Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Bajet 2023 dijangka terus beri bantuan pada warga memerlukan

Lebih banyak bantuan jangka pendek bagi isi rumah dijangka sedang ekonomi tumbuh lebih perlahan, inflasi kekal tinggi
Feb 04, 2023 | 08:01 PM



Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan membentangkan Belanjawan 2023 dalam masa lebih seminggu sahaja lagi. Dalam Belanjawan tahun ini, pelbagai langkah boleh dijangka diumumkan sebagai sebahagian strategi pemerintah untuk mengemudi dunia pasca pandemik kini. BERITA HARIAN meninjau antara langkah yang mungkin diumumkan. 



SEDANG Singapura bangkit daripada pandemik Covid-19 yang telah menjejas ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramalan ekonomi dunia yang suram serta kemelesetan ekonomi yang diramalkan pakar terus menjadi keprihatinan besar bagi ramai warga.



Dengan isi rumah di sini terus berdepan harga yang lebih tinggi serta inflasi, pemerhati yang dihubungi Berita Harian berkata mereka menjangkakan Belanjawan tahun ini akan terus menyediakan bantuan yang diperlukan warga untuk mengharungi tempoh mencabar ini.



LEBIH BANYAK BANTUAN JANGKA PENDEK



Menurut mereka, lebih banyak bantuan jangka pendek bagi isi rumah boleh dijangka sedang ekonomi diramal tumbuh lebih perlahan dan inflasi dijangka kekal tinggi.



Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata beberapa usaha sokongan yang diumum tahun lalu seperti Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), pembayaran tunai dan rebat U-Save mungkin diumum lagi tahun ini.



Sementara langkah ini boleh memenuhi keperluan tertentu, Dr Tan berkata beliau berharap pemerintah juga akan berusaha sebaik mungkin untuk menghalang perusahaan daripada mengaut keuntungan berlebihan.



"Oleh kerana GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dijadual naik kepada 9 peratus menjelang 1 Januari 2024, adakah akan ada satu lagi pusingan kenaikan harga yang tidak sewajarnya?" ujar beliau.



Pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Dr Walter Theseira, turut berpendapat bahawa pemerintah akan menawarkan lebih banyak sokongan untuk tangani isu kos sara hidup kerana inflasi dijangka kekal tinggi, walaupun ia dijangka kian perlahan berbanding tahun lalu.



"Saya harap pemerintah akan mempertimbang langkah memastikan bayaran bantuan pendapatan seperti Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), Skim Ihsan Senja dan ComCare dilaraskan dengan mengambil kira inflasi.



"Meskipun amalan sekarang melibatkan langkah menyemak bayaran itu dan menaikkan jumlah yang diberi dari masa ke semasa, dan kenaikan juga telah diumum baru-baru ini, ini mungkin tidak mengambil kira keadaan inflasi terkini," ujarnya.



TURUT SOKONG GOLONGAN PENDAPATAN PERTENGAHAN



Namun selain menyokong isi rumah berpendapatan rendah mengharungi kos sara hidup lebih tinggi, lebih banyak bantuan juga harus dihulur kepada isi rumah berpendapatan pertengahan yang turut terkesan.



Sementara terdapat pelbagai skim bantuan bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, Anggota Parlimen GRC Marine Parade dan Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, berkata tekanan yang timbul disebabkan inflasi dan kesannya pada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan lebih dirasa, misalnya dari segi pengangkutan harian, perbelanjaan berkaitan penjagaan anak serta keperluan harian.



"Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai ramai tanggungan atau perlu menjaga anggota keluarga mereka.



"Bagi pekerja berpendapatan pertengahan khususnya, mereka biasanya tidak layak mendapatkan sesetengah bantuan pemerintah disebabkan kriteria kelayakan yang ketat," ujar Encik Fahmi yang juga Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).



Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, yang juga Naib Presiden NTUC, berkata sokongan baik dalam bentuk rebat mahupun bantuan kewangan juga penting bagi golongan berpendapatan pertengahan.



"Kos menyara hidup isi rumah telah bertambah saban tahun dan subsidi atau rebat bagi isi rumah berpendapatan pertengahan boleh ditambah dari segi jumlahnya atau diperluas kepada lebih ramai golongan supaya lebih ramai orang boleh meraih manfaatnya," ujar beliau.



Ini juga dipersetujui beberapa isi rumah berpendapatan pertengahan yang turut berasa kesan daripada harga lebih tinggi dan inflasi.



Bagi Cik Seri Nadia Abdul Rahman, penganalisis wangian berusia 27 tahun, yang tinggal bersama ibu bapa mentua sementara menanti flatnya siap, beliau berasa harga barang makanan dan keperluan bayi kini lebih tinggi selepas diambil kira inflasi dan kenaikan GST pada 1 Januari lalu.



Namun, beliau bersyukur pakej bantuan pemerintah dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesannya.



"Saya harap pemerintah akan terus bersikap murah hati dan menawarkan bantuan secara konsisten kepada warga memerlukan," ujar ibu seorang anak itu.



BANTUAN JANGKA PANJANG



Sedang sokongan jangka pendek dialu-alukan bagi membantu warga Singapura menangani situasi harga lebih tinggi, pemerhati berkata langkah jangka panjang yang baru mungkin tidak begitu popular, memandangkan situasi inflasi kian berubah dan mungkin berkurangan secara bertahap tahun ini.



Bagaimanapun, Dr Tan berkata satu langkah jangka panjang yang tetap penting adalah usaha menaikkan gaji secara berdaya tahan.



"Langkah menaikkan gaji agar ia melebihi kadar inflasi boleh memastikan keyakinan bahawa warga Singapura boleh menangani kenaikan harga.



Tambahnya, beliau juga tidak mengecualikan kemungkinan lebih banyak dana diperuntuk bagi Pakej Jaminan.



Pakej Jaminan yang diumum buat kali pertama semasa Belanjawan 2020 untuk mengurangkan kesan kenaikan GST, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah, pada asalnya bernilai $6 bilion namun kemudian ditambah hingga bernilai $8 bilion kini.



Dalam pada itu, Dr Theseira berkata adalah perlu juga untuk menyemak dasar kadar faedah Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk memastikan kesan pada dana CPF tidak terlalu besar dalam keadaan inflasi tinggi.



"Sekarang ini, tanda aras kadar faedah gagal mengikut kadar inflasi dan oleh itu, simpanan bagi persaraan kita juga mengecil secara nyata," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >