Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kejayaan, cabaran lima dekad FairPrice didedah dalam buku

Buku ‘The Price of Being Fair: The FairPrice Group Story’ bentang perjalanan daripada sebuah koperasi menjadi rantaian pasar raya, kedai makan utama utama di sini 
Jul 06, 2023 | 09:00 AM



Siapa sangka sebuah pasar raya yang dimulakan di satu sudut Toa Payoh pada 1973 dan dinamakan NTUC Welcome berupaya berkembang menjadi rantaian pasar raya dan pusat makanan utama di Singapura lima dekad kemudian?

Lebih teruja lagi, ketika perniagaan barang keperluan harian itu diperkenalkan oleh sebuah kooperatif, matlamatnya bukan untuk meraih untung tetapi membantu anggotanya menampung kos kehidupan.

Ia tidak bertindak sebagai syarikat yang lebih mementingkan matlamat kapitalis – mencari keuntungan.

Asasnya, ia sebuah kooperatif yang ditunjangi pergerakan buruh yang beriltizam mengurangkan kos sara hidup rakyat Singapura.

Keuntungan yang diraihnya tidak dimaksimumkan untuk pemegang saham atau pemilik tetapi bagi anggota dan pengguna, dan ia terus memikul tanggungjawab itu dalam pada ia berusaha menangani inflasi dan memacu pertumbuhannya.

Dalam tempoh setengah abad, pasar raya yang bermula di Toa Payoh itu berkembang menjadi FairPrice Group – sebuah jenama yang sebati dengan isi rumah di sini dengan lebih 570 cawangan di serata negara.

Menariknya, kemajuan yang diraih itu adalah hasil keupayaannya menyaingi pencabar tempatan dan global dalam dunia perniagaan runcit yang lain seperti Carrefour ke Cold Storage, Sheng Siong ke Don Don Donki, selain peruncit dalam talian seperti Amazon dan Alibaba.

Menerusi buku The Price of Being Fair: The FairPrice Group Story (Harga Untuk Berlaku Adil: Kisah FairPrice Group) yang baru diterbitkan dan dilancarkan pada Khamis, orang ramai boleh mengetahui dengan lebih lanjut jerih payah pasar raya yang lebih senang disebut sebagai ‘NTUC’ ini merangka pelbagai strategi bagi menghadapi cabaran dan menyakinkan rakyat akan usaha murninya.


Buku setebal 200 halaman ini tidak sekadar berkongsi kisah kejayaan, malah turut mendedahkan tentang kegagalannya, tentang usaha niaganya di luar negara yang tidak menjadi dan juga konsep perniagaan runcitnya yang terpeleset.

Buat kali pertama, buku itu turut mendedahkan secara terperinci bagaimana peruncit keperluan harian nombor satu di sini itu menjadi sebuah keusahawanan makanan dengan nilai pusing ganti $4.3 bilion.

Dengan lebih 60 peratus perkongsian pasaran dalam perusahaan pasar raya di Singapura dan menjadi pengendali makanan dan minuman (F&B) utama hari ini, kemajuan FairPrice Group sejak 50 tahun lalu mengetengahkan daya perniagaannya yang bijak dan kesediaannya untuk mencuba sesuatu yang baru.

Buku hasil tujuh penulis itu mengetengahkan wawancara bersama pengerusi FairPrice Group, pengurusan kanan dan setiausaha agung pergerakan buruh – dahulu dan sekarang – yang mendedahkan bagaimana pertubuhan itu mengendalikan perniagaan, operasinya – daripada pemerolehan barangan kepada penentuan harga, daripada usaha melawan persaingan kepada memerangi pandemik Covid-19.

Selain itu, ia menceritakan bagaimana kooperatif ini berdepan dengan e-dagang dan sentimen rakyat bahawa ia semakin hilang pandangan terhadap niat asalnya dalam menyediakan barangan pada harga berpatutan.

Buku The Price of Being Fair disunting oleh Cik Sue-Ann Chia dan Encik Peh Shing Huei – kedua-duanya mantan wartawan – dengan sokongan lima penulis lain: Cik Samantha Boh, Encik Derek Wong, Encik Justin Kor, Cik Toh Wen Li dan Cik Puah Rui Xian.


Cik Sue Ann berkata: “Sedang pertubuhan global seperti Nike, Starbucks dan Amazon punya kisah kejayaan mereka yang dirakamkan dengan begitu baik, jenama tempatan kita agak keberatan dan segan.”

“Buku Singapura hampir ketiadaan tajuk popular tentang jenama terkenal dalam negara ini. Ramai lebih biasa dengan Singapore Inc (Pensyarikatan Singapura), tetapi ada jurang jelas apabila menyentuh kisah individu dalam perniagaan kita,” kata beliau.

Buku ini akan disampaikan secara rasmi kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada 22 Julai sempena sambutan ulang tahun ke-50 FairPrice Group di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands.

Ia satu tarikh bersejarah kerana bertepatan tarikh 50 tahun lalu apabila perdana menteri ketika itu, Encik Lee Kuan Yew, membuka pasar raya pertama NTUC di Toa Payoh.

Buku itu akan dijual di semua kedai buku utama mulai 10 Julai pada harga $29.90 senaskah (termasuk GST). Ia juga dijual dalam talian di www.books.nutgraf.com.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >