Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Usaha lestari bangsawan dengan dakapan pembaharuan

Anggerik Temasek Bangsawan adakan bengkel sempena Pesta Budaya Melayu TWM
Feb 27, 2022 | 05:30 AM



BENGKEL bangsawan sempena Pesta Budaya Melayu anjuran Taman Warisan Melayu (TWM) Singapura dari 28 Januari hingga 13 Februari melabur tirainya dengan sebuah pementasan oleh Anggerik Temasek Bangsawan (ATB).



Bengkel itu disertai 14 peserta, termasuk seorang bukan Melayu, yang hanya mahu dikenali dengan nama Cik Regina, yang rata-rata belum pernah didedahkan kepada bidang lakonan, apatah lagi melibatkan diri dalam persembahan bangsawan.



Menurut Cik Regina, beliau antara lain dibimbing dalam selok-belok bangsawan yang dikupas rapi oleh ketua ATB, Encik Noor Azhar Mohamed.



Seorang lagi peserta, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Zeha pula berkata beliau kagum akan kehalusan tata budaya bangsawan, yang bukan saja memperlihatkan lenggok bangsawannya, bahkan peralatan, pakaian dan apa juga perkara yang bersangkutan dengan persiapan sebuah persembahan bangsawan "yang amat rumit dan perlu ketelatinan".



Encik Noor Azhar, yang bergandingan dengan isterinya, penyiar radio sambilan, penyanyi dan pelakon bangsawan Tanty Yushida, berkata mereka menitikberatkan budaya sebenar bangsawan dan ingin meneruskan legasi yang diwarisi daripada ahli bangsawan terkenal Singapura, Allahyarham Hamid Ahmad, pelopor Seri Anggerik Bangsawan.



Penasihat ATB, Cik Rizayati Malawad, berkata khazanah bangsawan yang masih dalam simpanan Seri Anggerik Bangsawan lebih 30 tahun masih terpelihara dengan rapi, dan masih baik untuk digunakan.



Sebab itu, menurut beliau, bangsawan Dang Anum yang baru dipentaskan pada 12 Februari menggunakan sepenuhnya 'pakaian pusaka' Seri Anggerik Bangsawan.



Namun, dalam mengendalikan bengkel bangsawan pada 13 Februari di Auditorium Taman Warisan, Encik Noor Azhar menekan ATB tidak menolak sebarang pembaharuan dalam melestarikan bangsawan ATB, sesuai dengan cabaran kecanggihan teknologi.



Bengkel bangsawan ATB memberi kesempatan kepada para pesertanya mengalami pengurusan busana, yang diperagakan oleh watak-watak pelakon Dang Anum. Kata bual daripada naskhah bangsawan Dang Anum dan Sang Nila Utama dijadikan bahan untuk para peserta melongarkan suara mengikut rentak dan nada bangsawan yang diajarkan kepada mereka.



"Tidak mudah hendak melengkapkan satu persembahan bangsawan. Nampak mudah, tapi apabila kami rasakan sekilas lalu pengalaman singkat ini, tidak dapat dibayangkan bagaimana naskhah penuh bangsawan boleh dipersiapkan persembahannya. Amat kompleks dan perlu penelitian," ujar Encik Noor Azhar.



Tepat pada waktunya bengkel bangsawan ini diselaraskan dalam Pesta Budaya Melayu anjuran Taman Warisan ini.



Etika sebuah bangsawan perlu menyerlah dalam persembahannya. Ia perutusan penting dalam memperkaya di samping menanamkan sikap jati diri bangsa Melayu, seperti orang Cina dengan keunikan opera Cinanya.



Warisan berbilang budaya di Singapura amat menarik. Pencerminan melalui persembahan bangsawan sendiri mengutara peradaban dan tata susila bangsa yang perlu diperkemas dan dihormati.



Jika tidak keterlaluan, ia boleh dijadikan satu amalan kehidupan kesantunan kehidupan masyarakat yang kian dipudar dek gejala pembangunan, kemajuan dan pengaruh kurang sihat yang cepat menular.



Usaha menyelami jiwa bangsawan juga kini telah mulai dibengkelkan untuk para pelajar seawal peringkat sekolah rendah lagi.



Malah satu persembahan bangsawan pun telah diterapkan dalam Pesta Bangsawan Singapura anjuran ATB dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) Ogos ini.



Ini petanda baik bangsawan sudah mulai disedari 'keistimewaan' dan 'kepentingannya' dalam memupuk penghargaan dan penilaian terhadap kerja seni kreatif. Usaha murni ini boleh mengembalikan usaha menyiarkan bangsawan di stesen radio Warna 942FM seperti dulu. Atau mungkin dalam setahun, satu bangsawan pun jadilah 'diselitkan' oleh stesen kebangsaan Suria. Tentu sekali masyarakat mengalu-alukannya.



Para peserta bengkel bangsawan ATB tidak pulang hampa. Ramai merasakan tidak puas dengan kepadatan bengkel dua jam yang mereka lalui.



Ada yang ingin terlibat sama dalam usaha pementasan bangsawan ATB pada masa hadapan. Melalui ATB, Taman Warisan Melayu mampu dan berjaya memainkan peranan melestarikan kepentingan Pesta Budaya Melayu.



Tahun demi tahun berbagai genre kehidupan masyarakat Melayu terpapar dalam pesta serupa ini. Ia wadah penting, mencerna, mengukir kembali sejarah kehidupan bangsa Melayu, yang merupakan antara tunjang keharmonian hidup berbilang bangsa dan budaya Singapura yang luarbiasa dan disegani dunia.




Tidak mudah hendak melengkapkan satu persembahan bangsawan. Nampak mudah, tapi bila kami rasakan sekilas lalu pengalaman singkat ini, tidak dapat dibayangkan bagaimana naskhah penuh bangsawan boleh dipersiapkan persembahannya. Amat kompleks dan perlu penelitian.
- Encik Noor Azhar Mohamed, ketua Anggerik Temasek Bangsawan.




  • Penulis tokoh teater dan penerima Anugerah Pingat Budaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >