawatan radioterapi dan perlu menghabiskan lapan rawatan kemoterapi selepas pakar membuang ketumbuhan kanser dan baki usus besar saya.

"Kemoterapi tidak sakit, namun kesan sampingannya termasuk loya, tidak ada selera makan, rasa panas dan sentiasa tidak selesa dan warna kulit berubah menjadi gelap,'' kata Cik Hani

Beliau lega walaupun terpaksa menggunakan beg stoma pada perutnya seumur hidup berbanding sebelum ini yang terpaksa menahan derita untuk membuang air besar.

Kehidupannya terjejas apabila usus besarnya mempunyai ketumbuhan kanser sebelum dibuang sebanyak 65 peratus menjadikan baki usus besarnya pendek.

Ini membuatkan beliau tidak dapat mengawal jika mahu membuang air besar dan perlu bergegas mencari tandas.

Adakalanya beliau berasa tidak puas apabila membuang air besar dan perlu ke tandas sehingga lebih 10 kali sehari menyebabkan kualiti kehidupannya terjejas.

"Apabila semua usus besar dibuang Disember lalu dan saya perlu memakai beg stoma, ia lebih mudah kerana saya hanya perlu kerap membersihkannya dan tiada lagi rasa sakit atau terseksa untuk membuang air besar seperti sebelum ini,'' kata Cik Hani.

KES 2

ENCIK Fadli (bukan nama sebenar), seorang jurulatih yang aktif sepanjang masa dengan bermain badminton, berenang, berbasikal adalah antara aktiviti kegemarannya.

Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa orang seaktif beliau diberitahu 'awak menghidap barah' oleh doktornya pada 2018.

Encik Fadli, 43 tahun, berkata sejak disahkan menghidap barah usus besar, beliau menyedari hakikat untuk menjalani pemeriksaan,

Gejalanya bermula dengan sembelit dan pendarahan rektum tetapi beliau tidak mempedulikanya.

Ini kerana beliau sibuk bekerja dan keaktifannya bermain badminton, berlari dan bersukan.

Hinggalah tiba pada satu tahap beliau mula berasa tidak selesa terutama di bahagian perut dan dubur, dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatannya.

Beliau segera membuat temu janji dengan doktor. Apabila diperiksa, beliau diberitahu 'ada sesuatu'.

Encik Fadli perlu menjalani kolonoskopi. Walaupun prosesnya tidak menyakitkan tetapi kekata doktor bahawa beliau mungkin mempunyai masalah yang serius, membuat fikirannya amat gusar.

Doktor pakar menjalankan pelbagai ujian sebelum mengesahkan diagnosis kanser kolorektal. Beliau didapati menghidapi kanser tahap ketiga.

Encik Fadli tergamam dan tertanya-tanya, mana mungkin beliau boleh menghidap kanser sedangkan beliau sentiasa aktif.

Apatah lagi ibu, bapa dan datuk neneknya tidak ada sejarah penyakit kanser dalam keluarga.

Beliau akhirnya menerima hakikat bahawa barah tidak memilih siapa mangsanya dan beliau mula belajar menerima takdir.

Sejak itu, beliau telah melalui tiga pembedahan dan menjalani kehidupan dengan beg kolostomi dan air kencing pada tubuh selama tujuh bulan.

Pada mulanya beliau berasa lega kerana menyangka dirinya telah benar-benar bebas daripada barah.

Namun doktor mendapati masih terdapat sel-sel kanser yang aktif berhampiran hati dan paru-parunya selepas pemeriksaan Tomografi Emisi Positron (PET) yang dilakukan.

Beliau masih kekal positif, tabah dan sentiasa berdoa.

Beliau perlu menghadiri enam lagi sesi kemoterapi dan masih melibatkan diri bersukan dan menikmati pelbagai makanan kegemarannya.

Ucapan terima kasih beliau kepada keluarga dan kawan-kawan yang memberikan beliau semangat juang menentang barah.

Encik Fadli masih menaruh harapan walaupun kanser kolorektal menjadi kebimbangannya tetapi beliau juga bersyukur ia dapat dirawat setelah dikesan pada peringkat awal dan tidak pada tahap akhir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg