Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pesona RATU

Ella pukau peminat dengan tenaga rok ‘tidak mati’
Aug 19, 2023 | 05:30 AM



Kejujuran, keikhlasan dan kasih sayang luar biasa kepada peminat adalah yang membuatkan Ratu Rok Ella kekal dihargai dan dicintai ramai sepanjang hampir empat dekad berkecimpung dalam bidang seni.

Meskipun sudah mencecah usia 57 tahun, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, masih kelihatan bertenaga apabila bergerak pantas dari kiri ke kanan pentas sambil meminta sekitar 5,000 hadirin yang datang ke Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota di Teater The Star pada Khamis agar menyanyi sama dengannya.


Satu trademark Ella yang ramai suka adalah beliau menjadi dirinya yang sebenar tanpa perlu mengetengahkan persona berbeza di pentas atau di khalayak ramai. Masih tetap manja dan lucu walaupun mungkin tidak bermaksud untuk buat kelakar.


Ella yang berkemeja-T dan berseluar jean atau berjaket kulit serta menghayun-hayunkan rambut panjangnya suatu ketika dahulu, masih sama dengan Ella yang lebih matang, berhijab dan bergaun labuh kini.

Satu kebiasaan Ella adalah mengucapkan kata-kata “Ella rasa...” berulang kali ketika berbicara di pentas, sesuatu yang kadangkala ditiru peminat yang terhibur dengan gelagatnya.

Malahan pada Khamis, Ella secara jujur berkata: “Ella sebenarnya tak pandai berbual banyak tetapi Ella cuba ya?” Ketulusannya itu membuatkan peminat tersentuh dan bertepuk tangan, memberi semangat buat bintang kegemaran mereka.

Suaminya, Kapten Azhar Husaini Ghazali, yang tampil untuk berduet dengannya bagi lagu Peace Love Rindu pula berkata: “Nampaknya bukan orang Malaysia sahaja sayang awak. Tapi orang Singapura juga!” Kasih sayang pasangan ini begitu kelihatan dengan kata-kata perangsang yang bertali arus sepanjang perbualan mereka bersama.


Selebihnya, Ella adalah penghibur dengan pencapaian tersendiri walaupun pada Khamis wujud masalah teknikal yang melewatkan sedikit permulaan konsert dengan bunyi mikrofon serta muzik kurang jelas dan kadangkala kedengaran bertempik.

Lagu Risau menjadi pembuka tirai persembahan dengan beberapa teman penulis yang amat peka soal sistem bunyian konsert mula risau dengan suara dan sebutan lirik Ella yang kurang kedengaran dek mikrofon yang digunakan serta muzik yang kurang ‘garing’ seperti kebiasaannya.


Bagaimanapun, apabila konsert beransur-ansur mula mengetengahkan lagu kegemaran ramai seperti Retak, Pengemis Cinta, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Permata Biru dapat dilihat momentum konsert mula terasa.


Hadirin yang terdiri daripada pasangan suami isteri, teman sekolah lama, ibu dan anak remaja mahupun rakan sekerja yang sama-sama meminati Ella mula menghayunkan tangan yang memakai gelang berlampu yang mampu bertukar-tukar warna mengikut suasana secara automatis pemberian penganjur Rock Queen dan LOL Asia.

Jika kebiasaannya Teater The Star dipenuhi cahaya lampu picit telefon, keadaannya berbeza ketika itu.

Tiga lagu yang lebih membakar mood penonton untuk meresap dalam zon konsert Ella adalah Layar Impian, Standing In The Eyes of The World dan Gemilang.


Entah mengapa setiap kali tiga lagu itu berkumandang, akan timbul jiwa patriotik bak menyanyikan lagu kebangsaan kerana mood bersemangat yang dibawa oleh tiga lagu ini.


Secara peribadi, Gemilang yang dijadikan lagu penutup tirai konsert membawa kesan memburu impian dan ini merupakan lagu yang saya dan teman-teman Universiti Nasional Singapura (NUS) dendangkan sewaktu kami menutup tirai pengajian pada 1995 setahun selepas album Ella USA yang dirakam di Amerika dilancarkan.


Pujian wajar diberi kepada pasukan yang menghasilkan grafik dan ilustrasi pentas, penyanyi latar yang buat kali ini dapat tampil menari dan menyanyi bersama Ella di hadapan dan bukan setakat berdiri atau duduk sederet seperti dalam konsert lain.

Segmen karaoke turut disediakan ketika Ella berehat dan menyalin pakaian di mana penonton sama-sama menyanyikan lagu epik Ella, Rama-Rama. Ilustrasi rama-rama, mawar merah yang mekar dan banyak lagi paparan kreatif di pentas yang menarik perhatian saya dan menyejukkan pandangan mata.


Sepintas sejarah seni Ella yang turut menyerantau ke Jepun dibentangkan bersama asal-usul permulaannya bersama kumpulan Ella & The Boys.

Betapa dalam tempoh tersebut ‘Minah Rok’ ini sudah pergi jauh dan mempertahankan kedudukannya sebagai Ratu Rok yang tiada gantinya kerana unik.

Malahan, melihat persembahannya, saya dapat samakan dengan kehadiran pentas vokalis wanita Barat yang hebat, Marie Fredriksson daripada Roxette dan Dolores O’Riordan daripada The Cranberries. Ada ‘roh’ dan ‘jiwa’ dalam setiap persembahan.

Kehadiran anak saudara Ella, Kaka Azraff, yang memanggilnya Uteh menjadi kejutan buat generasi muda yang condong pada lagu hip-hop. Kaka berduet dengan Ella bagi lagu Baldu Biru disusuli dengan lagu yang menaikkan namanya dalam industri hasil kerjasama dengan duo Singapura, Sleeq, Bukan Hal Aku.


Wajah-wajah ceria peminat kelihatan kerana puas dibuai lagu-lagu Ella yang menjadi teman sewaktu zaman persekolahan. Tetapi ada juga yang rasa terkilan bahkan membandingkan konsert yang menampilkan Ella di Esplanade pada 2017 sempena Pesta Raya.

Mutu audio, jelas beberapa pengunjung kededua konsert, sesuatu yang saya persetujui, menjadi penyebab mengapa konsert enam tahun lalu itu dianggap lebih bermaya dan mempesona. – HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >