Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sheila Majid pentingkan sikap, bukan sensasi

Ratu Jaz Malaysia tekankan budaya kerja ‘diam-diam’, hanya kongsi bila ‘menjadi’
Aug 25, 2023 | 05:31 AM



Bertahan lama dalam industri hiburan Nusantara bahkan bertuah dapat menembusi pasaran Indonesia merupakan sesuatu yang disyukuri Ratu Jaz Malaysia, Datuk Sheila Majid.

Beliau bukanlah seorang penyanyi yang menganggap dirinya sensasi atau condong membuat gimik untuk mengecapi populariti.

Bagaimanapun, apa yang beliau tekankan adalah kerendahan hati secara semula jadi serta keupayaan menjaga diri kerana akur dirinya itulah ‘produk’ tetapi bukan robot yang dapat bertahan serta berdaya stamina 24/7 (selama 24 jam, tujuh hari).

Di ambang konsert anjuran Offshore Entertainment, Sheila Majid Big Band Live In Singapore 2023, di Teater The Star pada 8 malam, 20 Oktober ini, Sheila, 58 tahun, berkongsi konsep dan perancangan acara tersebut di samping panduan buat generasi muda untuk kekal relevan merentasi era dan masa berbeza.


Hingga ke hari ini, lagu Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta, Dia, Ku Mohon dan Legenda kekal menjadi siulan ramai dan diminta ramai setiap kali beliau membuat persembahan, baik di Malaysia, Singapura atau Indonesia.


“Kerana media sosial, lebih mudah untuk jadi terkenal semalaman hari ini. Ia berbanding dengan zaman saya dahulu di mana kita tiada wadah media sosial dan bermula dari bawah. Kita bagaikan meniti era persekolahan, dari peringkat prasekolah, naik sekolah rendah dan sekolah menengah. Perlahan-lahan dikenali dan jika ada rezeki sampai ke tahap populariti.

“Budak sekarang naik cepat dan kadangkala mereka alami kejutan budaya dan tak dapat terima apabila warganet ‘bantai’ mereka dengan kecaman, cemuhan dan kutukan. Bagi saya, kalau nak tembusi pasaran luar Malaysia dan masuk ke Indonesia, anggap menyanyi ini seperti pekerjaan lain yang berprofil tinggi. Ia adalah tugas yang memerlukan anda tangkas untuk menjadi lebih baik daripada orang lain.

“Di Indonesia, ramai yang bagus dan handal. Mereka patriotik pada bahasa mereka dan kenegaraan mereka. Pendengar di sana akan sokong artis Indonesia mereka dahulu. Jadi kalau kita nak masuk pasaran mereka, kita mesti jauh lebih baik atau berbeza daripada artis Indonesia.

“Seperkara lagi, sikap mesti bagus. Jangan terlalu mendabik dada sehingga ingat kita ‘terror’ sangat. Kita harus buat perancangan teliti. Mesti nak kenal kekuatan kita atau tahap kemampuan kita di mana.

“Saya lihat sekarang ni, sangat senang orang nak jadi popular... walau mereka buat entah apa-apa sahaja dalam TikTok, tahu-tahu jadi topik perbualan hangat satu negara atau satu Nusantara. Nak jadi terkenal... biarlah buat secara baik.

“Apabila sudah dikenali, jangan berhenti setakat itu. Sebab bab paling sukar adalah mengekalkan mutu kerja seni dan persembahan anda. Seni bukan kerja mudah,” tambah Sheila yang ditemui di balik pentas Pesta Jaz dan Fesyen Batam (Bajafash) yang berlangsung di Taman Pendidikan Ekologi Hutan Simpanan Panbil, Batam, baru-baru ini.

Mengingati perjalanan seninya sendiri sejak 1984, Sheila akui beliau lebih pentingkan usaha merealisasikan sesebuah projek lantas menyifatkan dirinya sebagai karyawan muzik yang lagi suka bekerja diam-diam daripada riuh menghebahkan projek terkininya ‘satu kampung’.

“Kita bikin dulu, dah siap...barulah kita kongsi. Jangan bising-bising selepas itu tak jadi. Bagi saya, nak tahan lama, kena pandai jaga diri. Sebab kita bukan mesin boleh berjalan 24 jam. Kitalah produk yang harus dijaga rapi. Kerja penyanyi bukan macam kerja pejabat dari 9 pagi hingga 5 petang.

“Seperti sekarang, saya balik selepas konsert... sampai hotel tidur 5 pagi agaknya. (Pada) 8 pagi dah kena bergegas ke lapangan terbang. Ada masa sangat sibuk dengan projek bertali arus. Tapi ada hari, berbulan tak ada kerja. Memang penyanyi tak perlu bekerja setiap hari. Itu lumrahnya.

“Dalam masa lapang di mana kita tak bekerjalah, kita harus manfaatkan peluang untuk latih diri kita. Saya akan berlari-lari anak untuk jaga stamina dan kecergasan saya. Nak jaga periuk nasi, harus betul-betul pertingkatkan daya tahan dan tahu apa yang terbaik untuk diri anda,” kata ibu empat anak itu.

Mengenai konsertnya di Singapura, ia ditunggu-tunggu selepas enam tahun tidak berdendang untuk peminatnya pada acara berskala konsert. Kali terakhir adalah pada 2017 di Teater The Star juga.

Selain mengubati rindu menerusi 20 lagu yang akan dibawakan, beliau ingin penonton merasakan kelainan bunyi konsert kali ini.

“Orang akan selalu minta kita nyanyi lagu macam Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta serta Lagenda berulang kali. Tapi pastinya sebagai penyanyi, saya ingin menghiburkan mereka dengan lagu sama yang diberi susunan lagu berbeza atau nafas baru.


“Susah nak jelaskan bagaimana konsep ‘Big Band’ ini akan diterapkan. Bagi saya, jika konsert dahulu mungkin diketengahkan irama gesekan biola, kali ini kita tekankan tiupan hon yang lebih kuat dan bertenaga...macam rancak, berani dan ‘garang’. Tapi tentunya, ada lagu tak kena jika diberi sentuhan ‘Big Band’ macam Gemilang.


“Jadi, kalau anda ke konsert saya kali ini dan tak dengar beberapa lagu yang biasanya anda dengar... saya minta maaf. Janganlah kecewa. Sebab anda harus terus hadiri konsert Sheila Majid. Konsep kali ini berlainan dan saya jangka ramai akan terhibur,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam misinya sebagai penyanyi dan penghibur, Sheila tidak lupakan usaha membantu rakan-rakan seni yang ingin mengembangkan pesta anjuran mereka seperti Bajafash yang diasaskan Cik Indina Putri Fadjar.

Tahun ini merupakan Bajafash kedua yang dihadiri Sheila. Kali pertama ke sana adalah pada 2017.

“Saya berbesar hati diundang buat kali kedua oleh Ibu Indina bagi acara ini untuk memajukan kepulauan Batam. Saya lihat ia sudah membangun. Dulu dibuat di hotel sahaja. Sekarang, ia dibuat pada skala lebih besar sedikit.

“Saya sanjung usaha mereka memajukan irama jaz dan sektor fesyen di mana kita lihat sambil kita menyanyi, hasil karya pereka fesyen dipaparkan, dengan model yang memperagakan ciptaan pereka fesyen ini.

“Ini idea yang baik. Di Barat, perkembangan sebegini sudah lama wujud. Mudah-mudahan, Bajafash dapat jadi seperti Pesta Java Jazz di Jakarta yang besar dan menjadi acara ‘wajib kunjung’ oleh pelancong serata dunia dan pencinta muzik antarabangsa,” tambah Sheila.

Ditanya apakah takrifan atau intepretasi jaz sebagai muzik golongan elit sudah berubah, Sheila berkata muzik ini menggambarkan cita rasa iaitu sama ada seseorang menggemarinya atau tidak.

“Kalau anda tak suka, jangan kata ia tak bagus. Bukan bererti sesuatu genre kurang diminati, ia langsung tidak bernilai. Sama macam sambal belacan atau durian, ada yang suka dan ada yang tidak. Ia bukan bererti kalau orang tak suka sahaja, ia bukan produk yang baik,” jelasnya.

Tiket konsert Sheila Majid Big Band Live In Singapore 2023 berharga $88 hingga $298 boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >