Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Brexit secara ringkas

Jul 30, 2018 | 05:30 AM



Apakah Brexit?



Brexit ialah tindakan United Kindom (UK atau Britain, dan dianggotai England, Scotland, Wales dan Ireland Utara) keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). Rakyat UK mengundi 52 peratus pada 2016 untuk meninggalkan blok 28 negara itu selepas hampir 50 tahun, berbanding 48 peratus mahu kekal.



Ia juga digelar 'cerai'.



Pilihan itu bermakna meninggalkan pasaran tunggal dan kesatuan kastam, menamatkan hubungan undang-undang, mengakhiri hak automatik bagi warga EU tinggal di Britain, dan mengurangkan atau menamatkan bayaran belanjawan kepada Brussels (ibu negara EU).



Apakah Brexit Keras dan Brexit Lembut?



Brexit keras bermakna UK menamatlan hubungan utama dengan EU dan bergerak sendirian, walaupun ia merosakkan ekonomi. Ini disokong oleh sebilangan besar Ahli Parlimen (AP) Tory (Konservatif) dan Parti Kemerdekaan UK (Ukip) di Britain.



Brexit lembut bermaksud mengikuti serapat mungkin peraturan EU sekalipun ia bermakna melepaskan kebebasan dan kemerdekaan. Ini disokong oleh sejumlah besar AP Buruh, dan beberapa pemberontak dalam Tory.



Kabinet dan parti Tory berpecah dalam hal ini dan Perdana Menteri Theresa May cuba mencari jalan tengah bagi menyenangkan semua orang. Begitu juga Jeremy Corbyn, ketua Parti Buruh yang juga Ketua Pembangkang.



Bila Brexit berlaku dan bila tarikh akhirnya?



Britain akan secara rasmi meninggalkan EU pada 11 malam 29 Mac 2019.



Bagaimanapun tempoh peralihan telah dipersetujui, yang bermaksud hampir semua peraturan semasa diteruskan hingga Malam Tahun Baru 2020.



Tarikh akhir untuk mencapai perjanjian cerai ialah sekitar Oktober 2018, kerana ia memerlukan masa untuk disahkan oleh Parlimen Eropah dan Britain.



Apakah bayaran perceraian?



'Bil perceraian' Brexit Britain - jumlah yang akan dibayar selepas Mac 2019 - ialah 40 bilion ($63.8 bilion) hingga 45 bilion euro - atau antara £35 bilion ($62.68 bilion) dan £39 bilion.



Apakah tempoh peralihan?



Britain telah mendapatkan 'tempoh peralihan' demi mencapai Brexit yang licin dan memberikan kepastian kepada perniagaan.



Ini akan memberi Britain masa untuk bersiap bagi kehidupan di luar EU, misalnya menubuhkan sistem dan agensi kastam baru.



Tetapi ia bermakna Britain harus terus menerima peraturan EU, termasuk kebebasan pergerakan manusia (imigresen EU), dan bidang kuasa Mahkamah Keadilan Eropah.



Apakah perjanjian cerai yang dikehendaki kerajaan Britain?



EU berkata Britain mempunyai dua pilihan - model Norway atau model Canada (kedua-aduanya bukan anggota EU).



Tetapi Cik May pada dasarnya menolak kedua-dua pilihan tersebut.



Pilihan Norway (EEA) akan menyaksikan Britain membayar bagi mengakses pasaran sesebuah negara EU dan menerima peraturan EU, termasuk pergerakan bebas manusia.



Perjanjian Canada-EU (CETA) membolehkan perdagangan bebas antara Canada dan sesebuah negara EU tetapi tidak termasuk perkhidmatan, yang merupakan sektor terbesar Britain.



Cik May bekata beliau akan mendapatkan tawaran lebih baik bagi Britain - Canada Plus. Dalam erti kata lain, Britain mahu pelbagai manfaat berada dalam blok EU - tetapi tanpa perlu membayar yuran keahlian.



Apakah model Norway?



Model Norway merujuk kepada negara ahli Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), tetapi bukan EU.



Jika Britain menyertai EEA, ia akan mendapat semua kebebasan dalam pasaran EU - termasuk pergerakan bebas barangan dan manusia, sebagaimana Norway.



Tetapi ini bermakna ia terikat pada semua peraturan EU dalam bidang itu serta dasar pekerjaan, sekitaran dan perlindungan pengguna tetapi, seperti Norway, tidak ada kuasa bersuara dalam pembentukan dasar-dasar itu.



Perpecahan Tory



Kabinet Tory berpecah belah mengenai sejauh mana Britain harus sejajar dengan peraturan EU selepas Brexit. Ada pihak mahu ia kekal rapat dengan EU, manakala pendukung Brexit dalam parti itu menolak ini kerana percaya ia akan mengehadkan keupayaan Britain mencapai perjanjian perdagangan kompetitif dengan negara luar EU.



Kumpulan kedua itu ramai. Kumpulan pertama kurang tetapi berpengaruh.



Disebabkan majoriti Cik May tipis, jika kumpulan pertama bekerjasama dengan parti Buruh, mereka dapat menjatuhkan Cik May dan kerajaan Konservatif.



Bolehkah Brexit dihentikan?



Pada masa ini, ia kelihatan tidak mungkin.



Terdapat kempen, dengan sokongan kewangan berjuta-juta pound, misalnya Best For Britain, yang cuba menghentikan proses Brexit.



Tetapi menghentikan Brexit mungkin memerlukan pungutan suara kedua. Ini pula hanya dapat dilakukan jika ada perubahan yang cukup besar dalam pendapat umum mengenai Brexit yang dapat mengenakan tekanan agar ia diadakan.



Kebanyakan tinjauan menunjukkan sejak pungutan suara pertama pada Jun 2016, pendirian golongan pro-Kekal (dalam EU) dan pro-Keluar (EU) tidak banyak berubah. - Agensi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >