Hukum khatan atas lelaki, wanita

PADA dasarnya amalan berkhatan baik dan diperintahkan Islam. Ini digambarkan dalam hadis Nabi saw: "Fitrah (kesucian) itu ada lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai." (Riwayat Al-Bukhari).

Imam Al-Nawawi berkata 'fitrah' di sini bermaksud sunah.

Disabitkan dalam kitab Sahih Al-Bukhari bahawa Nabi Ibrahim as berkhatan sewaktu berusia 80 tahun. Anjuran berkhatan dalam Islam ialah penerusan tradisi beliau.

Namun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai hukumnya.

Imam Malik, Syafii, Ahmad, AlSya'bi dan Al-Auza'i berpendapat bahaw ia wajib. Imam Malik menyatakan sesiapa yang tidak berkhatan tidak layak menjadi imam dan kesaksiannya ditolak.

Imam Abu Hanifah, Hasan AlBasri dan Ibn Qudamah berpendapat bahawa ia sunat bagi kaum lelaki dan mulia bagi wanita.

Pokoknya, amalan berkhatan perlu ditegakkan kerana ia antara syiar Islam.

Ada ulama menolak amalan berkhatan bagi wanita berdalilkan kisah yang diriwayatkan Um 'Atiyyah ra bahawa wanita di Madinah berkhatan tetapi Nabi saw kemudian melarangnya kerana tidak berkhatan baik untuk kesihatan dan lebih disukai suami. (Riwayat Abu Daud).

Sebaliknya, golongan yang membenarkan khatan bagi wanita berhujah dengan hadis Um Habibah yang mengendalikan khidmat khatan bagi wanita.

Pada suatu hari, Nabi saw menziarahi Um Habibah dan mendapati pisau di tangannya. Nabi saw lalu bertanya bagi memastikan pisau itu digunakan untuk berkhatan.

Um Habibah bertanya: "Apakah ia (khatan) haram untuk wanita?"

Nabi saw menjawab: "Bahkan ia halal." Baginda lalu bersabda: "Wahai wanita Ansar, berkhatanlah kamu tetapi janganlah melampau dalam memotongnya." (Riwayat AlBaihaqi).

Terdapat perbincangan di kalangan ulama apakah orang lanjut usia perlu berkhatan.

Kitab Al-Mughni oleh Ibn Qudamah meriwayatkan bahawa Imam Ahmad pernah ditanya apakah seorang lelaki yang memeluk agama Islam ketika usia dewasa perlu berkhatan.

Imam Ahmad menjawab: "Aku lebih suka jika dia berbuat demikian kerana Nabi Ibrahim as melakukannya."

Segolongan orang berpendapat berkhatan hanya adat sesetengah kaum dan ia bukan suatu ibadah. Oleh itu, mereka menolaknya.

Bagi menjawab keraguan ini, kita boleh tinjau beberapa kajian saintifik yang membuktikan manfaat berkhatan bagi menyokong amalan yang sudah lama diamalkan majoriti masyarakat Islam.

Dr David Hawker, seorang pengamal perubatan di United Kingdom, menyenaraikan dalam satu kajian terbitan Pusat Rujukan Maklumat Berkhatan Antarabangsa beberapa faedah berkhatan:

Berkhatan pada usia kanakkanak memberi 100 peratus perlindungan daripada barah kelamin dan perlindungan maksimum bagi lelaki dewasa;

Barah rahim adalah akibat virus Human Papilloma, yang boleh dijangkiti melalui hubungan seksual. Dalam Jurnal Perubatan Britain edisi April tahun lalu, dianggarkan sekitar 20 peratus wanita dapat menghindari virus tersebut jika pasangan lelaki mereka berkhatan;

Jurnal itu juga menyatakan bahawa virus HIV, yang boleh menyebabkan penyakit Aids, dapat dihindarkan sebanyak lapan kali ganda jika seorang lelaki berkhatan;

Kepuasan hubungan seksual dapat dinikmati lebih daripada lelaki berkhatan daripada yang tidak

Berkhatan dapat menghilangkan bau busuk pada alat kelamin.

Seeloknya berkhatan dilakukan sewaktu usia lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah.

Dr Collin Tham, seorang pakar bedah plastik di Singapura, juga mempunyai pendirian yang sama dan menambah bahawa amalan berkhatan dapat mengelak penyakit saluran kencing tersumbat.

Namun, ia perlu dilakukan dengan cermat dan selamat, sebaiknya oleh pengamal perubatan yang diakui dan berdaftar.

Tidak dinafikan berlaku salah laku dalam mengendalikan amalan berkhatan.

Di sesetengah negara di Afrika misalnya, terdapat upacara khatan melampau akibat salah faham sehingga wanita sengsara.

Amalan sebeginilah dihukumkan haram oleh ramai ulama.

Adapun amalan berkhatan kanak-kanak perempuan masyarakat Melayu rantau ini tidak jatuh dalam fatwa yang mengharamkannya.

Jika ada kaedah berkhatan terbaik, wajar memilih kaedah itu, sekalipun ia dijalankan oleh bukan Muslim.

Mengenai solat, solat lelaki atau wanita belum atau tidak berkhatan adalah sah.

Yang perlu dilakukannya ialah mencuci dengan bersih kawasan kulit kelamin yang tidak dikhatan sebelum solat.

Ustaz Mustazah pengurus di Masjid Assyafaah. Beliau berkelulusan sarjana muda dalam bidang syariah dari Universiti Islam Madinah dan sarjana d dalam bidang pengajian Al-Quran dan Sunah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

USTAZ MUSTAZAH BAHARI

SOALAN

Apakah hukum berkhatan bagi lelaki dan perempuan dalam keempat-empat mazhab? Sahkah solat seorang yang sudah baligh tetapi tidak berkhatan? BERSAMA

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.