Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Selebriti setempat tunjuk taring di gelanggang bola jaring

Nurul Aini, Huda Ali, Farhana M. Noor antara yang sertai aktiviti bola jaring tiap minggu untuk cekal cergas
Mar 18, 2023 | 05:30 AM



SEMUA gelanggang di Pusat Bola Jaring Kallang penuh dengan pemain yang nampak agak serius dan ada dalam kalangan mereka kelihatan seperti pemain profesional.



Di sebelah hujung, di gelanggang keenam, terdengar bunyi riuh-rendah sekumpulan wanita sedang bermain bola jaring.



Siap dengan 'bib' berwarna kuning dan oren - semangat dan kesungguhan mereka terserlah, dan kadangkala aura serius di pusat itu dipecahkan dengan bunyi ketawa berdekah-dekah dari gelanggang keenam.



Bila dilihat secara dekat, barulah tahu pemain-pemainnya memang profesional semuanya, tapi bukan dalam sukan bola jaring!



Mereka adalah selebriti tempatan Singapura yang berkumpul setiap minggu untuk bersukan bersuka ria bersama teman-teman mereka.



Antara yang kelihatan sewaktu latihan baru-baru ini ialah selebriti Huda Ali, Nurul Aini, Nur Farhana M. Noor dan juga penyanyi, sekarang usahawan Malaque Mahdaly. Walaupun ini hanyalah latihan bersuka ria bersama teman-teman, mereka memberikan 100 peratus komitmen untuk menghadiri sesi ini.



Pengacara dan pelakon Nurul Aini mengaku jadual hariannya sangat padat dengan menguruskan aktiviti anak, menghantar mereka ke sekolah dan ke kelas tambahan, selain kerja rumah dan penggambaran.



Walaupun begitu, beliau tetap mengetepikan waktu untuk sesi bola jaring.



"Saya komited bermain setiap minggu, sehinggakan saya mengatur kerja saya untuk membenarkan saya menghadiri latihan. Kalau dipanggil untuk 'shoot', saya akan beritahu pihak produksi untuk melepaskan saya awal supaya saya tidak ponteng latihan," kata Nurul Aini.



Ini juga dipersetujui oleh pelakon Nur Farhana M. Noor.



"Walaupun selepas seharian kerja dan berasa letih, saya tidak akan ponteng sebab perjumpaan dan latihan tiap minggu ini sangat menghilangkan stres kerana kami begitu seronok ketika bermain bola jaring,"katanya.



Berbeza dengan Nurul Aini dan Farhana yang pernah bermain bola jaring sewaktu zaman persekolahan, pengacara dan pelakon tinggi lampai, Huda Ali berkata beliau tidak pernah bermain sukan itu sebelum ini.



"Saya bukan jenis yang bersukan tetapi ini adalah alasan baik untuk saya bergerak sihat dan berpeluh!" kata ibu dua anak itu.



Kalau biasanya, mereka yang bekerja di pejabat dapat berjumpa dengan rakan kerja hampir setiap hari, para artis ini tidak berkesempatan berjumpa antara satu sama lain selain dari di lokasi penggambaran - itupun jika mereka ada penggambaran bersama.



Jadual harian untuk komitmen lain dan juga menguruskan keluarga sendiri membuat perjumpaan di luar penggambaran agak payah.



"Jika di set penggambaran, kita berjumpa secara 'touch-and-go'. Jadi saya lebih sukakan interaksi di gelanggang, dapat mengenali mereka dengan lebih rapat," jelas Nurul Aini.



Tambah Huda Ali sambil ketawa:



"Tentu saja rasa seronok dapat berjumpa, bergosip…"



Untuk ibu-ibu muda ini, selain bersenam dan berjumpa kawan, sesi ini juga memberikan mereka masa untuk diri sendiri - berehat seketika dari tanggungjawab menjaga keluarga.



"Ini adalah aktiviti 'me time' saya yang utama!" jelas Farhana yang baru bergelar ibu setahun lalu.



Selain bermain bola jaring, Farhana juga membuat senaman Zumba, dan jika tidak dapat keluar rumah kerana perlu menjaga anak kecilnya, beliau akan bersenam mengikut video di YouTube.



"Asalkan bersenam," katanya lagi.



Malaque Mahdaly yang baru saja menyertai kumpulan itu baru-baru ini berkata beliau bersyukur dapat mengatur kerja hariannya, termasuk mengurus perniagaan dan keluarga.



"Saya baru diajak bermain bola jaring oleh Nurul Aini dan ini adalah hari pertama, dan tentunya, bukan terakhir!" katanya yang juga aktif melakukan senaman lain seperti yoga, pilates dan spinning.



"Setiap kali saya bersenam, saya menganggap itu adalah 'me time' saya," tambahnya sambil berharap sesi ini dapat menyemarakkan semula minatnya dalam sukan bola jaring.



Yang penting, mereka semua menganggap aktiviti ini adalah kegiatan untuk cekal cergas dan aktif.



"Kesihatan itu penting bagi saya. Anak-anak saya masih kecil, saya perlu kekal sihat untuk sentiasa dapat melakukan aktiviti bersama anak-anak saya," terang Nurul Aini.



Aura positif, sikap saling sokong menyokong satu sama lain sambil bergelak ketawa adalah yang paling ketara kelihatan pada kumpulan itu semasa latihan.



Setakat ini kumpulan itu hanya bermain untuk bersuka-suka dan tidak ada cita-cita berlawan dengan kumpulan lain atau memasuki pertandingan.



"Kalau ada peluang untuk berlawan dalam pertandingan apa salahnya," kata Huda Ali.



Farhana pula menambah :



"Jika kita berlatih bersungguh-sungguh, mungkin…!"



Yang menariknya, sekitar 20 tahun lalu, selebriti Marina Yusof, Rahimah Yusof, Nora Ismail, Nina Fevriena dan ramai lagi juga pernah menubuhkan kumpulan bola jaring dan aktif bermain bersama setiap minggu.



Nampaknya sudah ada pelapis untuk kumpulan veteran ini di gelanggang enam.




"Saya komited bermain setiap minggu, sehinggakan saya mengatur kerja saya untuk membenarkan saya menghadiri latihan. Kalau dipanggil untuk 'shoot', saya akan beritahu pihak produksi untuk melepaskan saya awal supaya saya tidak ponteng latihan."
- Nurul Aini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >