Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Waspada selami 'metaverse'

Oct 30, 2022 | 05:30 AM



KEBELAKANGAN ini ramai yang membicarakan tentang dunia baru 'metaverse'.



Sejak pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, menukar nama syarikatnya kepada Meta Platforms sesuai dengan hala tuju firma itu memasuki ruang tersebut, alam virtual itu menarik minat pengguna mahupun pengamalnya.



Banyak syarikat - besar dan kecil - telah mula berjinak-jinak dengan alam metaverse termasuk firma Melayu/Islam di sini (sila rujuk laporan Berita Harian bertarikh 11 Oktober 2022). DBS Bank juga, misalnya, tidak mahu ketinggalan manakala banyak lagi yang menggunakannya sebagai kempen pemasaran.



Metaverse kian dianggap ruang atau platform yang menjanjikan pelbagai peluang dan pengalaman immersif. Web 3.0 ini harus diselami dan dimanfaatkan sebelum terlewat.



APA SEBENARNYA 'METAVERSE'?



Metaverse semakin diketengahkan sebagai Internet masa depan, namun sudahkah kita memahami apa sebenarnya Metaverse? Sudahkan kita bersedia untuk menyelaminya?



Menurut satu artikel dalam laman berita teknologi, Wired, bertarikh 25 April 2022, metaverse secara dasarnya "merangkumi realiti maya (VR) - dicirikan sebagai dunia maya yang terus wujud walaupun kita tidak berada di dalamnya - dan realiti terimbuh (AR) yang menggabungkan aspek dunia digital dengan fizikal", atau 'phygital'.



Jika anda masih samar-samar dengan gambaran sebenar metaverse ini, usah khuatir kerana ia memang sukar digambarkan sekarang kerana masih baru.



Masing-masing ada visi sendiri. Misalnya, Meta menggambarkannya sebagai 'rumah' maya yang boleh dijadi ruang interaksi dan sembang - metaverse media sosial.



Microsoft pula menganggapnya bilik mesyuarat untuk melatih pekerja atau mengadakan perbincangan dengan rakan sekerja berada jauh dari pejabat - metaverse kerja.



Ada pula mengertikannya sebagai permainan video virtual atau konsert maya yang boleh ditonton jutaan orang - metaverse hiburan.



Apapun visinya, ramai berharap metaverse menjanjikan ekonomi digital yang baru - alam yang mana penggunanya boleh mencipta, berdagang dan menikmati pengalaman menyeronokkan, serupa alam nyata.



Namun ia memerlukan teknologi set kepala VR (besar dan berat) dan kaca mata AR (perlu dipakai untuk menikmatinya).



Kemudian kita juga memerlukan 'hologram' - imej fotografi tiga dimensi terbentuk oleh alur laser.



Teknologi ini masih belum sempurna tetapi usaha giat dijalankan untuk menjadikannya lebih baik dan mudah diguna.



Justeru, sedang kita dihujani dengan 'kempen' metaverse saban hari, namun agak mustahil untuk kita hari ini dengan sekelip mata menjalani kehidupan 'phygital' ini.



Malah Meta sendiri terkial-kial mewujudkannya, walaupun ia telah membelanjakan berbilion dolar untuk menjayakannya.



Banyak persoalan masih menjadi tanda tanya. Apakah set kepala VR dan kaca mata AR itu dapat menggantikan alam 'mobile' telefon bijak yang kita nikmati hari ini? Apakah metaverse imaginasi yang hanya digembar-gemburkan semata, dan penuh dengan cereka? Yang mana satu aspek metaverse yang divisikan hari ini akan menjadi kenyataan nanti?



Sukar untuk kita bayangkan, namun pakar meramalkan metaverse boleh 'hidup' sepenuhnya menjelang tahun 2030-an.



Bagaimanapun kita tidak boleh mengandaikan semua mengenainya akan menjadi kenyataan, kerana tiada jaminan kita akan nanti sentiasa 'lepak' dalam metaverse bersama kawan, atau bertugas di 'pejabat' virtual di mana sahaja.



Hakikatnya, seperti kata Wired, apapun bentuk metaverse yang ada sekarang, ia mungkin tidak lebih hanya "beberapa permainan VR yang hebat dan avatar digital dalam panggilan Zoom, dengan kebanyakannya hanya sesuatu yang masih kita anggap Internet."



Namun begitu, kita tidak boleh mengabaikan teknologi metaverse ini kerana suatu hari nanti, siapa tahu, ia boleh memanfaatkan manusia.



WASPADA BAHAYA TERSELINDUNG



Bagaimanapun awas bahaya terselindung. Kerana seperti ruang siber hari ini, metaverse juga berpotensi mempunyai pelbagai jenis kegiatan 'jenayah' yang tersembunyi di balik tabir. Malah, ia ruang 'permainan' subur bagi penjenayah siber mencari mangsa - apalagi ia 'dunia' baru.



Jadi jika kita berhasrat atau berpeluang menyelami metaverse, berikut antara yang perlu kita waspada:



  • Bahaya pencurian dan peniruan data

Pergerakan dan sekitaran anda dalam metaverse - melalui set kepala VR atau kaca mata AR - boleh dianalisis untuk dijadikan data termasuk daripada pergerakan mata, badan dan tangan anda.



Ini tidak termasuk data yang biasa kita beri seperti telefon nombor, alamat e-mel dan sebagainya.



Semua pengumpulan maklumat peribadi dan sensitif ini memerlukan kebenaran pengguna, tetapi sejauh manakah ia dapat dilindungi supaya tidak dicuri atau ditiru penjenayah?



Justeru, hati-hati dengan data anda agar tidak terperangkap oleh peras ugut siber.



  • Bahaya pencabulan dan pembulian siber

Walaupun bahaya ini sememangnya sudah berlaku dalam alam siber hari ini tetapi dengan adanya metaverse yang lebih imersif, ia mungkin menjadi lebih bahaya.



Misalnya pencabulan seksual dalam metaverse boleh dialami mangsa seperti keadaan sebenar hingga boleh meninggalkan kesan trauma.



  • Bahaya penyamar avatar

Avatar - ikon yang mewakili kita dalam permainan video, forum Internet dan kini metaverse - boleh ditiru menggunakan teknologi 'deepfake'.



Ia bukan sahaja boleh meniru visual malah suara. Peniruan ini boleh digunakan untuk pelbagai kegiatan tidak senonoh seperti kegiatan lucah yang boleh menjejas reputasi dan imej kita.



  • Bahaya 'bot' dan 'troll' sebar maklumat palsu

Alat ini boleh menyebar maklumat tidak tepat hingga boleh mencetus dan mengapi-apikan perbalahan di media sosial selain meningkatkan emosi amarah. Jika tidak dikawal, maklumat palsu boleh memecah-belah masyarakat.



  • Bahaya pada kesihatan

Alam metaverse yang memperlihatkan keindahan dan kejayaan kehidupan pengguna yang sempurna boleh mencetuskan isu mental seperti kemurungan, kerisauan dan stres.



Terlalu asyik berada di dalamnya juga boleh mencetuskan ketagihan serupa simptom orang menagih dadah.



Pendek kata, pelbagai isu etika terdapat dalam metaverse. Maka itu, kita perlu mendidik diri dan anak kita bahayanya dan bagaimana kita harus melayarinya dengan selamat dan betul.



Dalam lain perkataan, kita harus memastikan untuk membaca serta memahami terma, syarat dan kenyataan privasi sebelum memasukinya; mematuhi garis panduan; mengehadkan masa berada di dalamnya; berfikir dahulu sebelum bertindak; dan memastikan pengguna lain tulen.



Keselamatan dan perlindungan seharusnya menjadi DNA metaverse.



Kesimpulannya, metaverse menjanjikan pelbagai manfaat dan kita harus bersikap terbuka untuk menerimanya.



Namun dalam kita ghairah mendakapinya, usah lupa mengamalkan sikap waspada dan melindungi diri dengan langkah keselamatan kerana bahaya dan penjenayah siber terselindung sentiasa merayau mencari mangsa.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >