Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Imbangi pendekatan Asia dan Barat dalam besarkan anak

Jun 18, 2023 | 05:31 AM



Sekitar satu atau dua generasi lalu, bapa sering dilihat sebagai insan yang keluar pada subuh hari dan hanya pulang sekitar matahari terbenam. 

Mereka memainkan peranan sebagai ketua keluarga yang keluar untuk mencari nafkah selain memastikan disiplin keluarga terpelihara. 

Ini merupakan sesuatu yang sering berlaku terutama dalam kalangan bapa dari Asia, termasuk di Singapura.

Dengan perubahan masa, peranan bapa kini turut menyaksikan perubahan. 

Dalam era ini, adalah menjadi perkara biasa melihat bapa mengambil pendekatan lebih aktif dan terlibat dalam proses keibubapaan bagi mengasuh dan membesarkan anak-anak mereka. 

Sebagai seorang bapa sejak sekitar dua tahun lalu, saya percaya ibu bapa adalah pengaruh penting dalam membentuk tingkah laku dan personaliti anak mereka.

Dalam mempersiapkan diri mengharungi perjalanan keibubapaan, banyak ‘kajian’ yang telah saya dan isteri lakukan tentang cara terbaik untuk membesarkan anak.

Banyak bahan yang kami rujuk merupakan sumber dari Internet yang mengongsi tentang pendekatan budaya Barat dalam membesarkan anak.

Ini menimbulkan persoalan sama ada bapa di Asia kini lebih terbuka dan terlalu terpengaruh dengan pendekatan dan budaya Barat dalam membesarkan anak?

Dan bagaimana kita mentakrifkan pendekatan menjadi ibu bapa yang baik?

Tidak dapat dinafikan setiap budaya mempunyai cara tersendiri dalam membesarkan anak dan perbezaannya agak ketara. 

Ada yang berpendapat bahawa ibu bapa dari negara Asia membesarkan anak-anak menjadi lebih kolektif dan bersatu, manakala ibu bapa Barat membesarkan anak-anak mereka menjadi lebih individualistik.

Justeru, perbezaan cara seseorang dibesarkan juga jelas dilihat dengan hanya melihat personaliti dan tingkah laku mereka.

Beberapa aspek cara keibubapaan Barat mempunyai kesan positif dalam perkembangan anak-anak kecil.

Contoh salah satu aspek ini adalah memberi kanak-kanak peluang meluahkan perasaan dan pendapat mereka secara terbuka dengan orang lain.

Ibu bapa tidak memaksa anak-anak membuat keputusan dengan terburu-buru dan mengajar anak-anak mereka untuk menjadi lebih berdikari pada usia yang awal.

Di samping itu, ibu bapa Barat juga percaya bahawa mereka tidak boleh memberi terlalu banyak tekanan, terutama dalam bidang akademik dan dalam memilih kerjaya anak mereka.

Namun cara Barat ini juga ada kekurangannya.

Pada pandangan saya, jika ibu bapa terlalu taasub mengamalkan cara keibubapaan yang sangat liberal, anak-anak boleh membesar dengan tabiat buruk disebabkan kebebasan mereka.

Di sini, pendekatan cara ibu bapa Asia membesarkan anak mereka mungkin dapat diterapkan. 

Ibu bapa Asia kebanyakannya mementingkan sifat moral, nilai budaya, serta sokongan emosi kepada anak-anak mereka di pelbagai peringkat kehidupan.

Mereka juga percaya perlunya bersikap tegas agar anak-anak mereka tidak membesar menjadi seorang yang ‘kurang ajar’ dan ‘pijak kepala’. Sebaliknya, mereka harus lebih beradab dan sopan. 

Kita tidak perlu memandang jauh. Dalam budaya Melayu kita sendiri, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membangunkan sikap dan tingkah laku yang baik dalam diri dan rohani anak kita dengan berlandaskan ajaran Islam.

Budaya kita juga terus memberi penekanan terhadap nilai seperti perpaduan, berkongsi dan keprihatinan antara satu sama yang lain. 

Sebagai bapa kepada anak lelaki yang baru berusia dua tahun, saya tidak menafikan bahawa saya juga mengamalkan beberapa cara Barat dalam membesarkan anak, namun tidak sepenuhnya.

Saya masih berpegang pada nilai-nilai utuh budaya kita sendiri, yang jelas telah memainkan peranan besar dalam perjalanan kehidupan saya. 

Saya menganggap diri saya masih baru dalam dunia keibubapaan ini dan akan terus belajar untuk menjadi seorang bapa yang baik.

Dalam perjalanan ini, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya, walaupun ia bermakna saya perlu menerapkan kedua-dua cara keibubapaan Asia dan Barat.

Dan sempena Hari Bapa, saya ingin mengambil peluang ini untuk memberi penghargaan kepada semua bapa, terutama Abah saya, yang telah banyak berkorban untuk keluarga.

Semoga pengorbanan dan perjuangan kita untuk keluarga mendapat reda dan ganjaran di sisi Allah swt.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >