Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Blinken beri amaran Houthi bakal tanggung akibat jika terus serangan di Laut Merah

Jan 09, 2024 | 02:40 PM



RIYADH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, memberi amaran kepada militan Houthi di Yaman bahawa mereka akan menanggung “akibat” daripada serangan berterusan yang dilakukan ke atas kapal di Laut Merah.


Amaran beliau itu seiring dengan kenyataan seorang pemimpin tertinggi serantau mengenai tindakan ketenteraan oleh gabungan pimpinan Amerika terhadap kumpulan itu.

“Kami telah mengumpulkan 40 negara yang secara bersama sepakat bahawa apa yang dilakukan oleh Houthi perlu dihentikan,” kata Encik Blinken kepada pemberita pada 8 Januari.

Beliau menyatakan demikian selepas bertemu Putera Mahkota Saudi Mohammed Salman di Riyadh, Arab Saudi, sebelum berlepas untuk kunjungan selanjutnya ke Tel Aviv, Israel.

“Kami mempunyai negara lain yang telah menjelaskan bahawa jika serangan berterusan, mesti ada akibatnya,” tegas beliau.

Diplomat tertinggi Amerika yang dalam lawatan keempatnya di Timur Tengah sejak militan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, telah juga melawat Turkey, Greece, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membincangkan usaha mengelakkan konflik serantau, melindungi orang awam Palestin di samping mendapat sokongan dunia Arab terhadap pemerintah pasca konflik di Gaza.

Kunjungan itu dibuat ketika ketegangan meningkat di Laut Merah – pintu masuk ke Terusan Suez yang penting untuk perdagangan sejagat – yang menyaksikan Houthi telah menyerang beberapa kapal komersial sebagai tindak balas kepada tindakan perang Israel di Gaza.

Pada hujung minggu, bilangan transit menerusi Terusan Suez merosot ke paras terendah sejak laluan tersebut tersekat disebabkan kejadian kapal kontena Ever Given tersangkut pada 2021 di terusan itu.

Menurut syarikat perkapalan Inchcape Shipping Services, kemerosotan laluan di Laut Merah itu disebabkan kesan gangguan yang lebih meluas terhadap perdagangan dunia.

“Serangan ini memberi kesan nyata terhadap harga yang perlu dibayar orang ramai untuk makanan, ubat dan tenaga. Kapal perlu dilencongkan ke tempat lain. Kadar insurans juga naik.

“Prinsip asas kebebasan perkapalan adalah apa yang dipertaruhkan. Jadi masyarakat antarabangsa mempunyai kepentingan sebenar dalam menegakkan prinsip itu,” ujar Encik Blinken.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani – yang bercakap bersama Encik Blinken pada 7 Januari – menolak tindak balas ketenteraan dengan memberi amaran ia hanya akan meningkatkan ketegangan serantau dan mencetuskan kitaran keganasan yang tiada kesudahannya.

“Kami tidak pernah melihat tindakan ketenteraan sebagai satu huraian,” kata Sheikh Al Thani.

Komen pemimpin Qatar itu, termasuk gesaan untuk gencatan senjata segera dalam konflik Israel-Hamas, menggariskan tindakan mengimbangi yang sukar bagi Encik Blinken. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >