Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Flat terbakar: Nyawa gadis terselamat dek keputusan keluar bilik

Nov 06, 2023 | 06:11 PM



Keputusan Cik Elma Welmy untuk bergegas keluar dari bilik kemungkinan telah menyelamatkan nyawanya.

Apa tidaknya, rumah sewa satu bilik di tingkat 10, Blok 326A Sumang Walk yang didiaminya musnah dijilat api pada Sabtu (28 Oktober).

Menukil laporan The Straits Times (ST), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia menerima panggilan bagi kebakaran di alamat tersebut sekitar 2.10 pagi.


Apabila pegawai SCDF dari Stesen Bomba Punggol tiba di tempat kejadian, penghuni unit terjejas sudah mengosongkan flat.







SCDF menambah tiga penduduk dari unit berdekatan mengalami kesesakan nafas dan dibawa ke Hospital Besar Sengkang (SKH).

Pegawai bomba berjaya memadamkan kebakaran dengan jet air dan siasatan awal mendapati kebakaran berkemungkinan besar berpunca daripada pek bateri basikal menggunakan kuasa (PAB), tambah SCDF.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Cik Elma menjelaskan: “Saya berada di dalam bilik bermain telefon bimbit apabila saya terdengar teriakan ‘cepat keluar!’


“Apabila saya keluar dari bilik, saya melihat cahaya terang dari ruang tamu dan api sudah mula merebak dan membakar karpet. Saya perlu lonjak (melewati ruang karpet) untuk ke pintu utama dan keluar.”

Cik Elma berkata beliau berada di rumah bersama teman lelakinya, yang sebelum kejadian itu berada di ruang tamu untuk mengecas pek bateri PAB.

Anak bongsu dalam dua beradik berusia 19 tahun itu menambah pek bateri tersebut sudah lama tidak digunakan.

Semasa mengecas, ia terbakar dan api merebak dengan cepat ke bahagian rumah yang lain.

BH cuba menemu bual dan mendapatkan nama teman lelakinya, namun Cik Elma enggan mendedahkan nama tersebut.

“Kami cuba padamkan api menggunakan air tetapi asap jadi semakin tebal jadi kami putuskan untuk keluar (dan selamatkan diri),” tambah pelajar tahun kedua Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East itu.

Mujur ibu dan abang beliau, yang turut mendiami rumah itu, menetap di rumah neneknya di Ang Mo Kio ketika kejadian berlaku.

Keluarga tiga beranak itu kini tinggal di unit flat tingkat sembilan blok yang sama sementara menunggu flat salah satu projek HDB Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan Punggol, yang kata Cik Elma dijangka siap pada suku kedua 2024.

“Kami hanya dapat menyelamatkan beberapa helai baju dan barangan dari kebakaran ini.

“Saya amat sedih (mengimbas kembali peristiwa) kerana ia tidak pernah berlaku dan ibu saya bekerja keras untuk usahakan apa yang ada di rumah ini sebagai ibu tunggal,” tambah Cik Elma.







Menurutnya, ibu membesarkan beliau dan abangnya sejak kecil secara sendiri selepas bercerai dengan bekas suami selama lebih sedekad.

“Buat masa ini, anggota keluarga ada beri peralatan, seperti periuk nasi.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang telah bantu keluarga saya dan mereka yang telah hubungi saya (untuk bantu) dalam tempoh ini,” ujarnya.

Jumlah kebakaran alat mobiliti peribadi (PMD) dan PAB meningkat dalam tempoh enam bulan pertama 2023, berbanding tempoh sama pada 2022.

Dalam satu laporan oleh SCDF, terdapat 27 kebakaran melibatkan 18 PAB dan sembilan PMD.


Ini dibandingkan dengan 22 kebakaran yang melibatkan alat sedemikian pada separuh pertama 2022.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >