Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Usah asingkan anak autistik, libatkan dalam aktiviti biasa

Apr 28, 2024 | 05:30 AM



Bagi ramai ibu bapa, perasaan terkejut, tidak pasti dan keliru dialami apabila anak mereka disahkan mengalami autisme.

Bagi saya, saya mengingatinya sebagai satu masa yang sedih. Saya membuat renungan mendalam dan risau sama ada anak saya benar-benar boleh menjalani kehidupan berdikari di mana dia diterima sepenuhnya oleh masyarakat.

Saya berasa yakin melihat pemahaman dan bantuan yang semakin meningkat untuk individu yang mempunyai autisme hari ini. Dengan autisme menjadi salah satu bidang dalam pendidikan khas yang paling dikaji, kita kini mempunyai lebih banyak huraian dan sokongan. Ini juga bermakna ibu bapa mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyokong anak-anak mereka.

Sebagai ibu kepada seorang anak dewasa yang menghidap autisme dengan keperluan sokongan tinggi – dan sebagai seorang pendidik khas – saya menghargai bahawa dunia telah menjadi lebih berilmu dalam bidang keperluan khas ini.

Lebih banyak empati juga ditawarkan. Sebagai contoh, ketika keluar dari kapal terbang bersama keluarga satu ketika dahulu, seorang penumpang sedar yang saya sedang mengalami sedikit kesukaran dengan anak saya dan memberi kami laluan untuk keluar dahulu. Begitu juga di lapangan terbang dan taman tema, anak saya diberi keutamaan ketika beratur.

Tindakan baik dan sokongan ini amat bermakna. Ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya sering menghadapi tekanan yang tinggi. Dalam sesetengah kes, beban ini boleh membawa kepada peristiwa tragis seperti bapa yang meragut nyawa anak lelaki kembarnya yang menghidap autisme pada 2022.

Ramai salah anggap bahawa individu autistik ganas dan sering mengamuk. Tetapi itu tidak selalu benar. Autisme adalah spektrum. Sama seperti orang lain, sesetengah individu boleh menjadi lebih panas baran.

Memperkenalkan penyepaduan dan interaksi awal adalah penting untuk menghapuskan salah tanggapan tersebut. Dengan memulakan proses ini lebih awal, kanak-kanak boleh meraih pemahaman sebenar tentang perbezaan tingkah laku melalui pengalaman secara langsung.

Ini bukan sahaja membantu mengurangkan stigma tentang autisme tetapi juga memupuk hubungan hormat-menghormati di kalangan semua pelajar.

Kajian menunjukkan bahawa apabila sekolah menerima keterangkuman, semua orang mendapat manfaat. Dengan menggalak interaksi yang pelbagai yang mencerminkan interaksi di dunia sebenar, pelajar mempunyai lebih banyak peluang untuk belajar daripada perspektif berbeza.

Persekitaran ini membantu semua pelajar membangunkan kemahiran sosial, tingkah laku dan kognitif yang penting.

Di Singapura, terdapat usaha untuk menjadikan sekolah lebih inklusif dari peringkat awal pendidikan.

Sejak 2021, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) telah melancarkan inisiatif meningkatkan keterangkuman dan sokongan untuk kanak-kanak dengan keperluan perkembangan.

Program Sokongan Inklusif (InSP) yang sedang dirintis menyepadukan khidmat campur tangan awal di prasekolah aliran biasa tertentu di Singapura.

Ini bermakna, kanak-kanak yang mempunyai keperluan perkembangan menyertai rakan seusia mereka yang berkembang secara tipikal dalam bilik darjah yang sama dan diajar kurikulum yang sama tetapi dengan kaedah yang berbeza. Pakar bersedia untuk memberikan sokongan tambahan.

Ecda juga komited untuk memastikan setiap prasekolah di Singapura mempunyai penyelaras keterangkuman bagi menyediakan sokongan kepada kanak-kanak yang mempunyai keperluan perkembangan.

Di peringkat pendidikan lain, terdapat sekurang-kurangnya satu hingga dua pegawai keperluan pendidikan khas di setiap sekolah rendah dan menengah. Lebih ramai guru juga akan dilatih dalam pendidikan khas.

Semua guru pelatih mengambil modul wajib di Institut Pendidikan Negara untuk membangunkan pemahaman asas tentang keperluan pelajar yang pelbagai, termasuk mereka yang berkeperluan khas.

Lebih banyak peluang, lebih banyak kesan

Singapura sedang menuju ke arah model pendidikan yang lebih inklusif. Bagaimanapun, amalan keterangkuman boleh menjadi lebih mendalam dan lebih memberi kesan.

Kita perlu melakukan lebih daripada sekali sekala meletakkan pelajar kurang upaya dalam bilik dengan pelajar yang berkembang secara tipikal atau terlibat dalam bentuk penyepaduan sepintas lalu seperti menyertai acara Hari Sukan tahunan dengan sekolah aliran biasa.

Lebih banyak integrasi fizikal harus berlaku untuk membolehkan pelajar neurotipikal dan autistik bergaul dan menyesuaikan diri dengan satu sama lain dari usia awal, menetapkan asas untuk interaksi yang selesa apabila mereka dewasa.

Hari ini, kita melihat pendekatan inklusif ini dilakukan di Canossian Village, dengan satu kawasan menempatkan sekolah rendah, sekolah khas untuk kanak-kanak kurang daya pendengaran, prasekolah dan kemudahan perkhidmatan sosial tambahan.

Sekolah Antarabangsa Dover Court, tempat saya mengajar selama beberapa tahun, telah berjaya melaksanakan model ini selama beberapa dekad. Di sini, pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan, termasuk mereka yang mempunyai autisme, belajar bersama di satu kampus, meraih manfaat daripada kemudahan yang dikongsi dan laluan pendidikan yang disesuaikan dengan kekuatan dan keperluan unik mereka.

Saya berharap kita dapat bergerak ke arah melaksanakan amalan sebegini di seluruh negara supaya setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada pendidikan inklusif.

Kita boleh belajar daripada apa yang negara lain lakukan.

British Columbia di Canada misalnya telah beralih daripada mengasingkan pelajar berdasarkan perbezaan. Mereka menutup sekolah khas secara berperingkat dan mengerahkan semula guru pendidikan khas agar membantu sekolah melaksanakan pendekatan inklusif. Setiap pelajar berkeperluan khas di sana menerima rancangan pendidikan masing-masing untuk sokongan yang disesuaikan.

Lebih banyak keterangkuman bukan sahaja membantu dalam pembangunan kemahiran tetapi juga mengurangkan tekanan mental dan emosi.

Penyisihan oleh rakan sebaya adalah sukar bagi sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah pun mengalami kesukaran berkomunikasi dan berhubung. Pengasingan ini boleh menjejas keyakinan diri, maruah dan harga diri seseorang, membuatkan mereka dan ibu bapa mereka rasa terasing, kecewa dan tidak berdaya.

Apabila anak saya menunjukkan tingkah laku luar biasa di khalayak ramai seperti melambai-lambaikan tangannya atau bercakap seorang diri, orang ramai sering merenung. Ia boleh menjadi tidak selesa, tetapi saya sentiasa cuba menerangkan keadaannya dan cabaran yang dihadapinya. Nasib baik, kebanyakan orang memahami.

Bagaimanapun, ada juga komen yang menyakitkan hati. Ada yang masih salah percaya bahawa isu tingkah laku berpunca daripada keibubapaan yang lemah.

Saya teringat satu kejadian apabila anak saya secara tidak sengaja terlanggar pintu kereta lain. Pemiliknya memarahi saya kerana tidak mengajarnya kemahiran sosial asas apabila dia tidak meminta maaf.

Walaupun saya telah menjelaskan bahawa anak saya mempunyai autisme dan tidak bercakap, beliau berkata itu hanya alasan.

Dalam kejadian yang serupa, seorang lelaki menjerit kepada anak kawan saya kerana menendang tempat duduknya dalam kapal terbang. Reaksinya selepas mengetahui budak itu menghidap autisme?

“Itu masalah awak, bukan masalah saya.”

Dalam masyarakat yang benar-benar inklusif, orang memahami dan berempati dengan tingkah laku tertentu, selalunya kerana mereka telah menghadapinya sejak kecil.

Biarkan sekolah bekerjasama

Di Singapura, sekitar 20 peratus kanak-kanak yang disahkan kurang upaya menghadiri sekolah khas. Sekolah khas di Singapura ditakrifkan mengikut jenis ketakupayaan dan tahapnya. Contohnya, beberapa sekolah khusus autisme, seperti Sekolah Pathlight dan Sekolah Misi St Andrew, memenuhi keperluan pelajar yang boleh mengakses kurikulum aliran biasa dan sekolah lain seperti Sekolah AWWA dan sekolah Rainbow Centre memenuhi keperluan sokongan yang lebih tinggi.

Kita mesti menggalakkan semangat kerjasama yang kuat antara sekolah aliran biasa dan sekolah khas di banyak peringkat, termasuk akademik, kegiatan kokurikulum, persembahan dan kumpulan berasaskan minat.

Sekolah khas dan kakitangan mereka boleh memainkan peranan penting dengan bertindak sebagai pakar untuk membantu sekolah aliran biasa mengurus pelajar kurang upaya seperti berkongsi pengetahuan tentang cara menangani isu tingkah laku atau krisis, pengurusan bilik darjah dan pedagogi.

Guru pendidikan khas juga boleh belajar daripada guru sekolah aliran biasa tentang metodologi pedagogi dan penunjuk prestasi akademik yang penting untuk berkembang maju secara akademik dalam konteks sekolah aliran biasa.


Menggalakkan kerjasama lebih hebat antara kedua-dua set guru akan membolehkan mereka menangani keperluan pelbagai semua kanak-kanak, sama ada mereka mempunyai autisme atau keperluan lain, sebagai satu pasukan.

Terdapat peluang untuk interaksi yang lebih kerap antara pelajar sekolah khas dengan aliran biasa yang terletak berdekatan. Sebagai contoh, bas sekolah ke lokasi ini boleh dikongsi, kantin boleh menjadi ruang yang diguna bersama, dan perhimpunan boleh menjadi kegiatan gabungan.

Sesetengah sekolah sudah pun melakukan perkara ini di bawah model Kerjasama Sekolah (Pendidikan Umum-Pendidikan Khas) Kementerian Pendidikan, menyediakan peluang interaksi sosial untuk pelajar melalui kegiatan kokurikulum, waktu rehat, bengkel dan kem bersama.

Matlamatnya ialah menyediakan lebih banyak ruang dan peluang untuk kanak-kanak dan belia kurang upaya bersama-sama dengan berkembang secara tipikal setiap hari.

Terdapat peluang sebenar di sini untuk menilai bagaimana sumber, kemudahan dan amalan terbaik boleh dikongsi dengan berkesan.

Walaupun menghadapi cabaran, kanak-kanak autisme mempunyai kekuatan dan minat, sama seperti orang lain.

Mereka berhak mendapat peluang yang sama seperti pelajar lain untuk berkembang menjadi versi terbaik diri mereka.

Dengan memupuk empati dari usia muda, kita boleh membantu mengurangkan daripada menghakimi dan mewujudkan masyarakat yang mana individu autisme dan kurang upaya lain boleh mengambil bahagian dan berkembang maju sepenuhnya.


Persefahaman yang dipupuk pada awal kehidupan hanya dapat membantu generasi ini sedang ia menjadi semakin matang dan memasuki alam pekerjaan apabila interaksi akan berlaku dalam persekitaran yang lebih tidak menentu, tidak dapat dijangka dan lebih menuntut.

Itu penting dalam membina masyarakat Singapura yang lebih inklusif.

Dr Eunice Tan ialah ketua program Pendidikan Khas di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). Artikel ini pertama kali disiarkan di akhbar The Straits Times.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >