Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Pengendali kedai kopi kecil hadapi cabaran

Firma besar kini sedia beli kedai kopi dengan harga jutaan dolar, sebabkan sewa melonjak
Jul 04, 2022 | 05:30 AM



APABILA pemilik hartanah kedai kopi di Blok 214 Jurong East bertukar tangan kepada pemilik baru pada 2018, pengendali dan pemilik bersama Kedai Kopi Padi Emas yang menyewa hartanah itu, Encik Yusof Erksan, berdepan dengan kenaikan sewa sebanyak 80 peratus.



Setelah membeli hartanah itu pada harga tinggi, pemilik hartanah baru itu meningkatkan harga sewa menyebabkan pengendali seperti Encik Yusof terpaksa membayar kos sewa lebih tinggi.



Akibatnya, beliau tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa meningkatkan harga sewa bagi para pegerai kecil-kecilan yang menyewa di kedai kopi itu.



"Apabila ada pemilik hartanah baru, kami sebagai pengendali kedai kopi terpaksa berdepan dengan harga sewa yang tinggi. Kami tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menaikkan harga sewa sekitar $300. Mujur para pegerai saya faham,'' kata beliau, 44 tahun, yang sudah berniaga menjadi pemilik bersama dan pengendali kedai kopi selama tujuh tahun.



Selain di Jurong East, beliau memiliki sebuah lagi kedai kopi Padi Emas di Bizhub 28 di Chai Chee.



Menurutnya, sebagai pengendali kedai kopi, mereka menghadapi cabaran utama iaitu harga sewa tinggi, kesukaran mendapat pekerja dan kos bahan yang meningkat yang memakan keuntungan mereka.



"Kedai-kedai kopi banyak dimiliki syarikat-syarikat besar yang mempunyai keupayaan kewangan. Lantas mereka boleh membeli kedai-kedai kopi serata Singapura pada harga tinggi,'' kata Encik Yusof.



Antaranya ialah pengendali kedai kopi dan pusat makanan Kimly 1DO yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX).



Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa laporan media mengenai syarikat-syarikat yang membeli kedai kopi dengan harga yang agak tinggi.



Bulan lalu, sebuah kedai kopi di Blok 848 Yishun Street 81 dibeli pada harga $40 juta, dengan harga bagi setiap kaki pergi (psf) mengatasi beberapa unit harga kedai runcit di Orchard Road.



Sebuah firma dikenali sebagai Y848 membuat kaveat bagi membeli hartanah itu dengan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada 10 Mei lalu bagi KPT Kopitiam yang beroperasi 24 jam.



Ini bermakna kedai kopi berukuran 398 meter persegi dijual pada harga sekitar $9,361 bagi setiap psf, lebih tinggi dari purata $6,964 psf bagi unit runcit di Far East Plaza dan Lucky Plaza di Orchard Road yang dijual tahun ini, menurut perangkaan firma agensi hartanah ERA Research and Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).



Sebelum itu, sebuah kedai kopi di Tampines juga bertukar tangan pada harga rekod $41.68 juta dan beberapa penyewa gerai merancang membatalkan perjanjian sewa kerana harga sewa akan dinaikkan.



Sebuah firma G&G (21) membuat kaveat bagi membeli kedai kopi yang terletak di di Blok 201 Tampines Street 21.



Diminta mengulas mengenai harga belian tinggi, ketua kajian dan konsultasi ERA, Encik Nicholas Mak, berkata: "Ia merupakan pasaran terbuka yang membolehkan syarikat-syarikat buat bidaan. Jadi, kita tidak boleh menghalang syarikat dari meletakkan harga belian yang tinggi. Jika pun pengendali meletakkan harga sewa rendah, syarikat pengendali kedai kopi boleh meningkatkan harga makanan misalnya disebabkan faktor lain seperti harga bahan makanan tinggi dan kesukaran mendapat pekerja.''



Beliau menambah jika kawalan dikenakan seperti kawalan sewa, ia hanya akan mencetuskan masalah lain, tambahnya.



Selain kos sewa tinggi, pengendali kedai kopi seperti Encik Yusof juga berhadapan dengan cabaran mendapat pekerja, kos bahan makanan dan elektrik yang meningkat.



"Akibat perang di Ukraine, kos perniagaan meningkat 30 peratus. Bahan makanan naik, kos elektrik naik dan kita juga sukar dapat pekerja. Tiga permit pekerja saya dari Malaysia tidak diluluskan. Ia adalah cabaran yang kita hadapi. Keuntungan pun susut,'' katanya.



Pemilik restoran Ayza, Encik Abdul Malik Jainulabudeen, yang menyewa kedai kopi di Blok 508 Jurong West St 52, juga berhadapan dengan cabaran yang serupa.



"Harga minyak 17 kilogram telah naik daripada $19 ke $51. Itu baru satu bahan. Belum lagi bahan makanan lain seperti ayam. Jadi, bayangkan kenaikan harganya.



"Tetapi, saya harap harga akan susut beberapa bulan mendatang. Kita sebagai pengendali kedai kopi tidak boleh terus menerus naikkan harga makanan. Pelanggan akan lari,'' kata peniaga berusia 48 tahun yang sudah berniaga di sana selama 12 tahun.



Beliau pernah menaikkan harga makanan sebanyak 15 peratus enam bulan lalu.



"Kalau kita dapat balik modal dan bayar sewa setiap bulan, dah kira syukur,'' katanya.



Pernah sebelum ini pemilik hartanah itu menyarankan beliau membeli hartanah itu darinya tetapi ketika itu beliau menolak.



"Mungkin saya harus beli sebelum ini tetapi harga dah terlalu tinggi sekarang ditambah dengan kadar faedah tinggi,'' tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >