Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel terus gempur Rafah, tidak endah amaran AS

May 10, 2024 | 02:17 PM



RAFAH: Tentera Israel melancarkan pengeboman ke atas Rafah, ketika Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyanggah ancaman Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk menghentikan bekalan senjata ke Israel jika ia menyerang bandar selatan Gaza itu.


Seorang pegawai kanan Israel berkata lewat 9 Mei bahawa pusingan terbaru rundingan gencatan senjata di Kahirah untuk menghentikan permusuhan di Gaza telah berakhir dan Israel akan meneruskan operasinya di Rafah dan bahagian lain Gaza seperti yang dirancang.

Israel telah mengemukakan kepada pengantara mengenai cadangan Hamas untuk perjanjian pembebasan tebusan, kata pegawai itu.

“Jika perlu, kami akan bertarung dengan kuku kami,” kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan video. “Tetapi kami mempunyai lebih banyak daripada kuku kami,” ujar beliau.

Di Gaza, kumpulan Hamas dan Jihad Islam berkata mereka melepaskan roket dan mortar anti kereta kebal ke arah kereta-kereta kebal Israel yang berkumpul di pinggir timur bandar itu.

Penduduk dan pegawai perubatan di Rafah, berkata serangan Israel berhampiran sebuah masjid telah membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain.

Serangan udara Israel ke atas dua rumah di kejiranan Sabra di Rafah membunuh sekurang-kurangnya 12 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Antara yang maut ialah seorang komander kanan militan Briged Al-Mujahedeen, dan keluarganya, dan keluarga seorang lagi ketua kumpulan, kata pegawai perubatan, saudara mara dan kumpulan itu.

Israel mendakwa militan Hamas sedang bersembunyi di Rafah, tempat perlindungan terakhir bagi separuh daripada 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza.

Dalam pada itu, Rumah Putih yang mengulangi harapannya agar Israel tidak akan melancarkan operasi penuh di Rafah, berkata serangan itu tidak akan memajukan matlamat Israel untuk mengalahkan Hamas.

“Menghancurkan Rafah, pada pandangan [Presiden Biden], tidak akan memajukan objektif itu,” kata jurucakapnya, Encik John Kirby.

Encik Kirby berkata Hamas telah ditekan dengan ketara oleh Israel dan terdapat pilihan yang lebih baik untuk memburu mereka daripada operasi yang mempunyai risiko besar kepada orang awam.

Serangan Israel ke atas Gaza telah membunuh hampir 35,000 rakyat Palestin, kata kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.


Ia melancarkan serangan sebagai tindak balas kepada serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan menahan 240 tebusan.


Presiden Biden pada 8 Mei mengeluarkan amaran paling tegasnya terhadap pencerobohan darat penuh di Rafah, memberitahu CNN bahawa: “Saya beritahu dengan jelas bahawa jika mereka serang Rafah...saya tidak membekalkan senjata kepada mereka.”

Duta Israel ke Amerika, Encik Michael Herzog, berkata keputusan untuk menahan bekalan senjata kepada Israel itu menghantar “mesej yang salah” kepada Hamas dan musuh negaranya. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >