Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hasina kekal Perdana Menteri Bangladesh bagi penggal kelima

Jan 08, 2024 | 04:01 PM



DHAKA: Cik Sheikh Hasina, berusia 76 tahun, mengukuhkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Bangladesh bagi penggal kelima berturut-turut dalam kemenangan Pilihan Raya Umum ke-12 yang diboikot oleh semua parti pembangkang.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bangladesh, melalui jurucakapnya, mengesahkan bahawa Liga Awami, parti yang diketuai Cik Hasina, telah diumumkan sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Umum ke-12, yang berlangsung pada 7 Januari.

Namun, perhatian tertumpu pada peratusan pengundian yang amat rendah, dianggarkan kurang daripada 40 peratus.

Pilihan Raya Umum ke-12 itu dilihat memberi laluan kepada Cik Hasina, untuk memegang jawatan bagi penggal kelima.

Tindakan nekad itu diambil memandangkan, sebahagian besar pemimpin dan calon parti pembangkang kini ditahan, sekali gus menolak untuk mengambil bahagian dalam apa yang disifatkan sebagai pilihan raya palsu.

Cik Hasina melabelkan mereka sebagai organisasi pengganas.

Walaupun Cik Hasina memegang amanah untuk meneruskan pembangunan ekonomi negara yang pernah dilanda kemiskinan, pemerintahan di bawah kepimpinannya didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang luas dan kejam terhadap pembangkang.

Dalam pilihan raya itu, Liga Awami menghadapi sedikit cabaran di kerusi-kerusi yang ditandingi, tetapi tidak meletakkan calon di beberapa kawasan.

Ini dilihat sebagai usaha untuk menghindari tuduhan monopoli kuasa oleh satu parti.

Sebaliknya, blok pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang mendakwa menjadi sasaran penindasan oleh pentadbiran Cik Hasina, melancarkan mogok umum dan enggan menyertai pilihan raya.

Menjelang pengumuman rasmi keputusan akhir pada 8 Januari, pegawai SPR menyatakan bahawa parti Cik Hasina kemungkinan menang sekitar tiga perempat daripada 300 kerusi Parlimen, membawa angka kemenangan sekurang-kurangnya 220 kerusi.

Dengan kemenangan itu, Cik Hasina dijangka akan memiliki pengaruh lebih besar di Parlimen, disokong oleh ahli Parlimen daripada parti bersekutu.

Ketua BNP yang kini berada di Britain setelah dibuang negara, Encik Tarique Rahmah, menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan undi palsu.

BNP dan parti pembangkang lain telah mengadakan protes selama berbulan-bulan, menuntut pengunduran Cik Hasina sebelum pilihan raya.

Di Chittagong, mogok yang dianjurkan oleh parti pembangkang telah menyebabkan kejadian di mana anggota keselamatan didakwa melepaskan tembakan senapang dan gas pemedih mata.

Aktivis hak asasi manusia dari Human Rights Watch, Encik Meenakshi Ganguly, menegaskan bahawa pemerintah gagal memberi keyakinan kepada penyokong pembangkang untuk melaksanakan pilihan raya yang adil.

Beliau turut memberi amaran bahawa ramai akan berada dalam keadaan ketakutan akibat tindakan keras yang mungkin dilakukan oleh pemerintah pimpinan Cik Hasina.

Menurut laporan media tempatan dan agensi berita Xinhua, seorang penyokong parti politik telah ditikam hingga mati dalam kejadian yang berlaku di Tengor, Mirkadim di Sadar Upazila Munshiganj.


“Seorang penyokong calon Liga Awami telah ditikam hingga mati didakwa oleh penyokong calon bebas,” lapor Financial Express, memetik ucapan seorang pegawai polis tempatan.


Kejadian tragik itu berlaku kira-kira 9.45 pagi waktu tempatan pada 6 Januari, dengan mangsa diserang menggunakan senjata tajam oleh pelaku yang didakwa sebagai penyokong calon bebas.


Polis yang diberitahu mengenai kejadian tersebut bergegas ke tempat kejadian dan berusaha mengawal situasi yang tegang.


Namun, suasana di Bangladesh semakin memuncak dengan satu lagi pertempuran tercetus antara polis dengan anggota BNP di Chattogram, seperti yang dilaporkan oleh Dhaka Tribune.


Perbalahan itu bermula apabila sekurang-kurangnya 20 hingga 25 anggota BNP cuba keluar berarak dalam satu mogok yang berlangsung selama 48 jam di bandar pelabuhan.


Polis, dalam usaha menghalang perarakan tersebut, terlibat dalam pembentrokan dengan anggota parti tersebut.


Keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila media tempatan melaporkan bahawa seorang pemimpin Liga Awami tempatan di Munshiganj ditemui mati dengan kesan tikaman di belakang kepalanya.


Kejadian itu berlaku berhampiran pusat pengundian tempatan, kira-kira satu setengah jam selepas pengundian bermula.


Ketegangan yang berlaku pasca pemilihan umum itu menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan politik dan keselamatan di Bangladesh.


Dengan kejadian itu, ia petanda perlunya langkah keselamatan lebih ketat dalam proses pemilihan umum, demi mengelakkan kejadian sedemikian daripada berulang pada masa hadapan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >