Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Arwah ibu jadi inspirasi, pendorong jadi jururawat

Antara 95 individu diiktiraf Anugerah Kemanusiaan Penjagaan Kesihatan yang diberikan MOH
Dec 17, 2020 | 05:30 AM



RASA selamat dan yakin dengan cara seorang jururawat menjaga arwah ibunya yang menghidap barah paru-paru telah membuat Cik Norhashimah Hashim terdorong menjadi seorang jururawat.



"Sebagai anggota keluarga (kepada pesakit) ketika itu, saya dapat rasakan jaminan dan rasa selamat daripada jururawat yang menjaga ibu saya.



"Disebabkan jagaan mereka, saya dapat fokus pada apa yang perlu saya lakukan ketika itu dengan tenang.



"Sebab itulah saya terdorong melakukan perkara yang sama bagi pesakit yang saya jaga dan anggota keluarga mereka," kata beliau, yang kini menyandang jawatan Ketua Jururawat Mendaftar di Wad B9, Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH).



Cik Norhashimah, 33 tahun, yang sudah berkhidmat di NTFGH selama lebih enam tahun, bertanggungjawab menjaga pesakit sebelum dan sesudah pembedahan.



Mereka kebiasaannya melalui pembedahan ortopedik (otot, tulang dan sendi), jantung, otak, kolorektal atau pembedahan plastik.



Baru-baru ini, beliau merupakan antara 95 individu yang diiktiraf dan menerima Anugerah Kemanusiaan Penjagaan Kesihatan (HHA) oleh Kementerian Kesihatan (MOH).



"Menangani pelbagai kes luka kompleks hasil pembedahan telah mencabar saya untuk berfikir dengan lebih kritikal.



"Di wad pembedahan selalunya pesakit akan cepat keluar masuk berbanding wad perubatan biasa.



"Pada saya ini lebih mencabar kerana kami diberi tanggungjawab lebih besar untuk memastikan pesakit dapat pulih dalam jangka masa lebih singkat," kongsi beliau.



Dalam pandemik Covid-19 ini, Cik Norhashimah turut ditugaskan merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus.



Malah, beliau menjalankan tugas ini semasa Ramadan lalu, yang membuat tugasnya itu bertambah mencabar.



Apakan tidak, beliau terpaksa menggunakan alat perlindungan peribadi (PPE) yang panas di samping perlu menahan lapar dan dahaga sepanjang bulan puasa itu.



"Setiap hari saya risau juga, sama ada saya akan pulang ke rumah atau tidak, dan jika saya pulang, sama ada keluarga saya akan terjangkit atau tidak," ceritanya, yang belum berumah tangga.



Namun, beliau berbesar hati dapat menjaga para pesakit Covid-19, majoriti mereka yang dirawatnya merupakan pekerja asing yang tinggal di dormitori.



Tersentuh oleh semangat dan sikap positif para pekerja asing itu, yang sebahagiannya merupakan orang Islam, Cik Norhashimah memberi mereka hadiah berupa kurma, sejadah dan cemil-cemilan, hasil sumbangan daripada teman-teman dan ahli keluarganya.



"Saya gembira dapat menyumbang balik setelah apa yang telah mereka lakukan demi pembangunan negara kita," kata beliau.



Lebih dari itu, Cik Norhashimah turut berbakti kepada masyarakat kurang bernasib baik di luar negara.



Beliau telah memberi bahan-bahan dapur dan bantu memperbaiki sekolah di negara seperti Indonesia dan Kemboja.



"Arwah ibu saya selalu ajar saya untuk beri lebih daripada apa yang saya terima.



"Melakukan kerja sukarelawan telah membuka jalan bagi saya untuk melakukan ini dan ia sangat istimewa bagi saya kerana saya selalu pegang kata-kata arwah ibu dekat di hati.



"Rasa puas itu ada apabila saya dapat menyumbang semula kepada masyarakat. Bila saya buat mereka bahagia, saya juga rasa lebih bahagia," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >