Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Rabun tidak pandang usia

Jan 31, 2022 | 05:30 AM



SEKITAR 10 peratus kanak-kanak Singapura akan menghidap masalah miopia menjelang usia lima tahun, menurut kajian oleh Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC).



Kadar tersebut meningkat 60 peratus menjelang usia 12 tahun dan 80 peratus menjelang usia 18 tahun.



Sementara itu, sehingga 90 peratus golongan dewasa Singapura berusia lebih 18 tahun dianggar menghidap masalah miopia menjelang 2050, dengan antara 15 peratus dengan 25 peratus berisiko menghidap masalah miopia tinggi.



Miopia yang juga dikenali sebagai rabun jauh merupakan masalah di mana seseorang tidak boleh melihat dengan jelas pada jarak jauh, tapi tiada masalah melihat dari jarak dekat.



Menurut satu artikel dalam Annal Akademi Perubatan, dianggarkan sekitar 10 peratus warga dewasa Singapura sudah pun menghidap rabun jauh tinggi, sementara sekitar 80 peratus rekrut tentera setempat sudah pun mengalami masalah itu.



Menyatakan demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Berita Harian (BH), Pakar Optalmologi dan Mata, Klinik Mata Dewasa dan Kanak-Kanak (ACE), Dr Cheryl Ngo, berkata meskipun sejarah keluarga serta komplikasi semasa lahir mungkin meningkatkan peluang masalah rabun jauh, majoriti kes rabun jauh diburukkan oleh pengaruh sekitaran.



"Faktor sekitaran bagi miopia biasanya berkaitan gaya hidup dan melibatkan pendedahan terlalu lama kepada alat-alat elektronik seperti komputer riba, telefon bimbit, atau alat permainan selain kurangnya pendedahan kepada cahaya mentari.



"Dan gara-gara pandemik Covid-19, serta protokol penjarakan sosial, kanak-kanak bukan sahaja lebih terdedah kepada lebih banyak masa skrin, yang lantas meningkatkan risiko miopia, malah kurangnya masa di luar rumah," tambah Dr Ngo.



Miopia disebabkan faktor-faktor genetik dan sekitaran.



Sekiranya salah seorang ibu bapa myopik, terdapat sekitar 18.2 peratus peluang si anak menghidap miopia, dan sekiranya kededua orang tuanya myopik, maka risiko itu meningkat kepada 32.9 peratus.



Dr Ngo menambah kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan dan dengan berat badan yang rendah, juga berisiko tinggi menghidap miopia.



KOMPLIKASI AKIBAT MIOPIA TINGGI



Myopia tinggi boleh meletakkan pesakit pada risiko masalah mata berbilang apabila usia meningkat.



Menurut Dr Ngo:



"Masalah tersebut termasuk katarak awal, glaukoma, retina tertanggal dan makulopati, yang boleh menyebabkan kerosakan penglihatan yang teruk atau buta.



"Menurut satu artikel yang diterbitkan dalam Jurnal Kesihatan Mata Masyarakat, risiko menghidap glaukoma hampir 50 peratus lebih tinggi dalam kalangan individu yang menghidap miopia sederhana hingga tinggi, berbanding miopia rendah.



"Para individu yang menghidap miopia tinggi juga tiga kali lebih berkemungkinan menghidap katarak berbanding mereka yang tanpa masalah tersebut, dan berisiko lebih tinggi menghidap katarak sebelum usia 60 tahun.



"Mereka juga lebih berkemungkinan memerlukan pembedahan katarak berbanding mereka yang menghidap miopia sederhana," tambah Dr Ngo.



Satu lagi komplikasi merbahaya yang dikaitkan dengan miopia tinggi adalah retina yang tertanggal.



Memetik satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Eye, risiko retina tertanggal adalah lima atau enam kali lebih tinggi dalam kalangan mereka yang menghidap miopia tinggi berbanding miopia rendah dan boleh menjejas sehingga 5.6 peratus kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.



Simptom retina tertanggal termasuk penglihatan bercahaya lampu, pengapung mata, dan menjadi gelap - jika dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan mata buta.



Akhir sekali risiko masalah makular akibat miopia meningkat sedang usia menua dan betapa teruk miopia yang dialami.



Makulopati myopik lanjutan menyebabkan penglihatan tengah hilang, justeru pengesanan awal, terutamanya mereka yang menghidap miopia tinggi penting bagi mencegah penglihatan hilang secara tetap.



SIMPTOM MIOPIA TINGGI DARI AWAL



Bagi mengesan miopia dalam kanak-kanak, cuba pantau tanda-tanda ini:



  • Memegang buku, tablet atau membuat kerja sekolah terlalu dekat pada muka;

  • Duduk terlalu dekat pada televisyen;

  • Memaksa atau menutup sebelah mata untuk membaca;

  • Kerap pening kepala;

  • Mata berair secara berlebihan.

Kadar miopia meningkat secara pantas dalam kanak-kanak berusia antara lima dengan 15 tahun, dengan penglihatan mereka menjadi stabil menjelang usia pertengahan atau lewat remaja.



"Senang kata, sekiranya miopia dialami lebih awal, dan jika tidak dirawat, risiko menghidap miopia tinggi semasa menua, akan bertambah.



"Simptom yang dikaitkan dengan miopia dewasa termasuk:



  • Mata sakit;

  • Pening kepala; dan

  • Sukar melihat sesuatu dari jarak jauh.

DUA JENIS RABUN 



RABUN JAUH (MIOPIA):



KEADAAN apabila cahaya memasuki mata, imej yang terhasil difokuskan pada hadapan retina, yang menyebabkan sesuatu yang berada pada jarak jauh menjadi kabur. Dalam keadaan normal, imej difokuskan di retina.



Rabun jauh berlaku apabila bebola mata seseorang terlalu melonjong ke dalam menyebabkan pancaran cahaya daripada objek yang jauh terfokus di hadapan retina, sedangkan pancaran tersebut patut fokus tepat pada retina.



Lantas individu berkenaan memerlukan cermin mata untuk melihat dengan jelas sesuatu objek jauh.



RABUN DEKAT



RABUN DEKAT atau hipermetropia atau hiperopia adalah gangguan penglihatan dalam jarak yang dekat sehingga penderita mengalami penglihatan buram atau tidak jelas ketika melihat dekat.



Contohnya, tidak jelas dalam membaca buku. Namun, penderita rabun dekat umumnya tidak bermasalah dalam melihat jarak jauh.



Gangguan refraksi ini biasanya dialami oleh mereka di atas usia 40 tahun. Sebenarnya, banyak anak-anak yang juga mengalami rabun dekat.



Rabun dekat dapat diperbaiki dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau pembedahan.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >