Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Walau kecil S’pura bijak

Jun 11, 2023 | 05:30 AM



KECIL-KECIL cili padi.

Meski kecil tetapi bijak dan ‘berisi’.

Mungkin ini yang boleh kita gambarkan tentang Singapura.

Walau kecil, titik merah ini mempunyai semangat besar; usaha dan pencapaiannya diakui seantero dunia.

Misalnya, Singapura baru-baru ini telah ditabalkan sebagai bandar terbijak Asia 2023 - lebih pintar daripada bandar-bandar besar Asia lain seperti Tokyo, Beijing dan Seoul.

Di peringkat dunia pula ia menduduki tempat ke-7 daripada 141 bandar.

Pencapaian besar ini tidak sepadan dengan saiz kecil pulau ini.

Berdasarkan Indeks Bandar Bijak 2023, yang dikeluarkan sekolah perniagaan Switzerland Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), bandar paling bijak dunia pada 2023 ialah Zurich, diikuti Oslo dan Canberra.

Ia menilai 141 bandar berdasarkan cara mereka menggunakan teknologi demi mencapai mutu hidup lebih tinggi.

Indeks itu berfungsi sebagai penanda aras bagi kemajuan dalam bidang seperti keterbukaan, inovasi, keterangkuman dan kemampanan.

Sekitar 20,000 responden di 141 bandar itu ditinjau mengenai 15 aspek kehidupan di bandar, seperti rumah mampu milik, kesesakan jalan raya, kawasan hijau dan pekerjaan.

Mereka ditanya tentang pelbagai struktur dan teknologi, dan betapa selesanya mereka dengan teknologi.

Sebagai bandar terbijak Asia, Singapura berjaya dalam bidang seperti penyediaan perkhidmatan perubatan, ruang hijau dan akses kepada pendidikan bermutu.

Bahkan, Singapura antara enam bandar yang terus meningkatkan prestasinya sejak 2019.

Responden di Singapura meletakkan faktor seperti keselamatan awam, kelajuan Internet dan akses ke sekolah bagi kanak-kanak sebagai senarai faktor yang tinggi.

Namun mereka bimbang tentang isu seperti rumah mampu milik, pengangguran dan sama ada mereka mempunyai pekerjaan yang memuaskan.

Pencapaian Singapura ini harus dibanggakan, namun ia tidak datang bergolek begitu sahaja.

Ia hasil giat pemerintah sejak beberapa dekad untuk menjadikan negara ini kediaman bertaraf dunia dengan menerap dan memanfaatkan teknologi bijak dan digital demi meningkatkan mutu kehidupan.

Bahkan Singapura mempunyai sebuah agensi yang aktif merancang dan memberikan keutamaan kepada usaha memacu transformasi digital pemerintah dan menjadikan Singapura negara pintar.

Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) ini berada di naungan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Cik Josephine Teo ditugaskan menjadi Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Bijak dan Keselamatan Siber, selain Menteri Perhubungan dan Penerangan.

Di bawah visi SNDGO, teknologi digital diutamakan dan dimanfaatkan melalui tiga tonggak utama - Pemerintah Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital.

Kesemuanya untuk melaksanakan transformasi dalam bidang kesihatan, pengangkutan, kehidupan bandar, perkhidmatan pemerintah dan perniagaan.

Di bawah tonggak Pemerintah Digital, pemerintah melabur dalam prasarana dan mewujudkan platform yang dikongsi sama bagi perniagaan dan rakyat belajar dan berkembang.

Ekonomi Digital pula menggalakkan perniagaan melabur dalam teknologi dan bakat demi mendorong pertumbuhan syarikat menjangkaui sempadan negara.

Manakala Masyarakat Digital memperkasa individu supaya bakat dipupuk dan dilengkapi dengan kemahiran teknologi digital demi merealisasikan inspirasi menjalani kehidupan bersama lebih baik.

Laman SNDGO padat dengan rancangan dan insiatif menjadikan Singapura negara bijak.

Pelbagai projek strategik dilaksanakan demi merekayasakan transformasi agar Singapura menjadi negara bijak “bait demi bait, sistem demi sistem.”

Antaranya termasuk melaksanakan kaedah pembayaran elektronik (e-pembayaran).

Projek ini bertujuan menjadikan urusan kewangan lebih lancar dan cekap untuk semua.

Ia juga sentiasa berusaha ke arah menjadikan platform itu lebih mudah dan selamat serta dapat beroperasi merentas pelbagai sistem.

Satu lagi ialah projek Singpass.


Inisiatif Identiti Digital Nasional (NDI) ini menyediakan platform mudah dan selamat bagi pengguna kedua-dua rakyat dan perniagaan berurus niaga, sama ada dengan pemerintah mahupun penyedia perkhidmatan swasta lain.

Banyak lagi kemudahan digital pemerintah disediakan, contohnya, LifeSG (membolehkan kita mengakses perkhidmatan pemerintah dengan mudah); sijil kelahiran dan kematian digital; dan portal jualan semula HDB.

Projek Bandar Bijak Punggol pula bertujuan mengumpulkan penduduk, perniagaan dan pelajar dalam sebuah bandar yang berkembang maju, berdaya teknologi dan mampan.

Projek ini mempamerkan cita-cita kita menjadi bandar bijak.

Beberapa inisiatif bijak lain dalam kehidupan bandar termasuk Meter Bijak Air (membolehkan penduduk mengurus penggunaan air dengan lebih baik); dan aplikasi myENV (wadah memberi maklumat terkini tentang sekitaran seperti bacaan PSI dan kelompok denggi).

SNDGO juga menjadikan bidang pengangkutan sebagai projek strategik.

Di bawah projek Mobiliti Bandar Bijak itu, teknologi digital digunakan untuk mencari huraian pintar yang dapat mempertingkatkan lagi sistem pengangkutan awam Singapura.

Antaranya kemudahan bayaran tambang tanpa sentuh; kenderaan autonomi; dan penggunaan sensor bagi mengumpul data untuk menentukan lokasi dan masa ketibaan bas.

Dalam bidang kesihatan pula, tumpuan diberikan bagi melengkapi rakyat dengan maklumat dan alat untuk mengawal keperluan dan penjagaan kesihatan mereka dengan lebih baik.

Beberapa usaha itu termasuk HealthHub - portal kesihatan sehenti membolehkan rakyat mengakses rekod perubatan dengan mudah; dan telekesihatan - kaedah konsultansi kesihatan dalam talian.

Visi negara bijak Singapura telah mencatatkan beberapa kemajuan melebihi sasaran.

Misalnya, data SNDGO menunjukkan kadar kepuasan warga dengan khidmat digital pemerintah mencapai 84 peratus pada 2022 - melebihi sasaran 2023 sebanyak 75-80 peratus.

Kepuasan perniagaan terhadap khidmat digital pemerintah mencapai 79 peratus (75-80 peratus sasaran 2023).

Manakala khidmat pemerintah yang disempurnakan secara digital dari mula hingga akhir mencapai paras 99 peratus (90-95 peratus sasaran 2023).

Khidmat menyediakan pilihan e-pembayaran pula mencapai kadar 98 peratus (100 peratus sasaran 2023).

Pencapaian lain termasuk:

[ο] 4.2 juta guna aplikasi Singpass dengan 90 peratus semua transaksi Singpass dijalankan melalui aplikasi.

[ο] Lebih 1,000 perkhidmatan digital ditawarkan agensi pemerintah dan perniagaan berada dalam Myinfo – kemudahan membantu mengisi borang digital bagi urusan dalam talian.

[ο] Penggunaan PayNow mencapai 311 juta transaksi pada 2022, berbanding 144 juta pada 2020.

Data membuktikan walaupun dari segi saiz Singapura memang kecil, tetapi sebenarnya ia berisi dan bijak.

Namun, usaha membina Singapura sebagai bandar bijak tiada penghujungnya.

Dalam hal ini, pemerintah komited mengukuhkan benteng dan ruang digital Singapura supaya kita yakin menggunakannya dengan selamat.

Negara yang bijak menawarkan pelbagai peluang yang membolehkan ekonomi dan perniagaan berkembang.

Rakyat pula dapat menikmati kehidupan lebih bermutu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >