Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

‘Jangan abai suara anak muda’

Pengundi muda harap kerajaan baru kelak mesra aspirasi mereka, utamakan pembangunan dan kebajikan rakyat
Aug 03, 2023 | 05:30 AM



Dengan tempoh kempen berbaki beberapa hari sahaja sebelum pilihan raya negeri (PRN) Malaysia pada 12 Ogos, pengundi muda sedang menilai gabungan politik manakah yang akan dipilih untuk diberi kepercayaan membentuk kerajaan negeri baru di enam negeri terlibat.

Kebanyakan anak muda yang ditemui Berita Harian (BH) mahu aspirasi serta harapan mereka didengar dan aspek pembangunan serta kebajikan diberi keutamaan oleh pemimpin yang bakal dipilih kelak.


Bagi presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu, Encik Muhammad Shahril Haja Mohaideen, 23 tahun, gabungan politik mana pun yang diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri baru nanti perlu lebih proaktif dalam memperkasa suara anak muda, terutama membabitkan perancangan masa depan negara.

Beliau berkata sebagai generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara, golongan muda, khususnya pada peringkat mahasiswa, perlu diberi lebih pendedahan dalam usaha kerajaan merangka sebarang perancangan pembangunan masa depan.

“Jangan abaikan suara anak muda dalam perancangan masa depan. Wakil rakyat dan kerajaan yang dipilih perlu memperkasa suara pemuda mahasiswa dalam dasar atau tindakan yang diambil supaya memperoleh input yang seimbang dan terbaik untuk negara,” katanya kepada BH.

Encik Muhammad Shahril, penuntut ijazah sarjana muda undang-undang, berkata bagi memastikan kerajaan baru yang bakal ditubuhkan selepas PRN benar-benar mendapat mandat majoriti rakyat, setiap individu yang layak mengundi perlu menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Adalah sangat penting untuk mempunyai kerajaan yang ditubuhkan atas mandat daripada majoriti rakyat. Sebab itu setiap individu wajib mengundi.

“Kita tidak mahu pada hari pengundian nanti hanya segelintir yang turun lalu tidak menterjemahkan keputusan majoriti,” katanya, yang akan pulang mengundi di Selangor.

Penuntut ijazah sarjana sastera bahasa dan linguistik Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Selangor, Cik Fatin Amirah Mohd Hisham, 23 tahun, mahu kerajaan negeri baru kelak mengamalkan tadbir urus cekap yang bersih daripada ketirisan dan elemen rasuah.

“Pilihan raya negeri perlu dijadikan medan untuk anak muda menzahirkan nilai tanggungjawab dengan mengundi supaya kita dapat memilih kerajaan yang memahami kehendak rakyat, khususnya dalam isu pembangunan ekonomi dan kestabilan politik.

“Saya yakin pengundi muda bijak membuat penilaian. Kita mahu pemimpin yang dekat dengan orang muda, merasai denyut nadi rakyat, mengutamakan apa yang diperlukan dan tidak hanya pandai menabur janji ketika kempen pilihan raya saja,” kata yang dipertua MPP UPM itu, yang akan mengundi di Kelantan.

Seorang peniaga kecil, Encik Muhammad Arsyad Abd Ghani, 25 tahun, berkata beliau adalah antara anak muda yang keciciran pelajaran kerana kemiskinan, justeru beliau berharap kerajaan dapat memberi peluang kepada golongan sepertinya untuk terus memajukan diri dan ekonomi keluarga.

“Saya akui dulu malas belajar dan sering ponteng sekolah. Tetapi apabila usia mencecah 18 tahun, saya mula sedar akan tanggungjawab untuk menjaga keluarga. Saya gembira pemimpin di tempat saya membantu saya memulakan perniagaan.

“Alhamdulillah perniagaan kini semakin berkembang. Sebab itu saya melihat adalah amat penting rakyat memilih pemimpin berwibawa dan bijak menguruskan rakyat walau dalam apa keadaan sekalipun, terutama anak muda punya cita-cita untuk berjaya,” katanya yang bakal membuang undi di Kedah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >